Kebelakangan ini, kadar tambang perkhidmatan Grab yang melambung naik menjadi perbualan hangat oleh pengguna perkhidmatan e-hailing tersebut yang rata-ratanya mengeluh dengan kenaikan tersebut.
Pengguna pengangkutan e-hailing terutama golongan berpendapatan rendah B40 mengakui mereka berhadapan dengan isu kenaikan harga tambang perkhidmatan tersebut pada waktu puncak yang agak membebankan.
Disebabkan perkara ini dirasakan tak masuk akal dan melampau, ianya telah mendorong orang ramai untuk bertukar kepada teksi sebagai pengangkutan pilihan
Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd Hussain berkata pengguna teksi kini bertambah sebanyak 40% berbanding sebelum ini dikala syarikat e-hailing menaikkan tambang mereka pada waktu puncak.
“Tambang e-hailing boleh dinaikkan (disesuaikan mengikut waktu tertentu) kerana kerajaan tidak memperkenalkan tambang terkawal (untuk perkhidmatan e-hailing), seperti yang dilakukan terhadap perkhidmatan teksi.
Menurutnya lagi, tambang e-hailing akan terus meningkat dan berupaya menjadi terlalu tinggi sehingga di luar kawalan apabila bilangan teksi berkurangan.
Sejumlah penumpang menyuarakan rasa tidak gembira berhubung kenaikan harga perkhidmatan Grab, dengan ada yang meningkat hampir dua kali ganda di luar waktu puncak.
Antaranya seorang penumpang yang berkata perjalanan untuk pulang ke rumahnya lazimnya sekitar RM14 tetapi telah dinaikkan sehingga RM26.30.
“Teksi bermeter akan membuat kemunculan semula. Tiba masanya untuk kurangkan permintaan terhadap GrabCar.
“Caj biasa untuk pulang ke rumah adalah RM14,” katanya di Twitter.
Pengguna yang bengang dengan tambang tak masuk akal ini akhirnya tertekan mula memilih teksi sebagai pengganti selain mereka turut mencari penyedia e-hailing lain seperti Air Asia Ride, Maxim, atau inDriver.
Namun, banyak kawasan di sekitar Lembah Klang masih kekurangan pemandu dari platform-platform ini, dan GrabCar akhirnya menjadi pilihan terakhir bagi mendapatkan e-hailing dengan pantas.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader, juga berpendapat yang syarikat seperti Grab patut mempunyai kadar tambang siling sama seperti teksi. Katanya, jika jumlah pemandu e-hailing tidak dapat menampung jumlah permintaan dari pengguna, syarikat e-hailing berkemungkinan akan menaikkan kadar tambang secara kekal.
“Kami berharap ia tidak akan terjadi kerana ramai orang bergantung kepada Grab untuk ke sana ke mari,” tambahnya lagi.
Oleh yang demikian, keadaan sudah terbalik hari ini.
Tempahan Grab pula kian berkurang biarpun pernah menjadi pilihan utama pengguna kerana harganya tetap serta senang dicapai, tapi sekarang pengguna kembali menggunakan perkhidmatan teksi kerana harganya lebih murah.
Ada sesetengah berpendapat hal ini disebabkan kekurangan pemandu Grab namun pengguna juga mendakwa ia hanya muslihat untuk mendapatkan untung lebih.
Berbeza dengan pemandu pemandu Grab pula, ada antara mereka yang mendakwa sesetengah perjalanan tidak berbaloi dengan kesesakan trafik yang dihadapi mereka.
Terdapat juga pemandu Grab yang didakwa menggunakan hujah “mahal tak payah beli” kerana mereka juga menanggung kos untuk mengambil pengguna di lokasi dan sebagainya.
Justeru, pemandu-pemandu teksi bermeter diharapkan bijak untuk mengambil peluang terbuka ini dengan meningkat perkhidmatan mereka yang lebih baik dan berkualiti untuk meraih pendapatan lebih berbanding ketika pasaran didominasi Grab.
Pemandu-pemandu teksi bermeter juga diharap dapat berlaku jujur kerana perlu mengembalikan kepercayaan pengguna dek kerana kontroversi lampau yang telah mencalarkan imej mereka sebelum ini.