HIV bermaksud human immunodeficiency virus (HIV). Ia adalah virus yang boleh menyebabkan AIDS jika tidak dirawat. Virus HIV bukan seperti virus lain. Penyakit HIV disebabkan oleh jangkitan HIV-1 atau HIV-2, yang merupakan retrovirus dalam keluarga Retroviridae, genus Lentivirus.
Jangkitan baharu HIV atau AIDS di negara kini mencatatkan penurunan sebanyak 70 peratus dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli.
Beliau berkata, rawatan ubat antiretroviral (ARV) kepada orang yang hidup dengan HIV (ODHA) telah dipertingkatkan kepada 66 peratus pada tahun lepas berbanding 28 peratus pada 2015.
“Ketidaksamaan masih menjadi penghalang kepada usaha ini. Justeru, dalam memastikan kesaksamaan dicapai, ketersediaan, kualiti dan kesesuaian perkhidmatan rawatan, ujian dan pencegahan HIV mesti dipertingkatkan,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 bertemakan ‘Equalize: Kesaksamaan untuk kesihatan bagi mengakhiri AIDS’.
Dr Norhayati berkata, uji dan rawat HIV terus diperkukuh dan dipertingkatkan dengan memperkenalkan saringan HIV kendiri untuk menarik lebih ramai kalangan populasi kunci dan pasangan menjalani saringan dan seterusnya rawatan.
Selain itu, program Pengurangan Stigma dan Diskriminasi melalui Pendekatan Peningkatan Kualiti yang dijalankan di fasiliti kesihatan turut berjaya mengurangkan stigma dan diskriminasi terhadap ODHA dalam kalangan kakitangan kesihatan.
Jelasnya, program itu diperluas di 55 fasiliti kesihatan di seluruh negara dan dijangka diperluas ke semua fasiliti kesihatan pada masa akan datang.
Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAM), Dr Dinesh Mahalingam berkata, transmisi HIV secara seksual dalam kalangan golongan belia berumur 13-39 tahun membimbangkan berdasarkan peningkatan 80 peratus bagi golongan itu.
Katanya, MAM sentiasa berpegang teguh kepada prinsip kesaksamaan dan nilai-nilai kemanusiaan bahawa setiap individu tanpa mengira bangsa, kepercayaan, gender, seksualiti dan taraf sosioekonomi berhak untuk hidup sihat dan bebas daripada ancaman diskriminasi dan prejudis.
Golongan pesakit HIV dan AIDS dinasihatkan tampil mendapatkan rawatan saringan dan pengesanan awal bagi memastikan penyakit dihadapi mereka itu tidak terus menular.
Datuk Dr. Norhayati Rusli berkata, pihaknya sentiasa mencuba mengubah rasa malu pesakit untuk mendapatkan rawatan saringan awal berkenaan.
“Jadi, jangan malu-malu, kami mahu mereka tampil ke hadapan kerana kami sentiasa memberi perkhidmatan yang terbaik buat rakyat,” katanya.