Bersediakah Malaysia? Bersediakah parti politik dengan pengalaman, manifesto, imej, trek rekod, jenama dan pemasaran politik; tidak lupa calon mereka. Apakah ia masih tertumpu kepada tohmahan, fitnah, persepsi, simpati dan mengaibkan antara satu sama lain?
Polemik sebelum ini, sama ada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan akhirnya terjawab apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 11 Oktober 2022 mengumumkan pembubaran Parlimen Ke-14 bagi memberikan laluan pilihan raya.
Pembubaran itu diumumkan beliau selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Justeru ujarnya, ketua-ketua kerajaan negeri kecuali kerajaan negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor disarankan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tarikh yang sama dengan Pilihan Raya Umum peringkat Parlimen, meskipun beberapa buah negeri telah memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing.
“Ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos,” ujarnya.
Parlimen sudah dibubarkan dan parti-parti yang bertanding sudah bersedia memalu gendang kempen mereka. Semua pihak menanti-nanti tarikh keramat membuang undi.
Dalam pada itu, politik negara dikatakan sedang matang, begitu juga rakyat sudah cukup dewasa dan faham dengan senario politik Malaysia.
Oleh itu, tidaklah sewenang-wenangnya bagi mereka untuk ‘menyerahkan’ mandat pemerintahan kepada pemimpin yang hanya anggap jawatan adalah lubuk membina pengaruh dan mengaut keuntungan harta semata.
Pilihan raya umpama ‘gelanggang politik’ kerana ia adalah tempat untuk parti politik menjuarai hati rakyat dengan menyajikan ‘janji-janji manis’ untuk meraih undi rakyat. Bagaimanapun, semuanya terletak di atas bahu rakyat untuk menentukan barisan kepimpinan yang layak untuk kemudi bahtera Keluarga Malaysia yang baharu.
Pilih calon atau parti? Itu soalan lazim setiap kali berlangsung pilihan raya, sama ada Pilihan Raya Umum (PRU) mahupun Pilihan Raya Kecil (PRK). Jika ditanya kepada kita, apa jawapan yang ada? Adakah sama seperti A yang memilih parti walaupun calonnya kurang menyengat, jauh sekali menepati kriteria seorang calon boleh menang.
Atau adakah kita mencontohi B yang begitu menitikberatkan kualiti calon, memilih individu yang dirasakan mampu mengubah dinamika politik, meskipun datang daripada parti kurang berpengalaman mentadbir negara.
Namun begitu terdapat juga sebilangan pengundi yang mementingkan siapakah calon yang akan mewakili mereka. Golongan ini mahukan calon yang mereka pilih bukan sahaja bekerja untuk parti yang diwakili tetapi yang penting bekerja untuk mereka.
Kebiasaannya, golongan ini bukan ahli mana-mana parti sebaliknya mereka yang dilabelkan sebagai pengundi atas pagar. Namun begitu tidak dinafikan, di tangan merekalah sebenarnya kemenangan ditentukan. Pihak yang bertanding sudah pasti maklum tentang kepentingan undi dari golongan ini.
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bersetuju agar PRU15 diadakan awal bulan depan sebelum musim banjir atau musim tengkujuh.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berpendapat PRU15 boleh diadakan sebelum pertengahan November, iaitu sebelum menjelangnya musim banjir atau musim tengkujuh.
“Berkaitan dengan PRU15, dimaklumkan bahawa tarikh baru Perhimpunan Agung Umno yang sebelum ini ditentukan pada 23 hingga 26 November 2022 akan diubah kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat MKT berlangsung di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) malam ini.
Namun begitu, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk menangguhkan PRU15 ke satu tarikh yang lebih bersesuaian sekiranya berlaku bencana banjir semasa proses pengundian.
Penulis buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia, G Manimaran berkata, perkara sama pernah dilakukan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan menangguhkan pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) susulan krisis kesihatan yang melanda negara, walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh-tarikh penting pilihan raya.
“Satu lagi saya melihat mungkin masih ada ruang untuk mengelakkan mengadakan pilihan raya waktu banjir. Kalau kita melihat kepada situasi atau pengalaman kita semasa COVID-19, di mana beberapa PRK walaupun SPR telah menetapkan tarikh, tetapi atas perkenan Tuanku, PRK ditangguhkan kerana krisis kesihatan.
“Kalau kita mengambil terjemahan kepada kemungkinan tersebut pada hari ini , jika SPR menetapkan tarikh pilihan raya katakan pada awal bulan November, kemudian musibah banjir berlaku dan impaknya tidak dapat dielakkan.
“Saya rasa masih ada pilihan untuk menangguhkan tarikh pengundian kepada satu tarikh yang kondusif kepada semua pihak. Saya rasa masih ada ruang perkara itu, dan Tuanku boleh buat keputusan sedemikian,” katanya kepada Astro AWANI.
Orang ramai yang layak mengundi, khususnya pengundi berusia 18 tahun ke atas disaran supaya tidak memboikot Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, berkata beliau bimbang jika gelombang memboikot PRU-15 ‘berjangkit’ secara meluas dan terdapat kemungkinan besar ia bakal merencatkan proses demokrasi, sekali gus perubahan tidak boleh dilakukan.
“Jangan sesekali boikot, kalau kita boikot dan enggan keluar undi mungkin undi kita itu disalahgunakan.
“Kalau boikot, satunya seakan-akan mengalah kepada kebobrokan (kerosakan) yang berlaku dan mengiyakan aspek salahguna kuasa yang kita nampak sama ada (isu) LCS, 1MDB dan sebagainya,” katanya ketika berinteraksi secara dalam talian menerusi Facebook Live hari ini.
Berdasarkan pengalaman bertemu pengundi di lapangan, bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menceritakan terdapat seorang pengundi yang enggan menjalankan tanggungjawabnya kerana tidak percaya kewibawaan orang politik susulan tindakan ramai Ahli Parlimen yang melompat parti.
Lalu beliau menceritakan apa yang Parlimen lakukan bagi memastikan gejala ‘lompat katak’ dihentikan dengan meluluskan Akta Anti Lompat Parti.
“Saya rasa masih ada pilihan untuk menangguhkan tarikh pengundian kepada satu tarikh yang kondusif kepada semua pihak. Saya rasa masih ada ruang perkara itu, dan Tuanku boleh buat keputusan sedemikian,” katanya kepada Astro AWANI.
“Saya bertemu dengan seorang kakak di Bangsar yang bercerita dia dan kawan-kawannya bersembang di WhatsApp tidak mahu mengundi kerana orang itu (wakil rakyat) akan melompat pula (ke parti lain).
“Saya cakap kita sudah meluluskan Akta Anti Lompat Parti dan saya ceritakan kita juga akan kenakan hukuman. Dia pun terkejut kerana dia masih ingat ‘katak’ masih boleh melompat.
“Tak boleh (lompat parti), sudah tutup, sudah hentikan,” katanya.