Malaysia Catat Rekod Kadar Pengangguran Terendah

Kadar pengangguran terus menunjukkan trend menurun kepada 3.8 peratus pada Jun 2022, terendah sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata bilangan penganggur berkurang kepada 630,600 orang berbanding 3.9 peratus atau 637,700 orang pada bulan Mei 2022.

Kadar pengangguran di Malaysia dijangka kian rendah dengan purata 3.5 peratus pada 2023, didorong oleh ekonomi domestik yang semakin positif, demikian menurut MIDF Research.

Ia menjelaskan peningkatan aktiviti berkaitan pelancongan dan pengembangan sektor utama seperti komoditi akan menyediakan lagi sokongan.

Apa pendapat anda tentang trend penurunan kadar pengangguran di Malaysia ini?

Cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd itu menambah, pemulihan pasaran buruh Malaysia didapati berterusan memandangkan kadar pengangguran kekal di paras “rendah semasa pandemik” iaitu 3.7 peratus pada Ogos 2022.

“Berdasarkan prestasi pasaran buruh yang positif ini, kami yakin perbelanjaan pengguna lebih tinggi pada separuh kedua 2022 dan seterusnya,” menurutnya dalam nota penyelidikan pada Selasa.

Bagi lapan bulan pertama 2022, kadar pengangguran mencecah purata 3.9 peratus manakala pertumbuhan guna tenaga pada 3.5 peratus dan pengangguran susut 14.9 peratus secara tahunan, tambahnya.

Pasaran buruh Malaysia dijangka kekal dalam aliran pemulihan dan terus mengukuh pada separuh kedua tahun ini, didorong oleh momentum dalam ekonomi domestik dan pengembangan yang stabil dalam sektor luar.

Selain itu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), penduduk bekerja pada Ogos tahun ini ialah 16.02 juta orang berbanding 15.98 juta orang pada Julai.

Komposisi terbesar penduduk bekerja adalah kategori pekerja sebanyak 76 peratus, bekerja sendiri (17.5%), majikan (3.4%) dan pekerja keluarga tanpa gaji (3.1%), katanya.

Sementara itu, bilangan penganggur aktif yang direkodkan pada Ogos berkurangan dua peratus iaitu sebanyak 507,300 orang berbanding 517,400 orang pada bulan sebelumnya.

Bagi bilangan luar tenaga buruh mencatatkan penurunan 0.1% kepada 7.24 juta orang pada Ogos berbanding 7.25 juta pada Julai, dengan komposisi terbesar adalah kerja rumah atau tanggungjawab keluarga sebanyak 42.9 peratus.

Luar tenaga buruh merujuk kepada orang yang tidak dikelaskan sebagai bekerja atau menganggur termasuklah suri rumah, pelajar, pesara dan individu yang tidak berminat mencari pekerjaan manakala penganggur aktif adalah mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan.

Bilangan graduan kini semakin meningkat. Apa pendapat anda tentang peluang pekerjaan buat mereka?

Firma penyelidikan itu berkata, kadar pengangguran di negara ini diunjurkan lebih rendah pada 3.8 peratus pada 2022 berbanding 4.5 peratus pada tahun lalu.

“Bagi tinjauan separuh kedua 2022, kami percaya ekonomi Malaysia akan kekal dalam trajektori meningkat disokong oleh permintaan domestik yang mantap, pembukaan semula sempadan antarabangsa, pelaksanaan semula projek-projek pembinaan, pertumbuhan sektor utama di tengah-tengah peningkatan harga komoditi global dan aktiviti perdagangan luar yang stabil.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, baru-baru ini berkata aktiviti perniagaan serta sosial terus beroperasi seperti biasa telah membolehkan ekonomi pulih semula dengan lebih kukuh dan keperluan tenaga buruh semakin meningkat.

Adakah pasaran pekerjaan di Malaysia dapat terus mengukuh?

Di sebalik krisis tenaga dan tekanan inflasi, kadar pengangguran di zon euro berada pada rekod terendah 6.6 peratus dua bulan berturut-turut.

Di tempat lain, kadar pengangguran di China jatuh ke paras terendah tujuh bulan pada 5.3 peratus, disokong oleh momentum pemulihan ekonomi yang mantap, manakala ekonomi Asia lain seperti Korea Selatan dan Hong Kong turut mencatatkan penurunan serta kadar pengangguran rendah.