Perikatan Nasional (PN) melancarkan manifesto untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang memfokuskan lapan tunjang utama merangkumi 24 strategi dan 145 pendekatan.
Tawaran inklusif yang bertemakan ‘Demi Bangsa Johor’ itu mempunyai objektif untuk memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada mendapat manfaat hasil pembangunan pesat negeri dalam pelbagai sektor ekonomi dan sosial.
PN berikrar akan mengubah landskap pentadbiran Negeri Johor yang berintegriti dan bebas rasuah sekiranya diberi mandat sebagai kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu kali ini. Ikrar ni adalah janji pertama PN kepada Bangsa Johor dan ia penting dalam pembangunan ekonomi di negeri berkenaan.
Berikut merupakan 11 tawaran Perikatan Nasional
1. Komputer riba percuma dan bantuan tunai kepada anak muda Johor dari keluarga kurang berkemampuan untuk ke Universiti
2. 20 meter air percuma kepada isi rumah berpendapatan rendah
3. Menyelamatkan projek perumahan terbengkalai generasi baharu FELDA
4. Mendokong kepimpinan bebas rasuah dan salah laku
5. Kad prihatin Johor bagi keluarga & individu berpendapatan rendah mendapatkan rawatan di klinik swasta
6. Bantuan JKIDS RM150 bagi kelahiran anak Johor dari keluarga berpendapatan rendah
7. Dana Digital Niaga untuk usahawan muda
8. Kadar premium Tanah RM1/ kakipersegi untuk rumah generasi baharu
9. Membangunkan Johor sebagai Hab Digital Negara
10. Pengecualian lesen perniagaan Pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk tempoh 5 tahun
11. Pengecualian sepenuhnya bayaran sewa tapak perniagaan milik PBT selama 5 tahun.
Lapan tunjang utama yang menjadi fokus PN itu ialah kepemimpinan berintegriti dan bebas, keutuhan ekonomi Johor, keutamaan tangani kos sara hidup, keprihatinan kepada rakyat, kesejahteraan sosial, kecekapan infrastruktur, merancakkan sektor pelancongan dan kelestarian alam sekitar.
Bagi memastikan semua ikrar yang dilafazkan dapat direalisasikan, sebuah Jawatankuasa Khas Pemantau Pelaksanaan yang dianggotai oleh golongan profesional dan berpengalaman dalam kalangan anak Johor akan ditubuhkan.
Semasa pentadbiran Muhyiddin, kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion secara bersyarat pada tahun lepas.
Oleh itu, strategi Muhyiddin yang membawa agenda PN berhubung penyelesaian hutang peneroka mungkin dapat memenangi sebilangan hati pengundi di Johor.
Apa pendapat anda tentang manifesto ‘Demi Bangsa Johor’ oleh PN ini? Adakah ianya lebih menarik berbanding manifesto ‘Ikhtiar BN Johor’?