‘Tugas saya tunai amanah tak kira negeri mana’ – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata lawatannya ke Kelantan hari ini sebagai Perdana Menteri bukti beliau bersedia untuk bekerjasama dengan semua.

Perdana Menteri berkata, Kelantan menjadi negeri pertama yang dikunjunginya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Lawatan saya ke Kelantan bukti kesediaan saya untuk bekerjasama dengan semua. Saya sudah beritahu sebelum ini, tugas saya sebagai Perdana Menteri adalah berusaha mentadbir dan mengurus negara dengan sebaik mungkin.

“Soal pilihan raya rakyat yang memilih. Tanggungjawan saya selepas diberi amanah adalah mengurus dengan baik tanpa mengira negeri mana.

Apa pandangan anda tentang PM Anwar turun lawat mangsa banjir di Kelantan ini?

“Tumpuan saya di Kelantan adalah soal banjir memandangkan negeri ini banjir. Kalau bercakap soal pelabuhan mungkin sesuai di Johor, kita ikut keutamaan,” katanya.

Yang turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zainin Husin.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga melawat mangsa banjir di Kelantan.

Mengulas lanjut, Anwar turut bersedia menerima kunjungan daripada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob bagi membincangkan isu pembangunan negeri itu.

“Saya beri jaminan bukan sahaja hari ini, tetapi pada masa depan sekiranya ada keperluan saya sedia menerima beliau sama ada di pejabat untuk berbincang hala tuju untuk kepentingan rakyat dan pembangunan,” katanya.

Kerajaan Persekutuan juga telah mengumumkan peruntukan segera RM50 juta masing-masing untuk Kelantan dan Terengganu, bagi sebagai bantuan awal untuk meringankan beban rakyat akibat bencana Monsun Timur Laut.

Adakah anda atau keluarga anda merupakan mangsa yang dilanda banjir? Jika ya, berapa kerap?

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu diambil selepas melihat banjir yang melanda kedua-dua negeri itu lebih ‘parah’ daripada biasa.

Beliau berkata, perkara itu telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak, dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali akan memantau peruntukan tersebut melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Memandangkan banjir ini lebih parah daripada biasa, walaupun saya telah maklumkan TPM Ahmad Zahid yang ke sini berapa hari lalu, telah beri kelulusan RM12 juta, saya setuju setelah bincang dengan Kementerian dan Jemaah Menteri tadi, untuk luluskan segera RM50 juta untuk Kelantan dan RM50 juta untuk Terengganu.

“Ini keperluan segera yang melibatkan kebajikan rakyat, jadi peruntukan awal RM1,000 kepada semua keluarga ketua keluarga terlibat, dan sekiranya ada kemalangan, peruntukan RM10,000 bagi mangsa tersebut,” katanya lagi.

Anwar berkata, beliau sedia maklum tentang penangguhan sementara projek tebatan banjir tersebut, kerana beliau mahu dijalankan secara tender terhad untuk memastikan tiada kos berlebihan.

Jelasnya lagi, beliau memberi jaminan selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, sebaik sahaja JPS mengemukakan dokumen berkaitan tender terhad kepada Kementerian Kewangan, projek tersebut akan dipercepatkan.

“Walaupun projek tebatan banjir tangguh sebentar, kerana saya mahu dijalankan proses tender walaupun terhad, untuk memastikan tidak ada kos yang berlebihan.

“Saya beri jaminan sebaik saja JPS kemukakan kepada Kementerian Kewangan, Kementerian Kewangan akan ‘fast track’ dengan syarat ia bukan rundingan terus demi menjami kos tidak meningkat,” katanya lagi.

Anwar berkata, beliau meminta perkara itu diselesaikan dalam tempoh sebulan demi menjamin kesejahteraan rakyat di negeri itu.

Adakah anda tahu tentang projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) sungai Golok ini?

“Saya minta kalau boleh akhir bulan. Tapi schedule saya tak tahu, saya bagi tahu kalau boleh dipercepatkan, kalau urusan di MOF disegerakan. Tapi schedule bulan Januari, jadi saya beri kelonggaran.

“Ikut tender terhad, tidak boleh tender biasa kerana masa terlalu panjang, tak boleh juga rundingan terus kerana kos meningkat tak tentu arah. Lebih baik tender terhad kalau nak cepat, proses itu boleh dipercepatkan,” katanya lagi.