CNA/Amir Yusof
Mandat Kerajaan Negeri Johor menjadi milik Barisan Nasional (BN) setelah disahkan meraih kemenangan majoriti 2/3 dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022. Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengesahkan BN memenangi 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan. Dalam pada itu, Pakatan Harapan (PH) memenangi 11 kerusi, Perikatan Nasional sekadar memenangi 3 kerusi manakala PKR dan MUDA hanya menang satu kerusi.
Kemenangan besar BN ini melebihi jangkaan banyak pihak, termasuk kami di Pendapat yang menjangkakan BN untuk memenangi 36 kerusi, diikuti dengan 19 kerusi PH dan 1 kerusi MUDA berdasarkan tinjauan PRN Johor. Selain daripada kami, ILHAM Centre menjangkakan BN untuk menang 35 kerusi, diikuti PH dengan 10 kerusi.
Perdana Menteri, Dato Sri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan kemenangan BN pada PRN Johor sebagai di luar jangkaan. Menurut beliau lagi, kemenangan di 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor semalam melebihi sasaran ditetapkan oleh parti.
Kemenangan BN diyakini tidak menjejaskan hubungan di peringkat kerajaan Persekutuan, yang meliputi menteri serta timbalan menteri daripada parti pentadbir kerajaan yang berbeza. Walaupun mesyuarat Kabinet pertama selepas PRN itu hanya akan berlangsung minggu depan, Perdana Menteri optimis semua anggota kabinetnya profesional dan dapat bekerjasama dengan baik.
“Waktu PRN Melaka pun kami bertembung dan tidak bawa pertembungan itu ke Kabinet. Di Johor, pertembungan juga sengit dan sebagainya, tapi juga ia tidak dibawa ke Kabinet. Saya berharap dan yakin,” katanya.
Berdasarkan PRN Johor, ianya diyakini boleh menjadi picu kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dipercayai akan turut dilaksanakan tahun ini.
Ketua Penerangan UMNO Selangor, Isham Jalil berkata, pelaksanaan PRU15 melihat kepada objektif pelaksanaan PRN iaitu demi mencapai kestabilan politik bagi negeri Johor. Jika PRU15 mempunyai asas yang sama, Malaysia tidak perlu menangguhkan lagi perkara seperti ini.
Rakyat Johor sudah membuat pilihan, semua pihak perlu terima dengan hati terbuka. Semua pihak harus melupakan pertandingan yang lalu, duduk bersama semeja sebagai Keluarga Malaysia untuk rakyat bersama membangunkan negeri Johor.
Walaupun desas-desus PRU 15 semakin kuat diperkatakan, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengulangi nasihat baginda dua minggu lepas pada pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi Penggal Ke-14, 2022.
“Janganlah asyik berpolitik siang dan malam untuk kepentingan diri masing-masing,” titah baginda.