Landskap politik negara kini dinamik dengan beberapa kejadian ahli politik yang lompat parti ekoran perubahan dan pergerakan politik semasa yang menyebabkan keadaan politik negara haru-biru serta mengelirukan rakyat.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, seramai 39 Ahli Parlimen telah melompat parti dari 2018 sehingga kini.
Beliau juga menambah, tindakan lompat parti ini menyebabkan kepada ketidakstabilan politik dan telah membawa kepada pertukaran tiga Perdana Menteri dalam satu penggal parlimen.
Bagi mengelakkan situasi ini dari menjadi tidak terkawal, Rang Undang-undang Antilompat Parti 2022 telah dirangka oleh kerajaan yang mengambil masa selama lima bulan.
Sehubungan dengan itu, Mesyuarat Khas Parlimen telah diadakan bagi perbahasan Rang Undang-undang Perlembagaan (pindaan) 2022 pada 11 April 2022 dan Rang Undang-undang Antilompat Parti akan dibentangkan pada sidang khas lain.
Sesi khas bagi pembentangan dan perbahasan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 itu diadakan bagi membolehkan penggubalan RUU berkaitan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti dilakukan di Parlimen.
Untuk sesi tersebut, seramai 63 ahli Parlimen disenaraikan sebagai pembahas, namun hanya 59 sahaja yang mengambil bahagian dengan 4 daripada mereka tiada dalam Dewan Rakyat ketika nama dipanggil.
Antara isi perbincangan sesi khas tersebut adalah seperti berikut;
- Berkaitan tafsiran lompat parti
- RUU Perlembagaan (Pindaan) tidak mengkhususkan kepada cadangan gubalan akta larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti
- Cadangan pindaan tersebut terlalu luas, tidak jelas dan boleh menimbulkan kekeliruan
- Dicadangkan untuk tafsiran larangan bertukar parti dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi mengelakkan sekatan kebebasan melalui penggubalan undang-undang lain.
- Cadangan untuk memasukkan Ahli Dewan yang mengundi bertentangan dengan kehendak parti politik di Parlimen dikategorikan sebagai lompat parti
- Berkaitan tempoh masa bertenang (Perkara 48 (6))
- Dipersoalkan kerana pada asalnya dikecualikan kepada Ahli Dewan Rakyat yang kehilangan kerusi akibat bertukar parti
- Berkaitan ouster clause seksyen 18c Akta Pertubuhan 1966
- Dicadangkan untuk kaji semula ouster clause ini
- Cadangan recall election
- Cadangan untuk larangan bertukar parti hanya melalui pindaan perlembagaan persekutan tanpa penggubalan akta khusus
- Cadangan untuk ahli Dewan Negara diambil kira dalam peruntukan larangan ini
- Cadangan untuk kerajaan negeri diberi kebebasan untuk meminda Perlembagaan Negeri untuk pelaksanaan perintah larangan ini di peringkat negeri
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menyatakan bahawa kesemua cadangan yang telah dikemukakan akan dibawa kepada Jawatankuasa Pilihan Khas untuk penelitian.
Hasil daripada sesi khas yang memakan masa 7 jam itu, Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bersetuju untuk merujuk pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Perlembagaan itu ke Jawatankuasa Pilihan Khas sebelum dibentangkan ke Mesyuarat Khas Parlimen akan datang.
Ringkasnya, tindakan sesetengah ahli politik melompat parti harus dibendung dengan penguatkuasaan undang-undang yang diperlukan bagi mengelakkan ketidakstabilan landskap politik negara berlaku lagi di masa hadapan.