Isu Mahkamah Syariah: Apa perlu anda tahu?

Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari 2024 telah mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel sembilan hakim yang Tengku Maimun dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman, 26, selaku pempetisyen bagi mencabar peruntukkan enakmen tersebut.

Dengan keputusan itu, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak lagi mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang yang dipertikaikan itu.

Berikut adalah senarai Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dibicarakan dalam petisyen:

16 peruntukan kesalahan diisytiharkan Mahkamah Persekutuan sebagai batal dan tidak sah
  • Seksyen 11: Memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat
  • Seksyen 14: Liwat
  • Seksyen 16: Persetubuhan dengan mayat
  • Seksyen 17: Hubungan seksual dengan bukan manusia
  • Seksyen 31: Gangguan seksual
  • Seksyen 34: Memiliki dokumen palsu, memberikan keterangan, maklumat atau kenyataan palsu
  • Seksyen 36: Apa-apa yang memabukkan
  • Bahagian 39: Mengurangkan skala, ukuran dan berat
  • Seksyen 40: Melaksanakan transaksi yang bertentangan dengan ‘hukum syarak’ (undang-undang syariah)
  • Seksyen 41: Melaksanakan urus niaga melalui riba
  • Seksyen 42: Penyalahgunaan label dan konotasi halal
  • Seksyen 43: Menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat
  • Seksyen 44: Tindakan persediaan menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat
  • Seksyen 45: Perbuatan maksiat sebagai persediaan
  • Seksyen 47: Perbuatan sumbang mahram
  • Seksyen 48: Muncikari (lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya, bertentangan dengan hukum syarak)
Yang diisytiharkan sah
  • Seksyen 13: Menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral
  • Seksyen 30: Perkataan yang boleh memecahkan keamanan

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menegaskan, petisyen yang dikemukakan tiada kena mengena dengan isu kesucian agama Islam atau kedudukan mahkamah syariah di negara ini.

Adakah anda mengikuti rapat perkembangan isu ini?

Menurut beliau, pihak yang mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dan mahkamah sivil yang membenarkan petisyen mereka, tidak boleh dianggap menentang Allah SWT.

Tengku Maimun berkata, peruntukan yang dipertikaikan itu bukan ditetapkan oleh Allah SWT, sebaliknya digubal oleh Badan Perundangan Negeri Kelantan.

“Mahkamah syariah atau undang-undang Islam di Malaysia tidak akan pada bila-bila masa berkubur atau diletakkan ‘batu nisan’ seperti yang didakwa peguam Yusfarizal Yussoff.

“Ditegaskan sekali lagi bahawa apa yang dicabar dalam petisyen bukanlah kedudukan undang-undang Syariah kerana dakwaan pempetisyen adalah khusus terhadap tindakan Badan Perundangan Negeri Kelantan yang didakwanya melangkaui kuasa,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berpendirian, tidak timbul isu mahkamah sivil tidak mempertahankan kedudukan agama Islam atau tidak memperkasakan mahkamah syariah.

Penjelasan lanjut Ketua Hakim Negara:
Terdapat 3 jenis hukuman di bawah undang-undang Islam iaitu hudud, qisas dan takzir.

Setakat ini, mahkamah syariah tidak melaksanakan hukuman hudud atau qisas sebaliknya hanya melibatkan takzir.

“Tiada bezanya mahkamah syariah dan mahkamah sivil kerana kedua-duanya melaksanakan hukum takzir. Bezanya, mahkamah syariah bersumberkan undang-undang dan diluluskan oleh Badan Perundangan Negeri manakala mahkamah sivil mengikut undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen.”

Ketua Hakim Negara

Pada pendapat anda, adakah isu bidang kuasa penggubalan undang-undang syariah ini dapat menjadi pemangkin untuk pemerkasaan mahkamah syariah di Malaysia?

Berikutan kehangatan isu ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Perpaduan tidak terlibat dalam keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang membatalkan 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.

Beliau berkata, ia diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan berdasarkan kuasa yang ada di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Ia juga tidak ada kena-mengena dengan (Mahkamah) Syariah… dia tentang kuasa negeri. Katalah (pada persidangan) Dewan (Undangan) Negeri (DUN) bulan depan, Ketua Menteri buat beberapa undang-undang baharu yang bercanggah dengan kuasa Negeri dan kuasa Perlembagaan Persekutuan maka boleh dirujuk dan Mahkamah Persekutuan akan dapati sekiranya bercanggah, akan membatalkan (undang-undang yang dibuat pada sidang DUN),” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan ketika ini menubuhkan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mengkaji perkara berkaitan undang-undang syariah di setiap negeri.

“Dulu tidak ada tindakan di peringkat jawatankuasa kebangsaan untuk mengkaji bidang kuasa Mahkamah Syariah dan kuasa tentang hukum syariah, sekarang sudah ada.

Dalam pada itu juga, semua pihak berkepentingan dan yang terbabit dengan Mahkamah Syariah akan segera dipanggil bagi membincang serta menilai langkah pemerkasaan mahkamah itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar turut memberi jaminan sekiranya terdapat keperluan pindaan atau reformasi undang-undang berkaitan Mahkamah Syariah, ia akan segera dilakukan.

Bekas Ketua Hakim Syarie itu, yang meminta semua pihak bertenang dan tidak melakukan sebarang provokasi, berkata keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid hari ini tidak menjejaskan kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi jaminan kepada umat Islam bahawa Mahkamah Syariah akan kekal dan terus terjamin kewujudannya selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” menurutnya lagi.