Ibarat terus dihimpit kegagalan skuad badminton negara terus kempunan setelah tersingkir dalam persaingan Piala Thomas 2022 setelah tewas kepada India pada peringkat suku akhir.
Lebih malang dan memalukan, ini adalah kekalahan pertama kepada India sejak 1979.
India bukanlah negara kuasa besar dalam sukan badminton, tapi mereka berjaya membangunkan pemain-pemain yang berkualiti seterusnya menjadi pasukan yang kuat dalam Piala Thomas edisi 2022 ini.
Kemenangan penuh sensasi ke atas Malaysia, juara lima kali sudah pastinya membuatkan mereka berbangga malah ianya merupakan buat pertama kali dalam sejarah badminton dalam tempoh 43 tahun. Lebih manis mereka muncul juara Piala Thomas 2022z
Kali terakhir Malaysia menjuarai Piala Thomas adalah pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.
Biarpun barisan pemain negara & pengurusan BAM sudah bertukar beberapa generasi, Malaysia masih gagal membawa pulang Piala Thomas ke Tanah Melayu sejak itu. Pencapaian terbaik negara hanyalah sekadar muncul naib juara pada edisi 1994 di Jakarta, 1998 di Hong Kong, 2002 di Guangzhou dan 2014 di India.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata para pemain telah melakukan yang terbaik, namun nasib tidak menyebelahi mereka.
“Pemain kita boleh melakukan lebih baik lagi. Saya nampak dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini, mereka melakukannya dengan sangat baik.
Kesemua pemain telah mencuba dengan sebaik mungkin. Itu yang kita harapkan. Namun, nasib tidak menyebelahi kita,” katanya
Antara faktor yang menyumbang kepada kegagalan itu adalah kerana Malaysia jelas ketandusan bakat pemain terutama dalam acara individu yang dilihat menjadi punca Malaysia gagal menamatkan kemarau juara Piala Thomas selama 30 tahun.
Perkara ini diakui oleh bekas jaguh badminton negara Roslin Hashim yang menyaksikan Malaysia terlalu bergantung kepada pemain nombor lima dunia Lee Zii Jia dan pasukan itu untuk menyumbang mata pada Piala Thomas 2022 di Bangkok, Thailand.
Jelas sekali, Malaysia perlu memandang serius masalah ini memandangkan isu ini bukanlah perkara baru dalam arena sukan badminton.
“Isu kemandulan pemain individu ini bukanlah perkara baharu kerana ia berlaku pada zaman Datuk Lee Chong Wei dan kini beliau telah diturunkan oleh Zii Jia.
“Kalau acara individu, mungkin kami boleh berbangga kerana kami mempunyai pemain yang berkualiti, tetapi ini acara berpasukan.
“Kalau awak nampak India yang memenangi edisi ini, saya boleh katakan pasukan mereka agak stabil, jurang perbezaan individu pertama dan kedua tidak ketara termasuk pasukan.
“Jadi saya rasa jika masalah ini tidak dapat diselesaikan, agak sukar untuk Malaysia mencabar kejuaraan pada masa hadapan,” katanya.
Roslin turut berharap Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersikap adil dalam pemilihan pemain yang akan menyertai kejuaraan badminton pasukan tertua dunia itu pada masa hadapan.
“Selepas ini BAM sepatutnya memberi ruang kepada lebih ramai pemain profesional bersama dalam skuad dan bukan hanya pemain BAM jika mereka mempunyai potensi lebih baik.
“Dalam edisi kali ini, nampaknya BAM tidak adil kepada Soong Joo Ven dan Cheam June Wei yang pada pendapat saya lebih baik daripada beberapa pemain kesatuan dalam senarai itu.
“Jika anda boleh memberi peluang kepada Liew Darren dan Zii Jia, mengapa tidak mereka.
“Jangan disebabkan ego, akhirnya negara kita yang rugi,” jelasnya.
Kegagalan skuad kebangsaan di Piala Thomas boleh dikatakan bermula sejak dari awal lagi iaitu ketika pemilihan pemain yang disifatkan sebagai ‘pemilihan pelik’.
Bekas pemain No. 1 Dunia iaitu Datuk Wira Lee Chong Wei yang kecewa dengan aksi hambar skuad negara dalam satu temubualnya bersama sebuah akhbar tempatan, menyatakan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann perlu bertanggungjawab atas kegagalan skuad negara.
Menurut Chong Wei, selepas dua tahun mengendalikan perseorangan negara, Choong Hann dan BAM masih gagal melahirkan bakat pemain perseorangan negara yang setanding Lee Zii Jia.
Ia telah terbukti ketika perlawanan suku akhir baru-baru ini apabila hanya Zii Jia sahaja yang berjaya menyumbang mata, manakala dua lagi pemain perseorangan negara iaitu Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao tumbang di tangan lawan.
Dengan aksi yang cukup menghampakan ini, Chong Wei percaya Malaysia tidak akan mampu memenangi Piala Thomas yang pernah dimenangi pada 1992 selagi mereka gagal membariskan skuad yang ampuh di mana negara perlu ada sekurang-kurangnya dua atau tiga pemain perseorangan hebat.
Berbalik kepada pemilihan pemain pada edisi kali ini yang dikatakan ‘pelik’, Chong Wei bersetuju sekiranya BAM mengadakan pemilihan secara terbuka seperti yang dilakukan oleh skuad India.
Ia telah dibuktikan apabila pemain No. 13 Dunia dan No. 3 di India, B. Sai Praneeth yang tidak terpilih ke Piala Thomas selepas kalah dalam perlawanan pemilihan.
Terdapat juga desas-desus yang mengatakan BAM ‘membuli’ pemain profesional apabila lebih mengutamakan pemain mereka berbanding prestasi semasa pemain.
Salah satu contoh adalah perseorangan negara Soong Joo Ven yang tidak terpilih walaupun berjaya menewaskan pemain No.1 Korea Selatan, Heo Kwang Hee di Korea Masters baru-baru ini. Cheam June Wei pula, menundukkan H.S.Prannoy pada kejohanan yang sama.
Jika sebelum ini Malaysia merupakan gergasi badminton dunia apabila sering menjadikan pasukan seperti Thailand, India, Singapura, Jepun dan beberapa negara lagi sebagai ‘lauk’, namun kini sebaliknya berlaku apabila negara yang dahulunya menjadi mangsa belasan kini meningkat secara mendadak.
Manakala Malaysia pula semakin merosot dan sehingga kini kita masih tidak melihat ada sinar harapan buat skuad negara kerana ketika ini Malaysia cuma ada seorang pemain perseorangan sahaja yang berada dalam ranking Top-40 iaitu Zii Jia yang berada pada kedudukan ke-6 dunia ketika ini.
Melihat kepada kejayaan muncul juara Piala Thomas 2022, India kini bukan lagi sebuah pasukan lauk pauk, mereka kini gergasi baharu dalam arena badminton dunia.
Lagenda badminton negara, Datuk Seri Jalani yang merupakan anggota skuad Malaysia ketika kali terakhir menjulang Piala Thomas pada 1992, India mampu menjadi kuasa besar badminton dalam tempoh tiga tahun akan datang.
“Tidak mustahil India bakal menjadi kuasa besar dalam sukan badminton, mereka memiliki perancangan dalam pembangunan pemain khususnya perseorangan lelaki.
Menurut beliau lagi, India kuat dalam acara perseorangan, bukan sahaja pemain yang disenaraikan dalam skuad Piala Thomas kali ini tetapi skuad muda mereka yang saya lihat banyak menyertai kejohanan luar.
India memiliki lima pemain perseorangan lelaki dalam kelompok 30 terbaik dunia diketuai Lakshya Sen, Kidambi Srikanth, B. Sai Praneeth, H.S Prannoy dan Sameer Verma.
Bekas beregu dan jurulatih negara, Tan Kim Her pula antara yang bertanggungjawab menaikkan beregu No. 8 dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag ketika melatih India dari 2015 hingga 2019.
Jalani menggesa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil tindakan drastik jika tidak mahu ketinggalan bukan sahaja di belakang Indonesia, Jepun, China dan Denmark, malah tidak mustahil India.
Jelas satu perubahan drastik perlu dilakukan dengan segera untuk memastikan badminton negara kembali dengan status sebagai salah satu gergasi Asia mahupun dunia.