Ibarat menjadi duri dalam daging kepada Malaysia, isu Sulu timbul lagi.
Kemuncak konflik dengan waris kesultanan Sulu ini mula berlaku pada Februari 2013 apabila 235 orang dipercayai warga Filipina yang sebahagiannya bersenjata mendarat di Kg. Tanduo, Daerah Lahad Datu, Sabah. Kumpulan tersebut yang menggelarkan diri mereka sebagai Angkatan Keselamatan Diraja Kesultanan Sulu dan Borneo Utara, telah dihantar oleh Jamalul Kiram III yang merupakan salah seorang dari pihak-pihak yang menuntut takhta Kesultanan Sulu.
Kiram menyatakan bahawa matlamat mereka adalah untuk menuntut kembali wilayah mereka di bahagian timur Sabah (bekas Borneo Utara) yang masih tidak dapat diselesaikan.
Akibat daripada pencerobohan itu Kerajaan Malaysia telah menghentikan bayaran pampasan sebanyak RM5,000 kepada waris Sulu.
Bayaran tersebut diwarisi negara daripada penjajah Inggeris melalui North Borneo Chartered Company yang telah membuat satu perjanjian dengan Kesultanan Sulu pada 1878 untuk menyerahkan Sabah kepada mereka dengan bayaran ‘5,000 Malayan dollar’ setiap tahun.
Terbaharu waris Kesultanan Sulu berjaya membawa tuntutan tersebut ke peringkat antarabangsa. Pada 28 Februari lalu, penimbang tara Sepanyol, Dr Gondoza Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris Sultan Sulu.
Pada 11 Julai lalu, peguam pihak Sulu dilaporkan mendakwa telah merampas aset Petronas yang didaftarkan di Luxembourg, iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, dengan nilai dilaporkan mencecah lebih AS$2 bilion (RM8.8 bilion).
Kerajaan memberi jaminan untuk tidak akan berkompromi atau berganjak walau seinci dalam mempertahankan hak dan kedaulatan negara daripada tuntutan Kumpulan Sulu.
Demikian penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung sebarang tuntutan dibuat oleh Kumpulan Sulu atau mana-mana pihak terhadap aset-aset di luar negara.
Katanya, kesemua aset-aset milik kerajaan atau mana-mana agensi berkaitan kerajaan (GLC) akan dipertahankan dan dilindungi daripada segi perundangan.
Sehubungan dengan itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah membuat membuat beberapa dakwaan selain turut mempersoal tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang telah menolak usul untuk dibahaskan isu tuntutan waris Sultan Sulu itu.
Sedangkan majoriti satu Malaysia pada ketika itu mahu hentikan bayaran ekoran tragedi berdarah pencerobohan pengganas Sulu di Sabah.
Pihak Pembangkang, Pengerusi Kebangsaan DAP ketika itu, Karpal Singh telah menggesa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail untuk memfailkan perintah mahkamah bagi Malaysia menghentikan pembayaran untuk Sabah kepada individu yang mendakwa dirinya waris kesultanan Sulu. Beliau berkata kedaulatan negara tidak harus dibenarkan untuk dikompromi dalam apa jua cara sekalipun.
Karpal menekankan bahawa Filipina tidak boleh meletakkan apa-apa tuntutan kepada Sabah atas hakikat bahawa Sabah (dengan peredaran masa) menyertai Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.
Keputusan itu turut disokong oleh seorang tokoh sejarah bahawa kerajaan tidak perlu lagi meneruskan pembayaran wang sebanyak RM5,300 setahun kepada waris Kesultanan Sulu demi mempertahankan sepenuhnya kedaulatan ke atas Sabah.
Prof Emeritus Dr Ranjit Singh dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, pembayaran wang itu boleh menjejaskan kedaulatan negara ke atas Sabah yang sehingga hari ini masih didakwa oleh waris kesultanan itu sebagai milik mereka.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut mencadangkan untuk menghentikan bayaran kerana Sulu sudah melanggar syarat.
“Syaratnya ialah tidak kacau kita, tetapi sekarang mereka kacau. Mereka bertindak ganas, tak cukup bunuh orang, dia cincang dan pecahkan kepala. Apa jenis manusia ini yang kata Islam.
Hal ini telah membuktikan bahawa satu Malaysia mahu hentikan bayaran terhadap Sulu.
Selain itu, Syed Saddiq turut membuat dakwaan bahawa Kerajaan PH tidak wajar dipersalahkan.
Sedangkan tuntutan Sultan Sulu berlaku ketika Tan Sri Tommy Thomas menjadi Peguam Negara dan surat beliau yang bertarikh 19 September 2019 yang dilihat seakan telah makan diri.
“Surat itu memberi pengiktirafan kepada puak pewaris Sultan Sulu dan pengakuan ke atas apa yang dituntut oleh mereka. Ini adalah suatu kesilapan besar oleh Peguam Negara pada masa itu. Beliau perlu dipertanggungjawabkan,” katanya.
Surat ditandatangani Thomas pada 19 September 2019 itu melampirkan salinan penghakiman Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Borneo Utara, Charles F Macaskie pada 1939 bahawa Malaysia tidak mempertikaikan identiti waris Sultan Sulu dan hak mereka untuk dibayar.
Tommy turut menyatakan rasa kesal kerana bayaran dihentikan pada 2013, selain menambah bahawa Malaysia ‘kini bersedia dan sanggup’ membayar semua tunggakan dari 2013 hingga 2019 yang berjumlah RM48,300.




Lagipun, keturunan waris Sultan Sulu dilihat sanggup mengupah peguam dari United Kingdom untuk saman menyaman negara bagi mendapatakan pampasan berpuluh bilion Ringgit di negara Sepanyol.
Jadi, adakah Tommy dan kerajaan PH ketika itu fikir bahawa keturunan Sulu akan hentikan kes setelah dibayar pampasan RM48,300 sahaja?
Akibatnya, selain kerajaan PH tidak menghantar wakil ke kes mahkamah Sepanyol, surat peguam negara tahun 2019 ini yang dijadikan bukti dan alasan utama oleh peguam keturunan Sulu bagi menang kes ini sebab surat ini disifatkan sebagai pengakuan bahawa negara telah “salah” dan kita “kesal”.
Hanya dengan sepucuk surat mengaku bersalah Tommy Thomas, Peguam Negara telah menggadaikan negeri Sabah kepada waris Sulu.
Pakar Geostrategis, Dr. Azmi Hassan berpendapat surat bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas itu telah mengundang implikasi besar.
Menurut Azmi, surat Tommy yang berkhidmat ketika pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan secara tidak langsung telah mengiktiraf tuntutan yang dibuat oleh waris Kesultanan Sulu.
“Surat itu tidak akan memberi kemudaratan kepada Sabah tapi memberi mudarat pengiktirafan kita kepada waris Sulu.
“Jadi salah salah satu keputusan di Mahkamah Tribunal Paris telah menggunakan surat daripada Tommy Thomas. Dikatakan surat yang memberikan makna yang besar,” kata Azmi.

Pejabat Peguam Negara sepatutnya memberikan nasihat yang sewajarnya kepada Tommy sebelum beliau mengutus surat tersebut kepada peguam waris Sultan Sulu.
“Tapi sepatutnya dalam Pejabat Peguam Negara nasihat yang betul diberikan kerana di situlah kepakaran perundangan ada. Jadi saya tidak faham kenapa surat itu dikeluarkan tanpa diselidik dan dianalisis terlebih dahulu,” kata Azmi.
Syed Saddiq tidak berhenti di situ sahaja, beliau turut berkata, “Perintah sita aset dikeluarkan awal tahun (2022). Dan lebih setengah tahun, baru kerajaan nak ambil tindakan perundangan”
Kenyataan yang dikemukakan sangat bercanggah dengan hal sebenar kerana Malaysia telah bertindak pada setiap prosiding mahkamah lebih awal.
- Febuari 2021 – Mahkamah Arbitrasi Perancis merekodkan keputusan Penimbang Tara, Dr Stampa bahawa Malaysia perlu bayar AS$14.92 bilion. Malaysia lawan dan mahu gugurkan Dr Stampa.
- Jun 2021 – Mahkamah Tinggi Madrid membatalkan pelantikan Dr Stampa dan memutuskan semua prosiding timbang tara serta keputusannya adalah tidak sah, terbatal dan tidak boleh dikuatkuasakan.
- September 2021 – Penuntut (waris Sulu) peroleh kebenaran Tribunal de Grande Instance di Paris, untuk memindah tempat prosiding timbang tara. Malaysia kemuka bantahan dan diterima pada Disember 2021.
- Februari 2022 – Dr Stampa mengingkari keputusan Mahkamah Tinggi Madrid dan Paris & mengeluarkan tuntutan Final Award. Malaysia cabar di Mahkamah Rayuan Paris.
- Julai 2022 – Mahkamah Rayuan Paris membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award.
Untuk rekod pada tahun 2013, kerajaan di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak telah menghentikan bayaran kepada waris Kesultanan Sulu selepas kejadian pencerobohan di Lahat Datu.
Langkah tersebut adalah tindak balas secara langsung oleh Kerajaan bagi mengembalikan semula maruah negara selepas tanah air diceroboh secara bersenjata oleh kumpulan Kesultanan Sulu.
Tambahan menurutnya, pencerobohan yang dilakukan telah menyebabkan banyak nyawa melayang termasuk 12 anggota keselamatan negara.
“Itu adalah tindakan yang paling minimum sekali. Jadi itu yang dikatakan tindakan yang betul untuk menjaga maruah dan kedaulatan kita,” katanya.
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli antara yang menyalahkan Najib dengan mendakwa kegagalan dan kecuaian pentadbiran kerajaan ketika diterajui Najib menjadi punca menyebabkan harta milik Petronas dan agensi lain terdedah tindakan sita di seluruh dunia.
Namun, bekas perdana menteri Najib Razak membidas kenyataan bakal Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli yang menyalahkan dirinya dalam isu tuntutan Kesultanan Sulu dan mendakwa kerajaan PH sebelum ini sebenarnya memburukkan lagi keadaan.
Katanya, kerajaan PH sebelum ini tidak berbuat sesuatu apabila waris Sultan Sulu memulakan tindakan selepas mendakwa kerajaan Malaysia tidak membuat bayaran kepada mereka sejak kemangkatan Sultan Sulu Jamalul Kiram II.
Najib berkata, waris Sulu membawa tuntutan ke mahkamah timbang tara, pada 2019, ketika PH berkuasa.
Katanya, tindakan menghentikan pembayaran tahunan kepada waris Sulu (selepas pencerobohan terhadap Sabah pada 2013) disokong mendiang Karpal Singh dan mendiang Dr Chen Man Hin, kedua-duanya daripada DAP dan Dr Mahathir Mohamad.
Tidak lama selepas itu, katanya, satu persatu menteri kerajaan PH cuba “lepas tangan” dengan enggan mengaku tidak tahu yang Tommy menghantar surat berkenaan.
“Tak ambil berat untuk bincang dalam kabinet kerajaan PH, tak hantar peguam untuk mengambil bahagian dan menulis surat untuk mengaku kesal dan salah pulak, mahu kita tak kalah?”
Faktanya, Mahkamah Rayuan Paris membenarkan Malaysia menggantung “Final Award” yang dikeluarkan Dr Gonzalo Stampa berikutan tuntutan oleh pihak yang mendakwa sebagai waris dan ‘successors-in-interest’ kepada Sultan Jamalul Kiram II.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Harun berkata tidak perlu bahas isu ini kerana “first rule of war is element of surprise”.
Kini, Malaysia sedang menunggu tarikh pendengaran mahkamah untuk prosiding membatalkan tuntutan Final Award.
Semua kenyataan yang dikemukakan oleh Syed Saddiq, hanyalah tuduhan semata-mata dan bertujuan untuk memutar belit mengenai tuntutan waris Sultan Sulu.
Sementara itu, bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga menggesa kerajaan mengambil semua langkah proaktif yang difikirkan sesuai dengan segera demi menjaga kepentingan dan aset negara.
Kerajaan digesa mencari penyelesaian muktamad termasuk melalui langkah diplomatik dan perbincangan dengan Kerajaan Filipina supaya tidak berlaku lagi sebarang tuntutan daripada waris Sultan Sulu terhadap Sabah pada masa depan.
Pada masa sama, kerajaan juga perlu menubuhkan satu pasukan peguam tempatan dan antarabangsa bagi mengetepikan semua keputusan timbang tara yang dikemukakan waris Sultan Sulu ke atas Malaysia.