Argentina Juara Piala Dunia 2022!

Skuad kendalian Lionel Scaloni akhirnya ditabalkan sebagai juara Piala Dunia setelah menewaskan Perancis menerusi penentuan sepakan penalti.

Terdahulu, kedua-dua pasukan beraksi dengan begitu sengit sehingga terikat kedudukan 3-3 sehingga tamat 120 minit perlawanan.

Memasuki penentuan sepakan penalti, tuah semakin cerah berpihak kepada Argentina apabila Kingsley Coman dan Aurélien Tchouaméni gagal menyumbat gol ke dalam gawang.

Adakah anda menonton siaran langsung Piala Dunia FIFA 2022?

Kesempatan itu akhirnya dimanfaatkan Goncalo Montiel untuk memastikan Argetina menang dengan keputusan 4-2 sekaligus membawa pulang kembali Piala Dunia ke Buenos Aires selepas kali terakhir ia berjaya dilakukan ketika edisi 1986 di Mexico.

Lionel Messi turut berikrar akan meneruskan karier bola sepaknya dengan Argentina selepas  membantu mengalahkan Perancis untuk merangkul Piala Dunia FIFA 2022, malam tadi.

“Saya mahu terus menyertai beberapa lagi perlawanan dan turun padang sebagai juara dunia,” kata Messi, 35, kepada televisyen Argentina berikutan kemenangan penentuan penalti epik negara ke atas Perancis dalam perlawanan akhir Piala Dunia di Doha.

Bagaimanapun dalam final Piala Dunia 2022 ini, penyerang Paris Saint-Germain itu padu menjaringkan dua gol dalam perlawanan akhir yang menakjub dan mendebarkan – yang berakhir 3-3 selepas 120 minit berlangsung, sebelum pemenang Ballon d’Or tujuh kali itu menjaringkan sepakan penalti dalam penentuan sepakan yang dimenangi Argentina 4-2.

Apa pandangan anda keputusan Messi yang tidak akan bersara daripada pasukan kebangsaan?

Messi dan rakan pasukannya berkongsi momen kemenangan Argentina menjuarai Piala Dunia FIFA 2022 di Doha, Qatar pada 18 Dis 2022. (FOTO: Times of Malta)

“Sudah tentu saya ingin menamatkan karier saya dengan (kemenangan menjuarai Piala Dunia 2022) ini, saya tak boleh meminta lebih daripada ini,” ujar Messi.

“Karier saya hampir tamat kerana ini adalah tahun-tahun terakhir saya,” ulasnya mengenai  begitu banyak kekecewaan dialaminya sebelum ini di pentas terbesar dalam bola sepak itu, termasuk tewas di final Piala Dunia 2014 kepada Jerman di Brazil.

Argentina mendahului 2-0 pada separuh masa dan mendahului 3-2 pada masa tambahan tetapi hatrik ‘magis’ Kylian Mbappe, dengan dua gol lewat dalam masa biasa dan satu lagi dalam tempoh tambahan, menyematkan Argentina, dan membawa kedua-dua pasukan ke kancah  penalti yang sangat mendebarkan.

“Ia adalah perlawanan yang sangat pelik, sama seperti perlawanan lain menentang Belanda, dan kemudian apabila kami mendahului dalam masa tambahan, ia berlaku lagi,” kata Messi.

Apa pendapat anda tentang pemenang Piala Dunia FIFA 2022 ini?

Kemenangan Argentina ke atas Perancis tersebut menyaksikan pasukan itu merekodkan gelaran juara Piala Dunia ketiga selepas merealisasikannya pada edisi 1978 dan 1986.

Kehebatan dan pengalaman Messi berjaya memberi impak padu terhadap Argentina mengalahkan Perancis untuk menjuarai Piala Dunia FIFA 2022. (FOTO: Twitter @goal)

Momen kejayaan yang amat manis dan penuh bermakna apabila pada kali ini Messi dipilih memenangi Bola Emas, anugerah pemain terbaik Piala Dunia 2022 selepas membantu Argentina muncul juara dengan menewaskan Perancis pada aksi final.

Kemenangan Argentina itu turut menyaksikan Messi muncul pemain pertama merangkul dua kali anugerah berkenaan, selepas dinobatkan sebagai pemain terbaik pada Piala Dunia 2014.

Messi yang telah bermain 172 kali untuk Argentina, menjaringkan 98 gol sejak membuat penampilan sulung pada 2005, merupakan pemain bola sepak terkaya di dunia dengan aset kekayaan terkumpul mencecah AS$620 juta (RM2.74 bilion).

Namun apa yang paling penting dan menjadi sejarah adalah Messi kini telah menyamai jumlah gol Piala Dunia bintang legenda global dan Argentina, Diego Maradona sebanyak 8 gol.