Tiga teras utama ditetapkan dalam Tawaran Pakatan Harapan (PH) kepada rakyat Johor melibatkan teras membina semula ekonomi rakyat; menjamin kesejahteraan rakyat; serta mewujudkan pentadbiran bersih, cekap dan bermaruah.
Menurut Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan manifesto yang diumumkan oleh PH menekankan kepada kepentingan rakyat, berbanding pemimpin politik.
Semua tawaran berkenaan adalah demi kestabilan rakyat Johor bagi memastikan negeri ini kembali harmoni serta mempunyai ekonomi yang berkembang pesat.
PRN Johor 2022 memberi peluang kepada rakyat Johor untuk memilih kerajaan untuk selama 5 tahun (2022 – 2027). Dengan pengalaman pentadbiran, kejayaan yang dilaksanakan, PH ingin menampilkan Tawaran Pakatan Harapan kepada rakyat negeri Johor.
3 Teras Tawaran (TT) oleh PH:
1) Membina semula ekonomi rakyat
- Kami memahami masalah golongan penganggur dan pekerja sambilan yang hidup kais pagi makan pagi.
- Kami memahami masalah graduan kelayakan tinggi tapi tidak mempunyai pekerjaan.
- Kami menyedari kesan buruk Covid-19 kepada ekonomi Negeri Johor termasuk perjalanan ulang-alik ke Singapura.
- Kami akan memberi tumpuan untuk memulihkan semula ekonomi Johor secara mampan.
2) Menjamin kesejahteraan rakyat
- Kami menyedari bahawa Rakyat terbeban dengan kenaikan kos sara hidup; Harga ayam, sayur dan buah-buahan meningkat berlipat kali ganda.
- Memahami tekanan mental dan gangguan yang dihadapi oleh ahli keluarga yang berdepan dengan Covid-19.
3) Mewujudkan pentadbiran bersih, cekap dan bermaruah
- Kami yakin bahawa ketidakstabilan politik negara kerap diganggu-gugat oleh kerakusan oleh kerakusan parti dan politikus yang tidak menghormati mandat rakyat melalui lunas demokrasi, mesti dibanteras.
- Mendukung kepercayaan bahawa kerajaan yang mendapatkan sokongan seluruh rakyat adalah kerana melaksanakan pentadbiran yang cekap, bersih, bermaruah serta bebas salah-guna kuasa dan rasuah.
Dalam pada itu, PH Johor hanya akan memutuskan calon pilihan Menteri Besar selepas berjaya memenangi PRN nanti kerana fokus utama mereka ketika ini adalah untuk menang dan memanfaatkan sehabis baik tempoh berkempen.
Pentadbiran PH selama 22 bulan boleh dijadikan panduan kepada rakyat bagi menghadapi PRN Johor kali ini.
Antara yang menjadi perhatian pengundi adalah peningkatkan hutang kerajaan kepada RM741 bilion (51.8% dari KDNK) di bawah PH berbanding RM686 bilion (50.7% dari KDNK) di bawah BN. Hutang kini lebih meningkat dengan mendadak kerana penangan krisis kesihatan dan kewangan.
Kerajaan PH juga tidak dapat mewujudkan peluang pekerjaan seperti mana yang terkandung dalam manifesto lepas. Berbanding semasa pemerintahan kerajaan BN, sebanyak 3.6% peluang pekerjaan pada tahun 2018 diwujudkan.
Begitu juga rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) jatuh teruk daripada USD109.4 bilion pada Mei 2018 kepada USD102.1 bilion pada Januari 2019. Serentak itu, Malaysia diberi gelaran pasaran saham paling corot di dunia oleh Bloomberg dan paling corot di Asia oleh Nikkei.
Apa pendapat anda? Bolehkah PH diberikan peluang untuk mentadbir kerajaan?