Elak inflasi tinggi dari terus menggila, subsidi diterus untuk stabil harga?

Foto Kredit: FMT

Krisis makanan terus menjadi buah mulut rakyat Malaysia sejak beberapa bulan ini. Mana tidaknya, ketiadaan bekalan makanan menggusarkan rakyat; bukan sahaja orang ramai malahan mereka yang terlibat dengan perniagaan berasaskan bekalan makanan.

Perang Russia-Ukraine yang berpanjangan akan menyebabkan gangguan kepada keselamatan makanan dalam jangka panjang memandangkan sekatan terhadap Russia akan memberikan impak buruk terhadap pasaran global. 

Kadar inflasi atau kenaikan harga barangan di Malaysia dijangka kekal tinggi untuk tempoh beberapa bulan akan datang berikutan beberapa faktor pendorong kenaikan kos.

Sebelum ini, media tempatan pernah melaporkan mengenai dasar penggunaan tanah dan kegagalan memajukan industri padi sebagai antara punca Malaysia ketinggalan dalam soal keselamatan makanan, dan mengakibatkan generasi petani seterusnya tidak lagi berminat untuk meneruskan aktiviti pertanian.

Pakar ekonomi dari Malaysia University of Science and Technology, Geoffrey Williams berkata, Malaysia mungkin tidak bersedia secukupnya ekoran negara masih mengimport 60% keperluan makanan.

Menurut statistik, Malaysia hanya menghasilkan 46% sayur-sayuran, 70% beras, 61% buah-buahan dan 25% daging dan 11% daging kambing pada 2019.

Kajian oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati kadar inflasi di negara ini boleh mencecah 11.4 peratus sekiranya kerajaan menghapuskan semua subsidi yang dinikmati rakyat ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ketika ini, kadar inflasi negara berada pada 2.8 peratus bagi Mei berbanding 2.3 peratus dan 2.2 peratus pada April juga Mac lalu.

Oleh itu, kerajaan telah mengambil keputusan untuk menanggung subsidi dalam jumlah besar iaitu sehingga RM77.3 bilion yang diunjurkan tahun ini bagi menstabilkan harga barang serta mengelakkan kadar inflasi Malaysia daripada melonjak sehingga 11.4 peratus. 

Sila log masuk atau daftar sebelum mengundi

Apa pandangan anda mengenai keputusan kerajaan untuk meneruskan subsidi untuk stabilkan harga ini?

Saya tidak pasti dan tak kisah
100.00% 1 Undi
Kerajaan patut hapuskan sahaja subsidi dan teruskan kukuhkan kewangan negara pada paras lebih baik
0.00% 0 Undi
Kerajaan membuat keputusan yang tepat untuk terus menanggung subsidi demi kesejahteraan dan kebajikan rakyat
0.00% 0 Undi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tentang tiada kenaikan tarif air dan elektrik serta harga ayam tidak diapungkan pada 24 Jun lepas, menunjukkan keprihatinan dan komitmen kerajaan untuk mengekalkan subsidi.

Merujuk kepada unjuran perbelanjaan subsidi kepenggunaan berjumlah RM77.3 bilion bagi 2022, beliau berkata RM51 bilion daripadanya meliputi komponen terbesar bagi perbelanjaan subsidi bahan api, minyak masak, elektrik, air, ayam dan telur menyaksikan kerajaan memainkan peranan penting dalam menstabilkan harga barangan di pasaran.

“Tanpa subsidi ini (RM51 bilion), maka inflasi 2.8 peratus pada Mei 2022 mungkin menjadi 11.4 peratus. Ini menggambarkan peranan dimainkan subsidi yang diberikan kerajaan dalam menstabilkan harga di negara kita,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Statistics Data Warehouse 2.0 (StatsDW) di sini, pada Isnin.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz pada 25 Jun berkata, angka RM77.3 bilion meliputi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) (RM37.3 bilion); minyak masak (RM4 bilion); tepung dan elektrik bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat, serta bil subsidi (RM9.7 bilion), serta ditambah dengan bantuan lain seperti Bantuan Kebajikan Masyarakat termasuk Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) (RM11.7 bilion) dan lain-lain subsidi (RM14.6 bilion).

“Tanpa subsidi sudah pasti kedudukan kewangan kerajaan akan bertambah baik tetapi kerajaan mengambil kira keperluan rakyat jadi kerajaan berbelanja (subsidi) untuk kesejahteraan rakyat dan untuk membantu meringankan beban rakyat,” kata Mustapa.

Sila log masuk atau daftar sebelum mengundi

Pada pendapat anda, adakah pemberian subsidi terbesar itu akan memberi kesan kepada negara?

Tidak, pemberian itu tidak memberi apa-apa kesan kepada negara kerana kedudukan kewangan negara kita kukuh
0.00% 0 Undi
Mungkin, saya tidak pasti
0.00% 0 Undi
Ya, perbelanjaan negara akan bertambah dan memberi kesan kepada defisit fiskal negara
0.00% 0 Undi

Ditanya sama ada kerajaan akan mempertimbangkan untuk menangguhkan pelaksanaan projek mega bagi menjimatkan perbelanjaan, Mustapa berkata biarpun tiada keputusan muktamad mengenainya namun menekankan mengenai langkah penjimatan dilaksanakan susulan krisis global ketika ini.

“Kerajaan belum putuskan lagi sama ada untuk menangguh pelaksanaan projek mega memandangkan keadaan agak dinamik dan berubah dari semasa ke semasa,” katanya merujuk kepada harga minyak dunia yang tinggi dan krisis geopolitik Ukraine-Rusia tidak menentu.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ada mengusulkan agar kerajaan mempertimbang untuk menaikkan harga minyak RON95 sebanyak RM0.10 atau RM0.20.

Menurut hantaran di Facebook Najib Razak pada Rabu, subsidi minyak petrol secara pukal diberikan kerajaan telah menyebabkan manfaat yang sepatutnya diberikan kepada golongan B40 dan M40 turut digunapakai oleh golongan T20.

Sila log masuk atau daftar sebelum mengundi

Adakah penarikan penarikan subsidi minyak secara sepenuhnya sesuai dilaksanakan?

Tidak, jangan sentuh harga diesel ketika inflasi masih tinggi sekarang kerana ia berkait langsung dengan kos pengeluaran, kos pengangkutan dan akhirnya akan memberi lebih tekanan kepada kadar inflasi
0.00% 0 Undi
Mungkin, saya tidak pasti
0.00% 0 Undi
Ya, bagi naikkan harga RON95 Elak T20 banyak pakai subsidi kerajaan
0.00% 0 Undi

Perbelanjaan mengurus ialah perbelanjaan semasa atau perbelanjaan berulang kerajaan bagi membiayai pengurusan dan pentadbiran negara manakala perbelanjaan pembangunan ialah perbelanjaan yang dilibatkan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan sosial negara seperti pembinaan sekolah dan infrastruktur.

Terdahulu dalam ucapannya, Mustapa berkata keperluan untuk menyimpan data dalam satu gudang tunggal menjadi semakin penting dalam mendepani isu global seperti sekuriti makanan dan kadar inflasi, dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berperanan untuk menterjemah dan menyusun statistik berkaitan.

StatsDW 2.0 adalah kesinambungan dan penambahbaikan daripada StatsDW yang dilancarkan pada 2016, iaitu satu solusi bagi menampung limpahan data dari pelbagai sumber selain menggalakkan perkongsian data antara agensi sektor awam.