Isu Stoking: Permohonan maaf, Respons dan Tindakan

Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah ‘Allah’ dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Sabtu lalu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah ‘Allah’, di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Syarikat itu berkata, jualan stoking berkenaan telah dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.

Adakah anda mengikuti perkembangan isu stoking yang tular baru-baru ini?

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Dr. KK Chai melahirkan rasa kesal atas penjualan stoking tertera kalimah Allah di salah sebuah cawangannya yang tular baru-baru ini.

Beliau berkata, kesilapan seumpama itu tidak pernah berlaku sepanjang tempoh 23 tahun perniagaan tersebut diusahakan.

“Saya sendiri tidak boleh terima penjualan stoking terdapat kalimah Allah apatah lagi mahu mencetak produk berkenaan. Sebagai Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan, saya begitu menyesal dan memohon maaf atas perkara yang berlaku beberapa hari lalu.

“Sebaik isu ini tular di media sosial pada 13 Mac lalu, kami ambil langkah segera dengan memohon maaf di platform media sosial selepas dua jam mengetahui perkara berkenaan.

“Kita tidak mahu hanya memberikan alasan tetapi juga mengambil tanggungjawab terhadap apa yang berlaku termasuk segera tampil membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi mengenai perkara ini pada Khamis lalu kerana mahu terangkan insiden ini dan memberi kerjasama kepada pihak polis,” ujarnya.

Mengulas mengenai keberadaan stoking berkenaan di KK Mart, beliau berkata, “Pembekal ini diberi tempat dalam kedai serbaneka kami untuk menjual produk yang prosesnya dikendalikan sepenuhnya oleh syarikat berkenaan tanpa pemantauan daripada pekerja kami.

“Di sini kelompongan sistem kami yang menyerahkan sepenuhnya kepada pembekal dan selepas ini kami akan baik pulih prosedur operasi standard (SOP) berkenaan,” katanya.

“Kita kesan 14 pasang stoking ada kalimah Allah di tiga cawangan KK Mart termasuk di Bandar Sunway yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Pada pendapat anda, adakah pihak KK Mart dan syarikat pembekal memberikan respons dan kerjasama yang baik?

Pemilik syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd, Soh Chin Huat selaku pembekal stoking berkenaan berkata, pihaknya diberi peluang oleh Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Dr KK Chai untuk menyewa ruang bagi menjual produk mereka.

“Saya ada hasilkan stoking sendiri dan ada juga diimport dari beberapa negara luar. Bagi stoking ini (yang ada kalimah Allah), saya dapat daripada guni dari China.

“Dalam guni itu yang tiba di kilang kami di Batu Pahat, Johor pada tahun lalu, terdapat 1,200 pasang stoking yang bercampur dengan pelbagai rekaan dan warna.

“Pekerja kami kemudian menghantar sendiri stoking-stoking berkenaan ke premis KK Mart bermula 29 Januari lalu. Atas kesilapan pekerja kami yang tidak melakukan pemeriksaan teliti menyebabkan stoking berkenaan dijual di KK Mart,” katanya.

Sebaik dimaklumkan oleh pihak KK Mart mengenai perkara itu, beliau terus menghubungi pengeluar stoking terbabit.

“Pengeluar mendakwa mereka tidak tahu bagaimana stoking itu boleh ada di dalam guni berkenaan dan mengakui ia berpunca akibat kesilapan pekerja mereka.

“Sehingga ke hari ini, kami sudah membuat pemeriksaan di semua KK Mart dan memastikan tiada lagi stoking terbabit dijual,” katanya.

“Selaku pemilik syarikat yang membekalkan stoking itu kepada KK Mart, saya mohon maaf atas apa yang berlaku.

Ringkasan respons daripada pihak KK Mart dan syarikat pembekal produk tersebut

Susulan insiden ini, Kementerian Dalam Negeri menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memanggil mana-mana pihak terlibat untuk melengkapkan siasatan berhubung penjualan stoking tertera kalimah ALLAH.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini sudah beberapa laporan polis telah dibuat. Biarlah hal ini diuruskan oleh polis, tambah beliau.

Pada Isnin, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata akan memanggil KK Super Mart untuk dirakam keterangan dalam minggu ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menasihati semua pihak agar mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan tidak berlebih-lebihan memberikan ulasan dalam isu berkaitan penjualan stoking yang tertera kalimah Allah.

Presiden UMNO itu menegaskan isu tersebut harus diselesaikan dengan sebaiknya supaya tidak timbul sebarang permasalahan, apatah lagi dikaitkan dengan sentimen 3R (agama, institusi diraja dan kaum) oleh segelintir pihak.

“Saya mematuhi titah Agong dan dalam keadaan ini, saya fikir jangan lagi bangkitkan perkara sensitif begini.

“Kita tahu bahawa ini satu pengajaran yang agak mahal. Banyak pihak yang merasakan bahawa permohonan maaf itu telah dibuat dan kita menganggap mereka tidak mengetahui dan mereka tidak ada tujuan pun,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menjelaskan siasatan dan lawatan oleh pihak pengilang mendapati stoking tersebut bukan keluaran kilang tersebut sebaliknya ia barangan import dari China.

Pada masa sama, beliau juga berharap perkara itu dijadikan sebagai pengajaran dan diselesaikan sebaik mungkin supaya ia tidak disalah tafsir dan dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu tindakan segera diambil mengikut undang-undang ditetapkan berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka baru-baru ini.

“Pandangan saya jelas, ada laporan keterlanjuran mesti ada tindakan segera, keputusan ikut jalur hukum dan maju terus, kenapa kita harus terperangkap dengan isu ini berpanjangan?

“Ada laporan ambil tindakan, jangan ada penghinaan terhadap agama … apa lagi Islam, jadi jangan kita terus-menerus dengan perbincangan ini seolah-olah ia satu malapetaka besar di dalam negara,” katanya dan menambah sekiranya tindakan segera telah dilaksanakan, semua pihak perlu berlapang dada.

Mengenai perbezaan pendapat dalam kalangan pimpinan Kerajaan Perpaduan mengenai isu itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata mana-mana pemimpin boleh memberikan pandangan, namun diingatkan agar tidak terlanjur menghukum dan mengikut pemikiran sempit.

“Dalam kerangka badan politik yang bebas dan demokratik, tidak boleh ikut sistem wala’ (kerana) dalam parti yang wala’ yang kekang pemikiran bebas, ia tidak izinkan … masalah ada, tindakan diambil dan maju terus,” katanya.

Konsep wala’ yang diamalkan dalam sesebuah organisasi politik bermaksud kesetiaan.

“Ada orang lakukan kesalahan seperti kita juga lakukan kesalahan, kadang-kadang kecuaian. Jadi, jangan ikut seolah-olah mendera orang lebih daripada yang sepatutnya,” katanya.