Di blok kerajaan, PRN Johor bakal menyaksikan pertembungan di antara BN dan PN. Setelah kemenangan besar di PRN Melaka, BN tampak lebih yakin untuk bertanding secara solo.
Mengikut keputusan terkini Undian PRN Johor di Pendapat, 56% pengundi menyatakan sokongan terhadap BN dan 21% pengundi memilih PN. Selebihnya dikongsi parti-parti pembangkang.
Bagi BN, mereka mungkin tidak lagi mahu bekerjasama dengan PAS kerana PAS dilihat lebih cenderung mempertahankan PN yang menjadi seteru politik BN. Tetapi jika perlu, mereka mungkin akan menjayakan kerjasama tiga penjuru untuk membentuk kerajaan Johor.
Seperti di PRN Melaka, BN telah mengumumkan 70% muka baharu dan hampir 80% daripada keseluruhan calon BN berusia di bawah 55 tahun dan mempunyai kelayakan akademik yang tinggi. Pendekatan ini sedikit sebanyak membuktikan perubahan dalam BN dan kebangkitan BN sedang berlaku dari dalam.
Namun, BN yang lebih sinonim sebagai pilihan tunggal dikalangan pengundi tegar mereka yang lebih berusia, kini menghadapi cabaran untuk menarik pengundi muda – khususnya pengundi otomatik berusia 18 hingga ke 21 tahun. Untuk pengundi-pengundi muda ini, mereka lebih terdedah kepada maklumat dan sebaran di media sosial yang kebanyakannya pro pembangkang – terutamanya PKR, MUDA dan DAP.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yakin dapat mempertahankan 11 kerusi DUN pada PRN Johor yang akan datang.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata rakyat dijangka beri peluang kepada PN berdasarkan rekod pencapaian kerajaan yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin – yang telah menangani dua krisis besar dihadapi negara membabitkan aspek kesihatan dan ekonomi susulan pandemik COVID-19.
Bukan sahaja di blok kerajaan, perpecahan juga dapat dilihat dalam gabungan pembangkang yang sebelum ini dilihat kuat sebagai PH tetapi kini mereka nampak berpecah dan tidak lagi sehaluan.
Adakah perpecahan di sebelah kerajaan mahupun pembangkang akan memecahkan undi penyokong-penyokong mereka selama ini? Haruskah mereka bergabung semula untuk membina blok kerajaan dan blok pembangkang yang utuh?