Tambang Penerbangan Rendah dan Persoalan Harga Siling Tiket

Baru-baru ini, syarikat penerbangan AirAsia telah mengumumkan tawaran tambang penerbangan serendah RM199 bagi laluan Kuala Lumpur dan Johor Bahru ke Sabah dan Sarawak yang mula dibuka untuk tempahan hari ini.

Tawaran itu dibuat sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina bulan depan membabitkan penerbangan bermula 17 hingga 30 Januari 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Ltd, Bo Lingam berkata, tawaran itu membabitkan laluan Kuala Lumpur ke  Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri serta dari Johor Bahru ke Kuching, Sibu dan Miri dengan tambang RM199 sehala.

Apa pendapat anda mengenai inisiatif penerbangan tambahan dan tambang yang rendah ini?

Beliau berkata, pihaknya juga menawarkan tambang sehala serendah RM249 bagi laluan Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Tawau, serta Johor Bahru ke Kota Kinabalu.

“Pada musim perayaan itu, kami akan mengendalikan 52 penerbangan tambahan ke enam destinasi popular di dua negeri itu selain 274 penerbangan mingguan pada tambang biasa ke destinasi sama.

“Sebanyak 25,020 tempat duduk tambahan tersedia ke dua negeri itu bagi tempoh perayaan akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis pengumuman tambahan penerbangan Air Asia sempena Tahun Baharu Cina

“Sejak dua tahun lalu, industri penerbangan tempatan berdepan situasi sukar dan walaupun ia semakin pulih namun, pihaknya tidak dapat menambah kekerapan penerbangan seperti sedia kala.

“Di sebalik kos operasi yang semakin meningkat dan kekurangan jumlah pesawat, pihaknya terus berusaha dan komited menyatukan semula rakyat Malaysia sempena sambutan Tahun Baharu Cina akan datang.

Apa pendapat anda mengenai sektor penerbangan Malaysia untuk tahun hadapan?

Sementara itu, Anthony dalam ucapannya berkata, beliau berbesar hati kerana AirAsia terus komited menyokong inisiatif kerajaan menurunkan tambang penerbangan ketika musim perayaan, meskipun terdapat kekangan operasi. 

Katanya, beliau turut menggalakkan syarikat penerbangan lain untuk turut melancarkan inisiatif sama termasuk mengurangkan tambang penerbangan terutama ketika musim perayaan.

Dalam pada itu, kerajaan tidak bercadang menetapkan harga siling bagi tiket penerbangan kerana ia akan memberi implikasi negatif kepada penumpang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, langkah itu juga dibimbangi akan menyebabkan syarikat penerbangan mengurangkan kapasiti penumpang.

Pada pendapat anda, adakah harga dinamik lebih baik dari penetapan harga siling tiket?

“Perkara ini sudah dibincang banyak kali dan pada masa ini tidak ada perancangan untuk menetapkan sebarang harga siling tiket bagi syarikat penerbangan kerana mereka beroperasi berdasarkan harga yang dinamik.

“Jadi kalau kita letakkan harga siling, akan ada implikasi negatif kepada penumpang yang mana kapasiti mereka akan dikurangkan. Tiada syarikat penerbangan yang beroperasi yang mahu menanggung rugi,” katanya.

Loke berkata, beliau menggalakkan syarikat penerbangan untuk menambah kekerapan penerbangan supaya kadar lebih murah dapat ditawarkan.

“Dari segi harga, pastinya ada peningkatan setiap kali musim perayaan, namun bagi waktu-waktu lain harga tiket masih berpatutan.

“Sebab itu kita mengharapkan syarikat penerbangan menambah kekerapan penerbangan jadi harga tiket akan lebih mampu dibeli orang ramai,” katanya.

Tambah beliau, buat masa ini juga pihaknya memahami kekangan dihadapi syarikat untuk menambah kekerapan penerbangan.

“Kita faham, bukan semua syarikat penerbangan mempunyai lebih 100 pesawat, malah selepas pembukaan sektor ekonomi, ada yang masih beroperasi pada kadar 50 peratus kapasiti.

“Menuju ke hadapan, dengan peningkatan jumlah trafik, saya yakin semua syarikat akan beroperasi dengan kapasiti penuh, lebih banyak pesawat tersedia untuk penerbangan,” katanya.