Telah banyak perubahan berlaku sejak Covid-19 menyerang dunia. Malah gaya hidup dan cara kebanyakkan orang telah terkesan dengan perubahan yang berlaku khasnya dari segi waktu dan cara bekerja itu dilaksanakan.
Disebabkan itu, masyarakat dunia amnya telah melaksanakan pelbagai langkah dan inisiatif untuk mengekang virus pembunuh ini termasuk kawalan pergerakan dan penjarakan sosial.
Tindakan itu nyatakan mengubah cara bekerja termasuk waktu bekerja yang sudah berubah iaitu secara hibrid. Namun selepas dua tahun pandemik melanda para pekerja kini dilihat mahukan waktu yang lebih fleksibiliti untuk bekerja.
Pengiktirafan oleh majikan kepada pekerja dapat meningkatkan persaingan sihat dalam organisasi, memupuk sikap positif dalam kalangan pekerja seterusnya meningkatkan produktiviti mereka.
Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, ini antara perkara perlu diberi perhatian majikan selaras tema Hari Pekerja tahun ini iaitu ‘Pekerja Tonggak Keluarga Malaysia dalam Pemulihan Negara’.
Beliau berkata rehat juga merupakan elemen penting kepada keseimbangan antara kehidupan dengan pekerjaan yang bukan sahaja akan memberi manfaat kepada kesihatan fizikal dan mental pekerja, tetapi menyumbang kepada peningkatan produktiviti negara secara amnya.
Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) NIOSH menyusun pelbagai program, kursus, rundingan dan penyelidikan bagi membantu industri memperkemaskan budaya selamat dan sihat di tempat kerja.
Pengerusi NIOSH, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, pekerja dan majikan harus sentiasa mengamalkan budaya kerja selamat dan sihat di tempat kerja.
Di peringkat tempat kerja, beliau berkata, budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) yang kukuh ialah budaya di mana hak untuk mendapatkan persekitaran kerja yang selamat dan sihat dihargai dan digalakkan oleh pihak pengurusan dan pekerja.
Pengurusan tempat kerja perlu kerap mengadakan program berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) sebagai aktiviti tahunan organisasi.
Jelasnya, usaha itu mampu menyumbang kepada pengurangan kadar kemalangan dan penyakit pekerjaan di Malaysia
Sejak akhir-akhir ini, terdapat pandangan dan pendapat yang mengatakan bahawa waktu bekerja 9pagi hingga 5petang, 5 hari seminggu tidak lagi releven.
Sehubungan dengan itu, firma-firma dan kerajaan di beberapa negara Asia sedang cuba melaksanakan idea waktu bekerja yang lebih kurang iaitu 4 hari seminggu namun ianya dilakukan secara berhati-hati.
Ini disebabkan waktu kerja sedia ada dilihat memberikan kesan buruk kepada kesihatan pekerja malah menghalang pekerja menghasilkan produktiviti yang diharapkan.
Jepun sememangnya terkenal dengan budaya kerja lebih masa, sedang cuba melaksanakan idea tersebut dengan beberapa syarikat gergasi ternama dunia seperti Hitachi, Panasonic dan NEC.
Negara tertangga, Indonesia melalui syarikat P2P, Alami telah mula melaksanakannya malah syarikat Eduwill dari Korea Selatan telah melaksanakan idea ini sejak 2019 lagi.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Syed Hussain Syed Husman berkata, idea empat hari bekerja, sekiranya dilaksanakan di Malaysia akan mengakibatkan peningkatan kos dan tidak sesuai dilaksanakan tatkala majikan masih bergelut dalam fasa pemulihan selepas pandemik Covid-19 dan banjir yang melanda.
“Bagaimanapun, tiada peningkatan kos dijangka sekiranya jumlah jam bekerja sedia ada dimampatkan ke dalam empat hari, dan majikan boleh meneroka kebarangkalian melaksanakan empat hari bekerja,” katanya.
Peningkatan kos akan membuatkan satu-satu perniagaan kurang berdaya saing di pasaran, sekali gus mengakibatkan syarikat kehilangan klien dan syer pasaran.
Tegasnya, faktor budaya kerja yang berbeza antara negara mesti diambil kira.