Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respons bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes Covid-19.
KKM mengambil maklum situasi jangkitan Covid-19, malah melalui data semasa dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mendapati secara keseluruhannya trend kejadian pandemik berada dalam keadaan terkawal di kebanyakan negara seluruh dunia.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, WHO melalui sidang media pada 21 Disember lalu juga yakin bahawa kini situasi terbabit adalah lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Sungguhpun begitu, dalam sidang media sama WHO juga turut menyatakan kebimbangan mereka terhadap perkembangan semasa di China, mengenai peningkatan mendadak kes Covid-19.
“Golongan pakar dan penyelidik di peringkat antarabangsa menjangkakan situasi ini akan berlaku susulan keputusan pihak berkuasa negara China sekitar awal bulan ini untuk melaksanakan kelonggaran terhadap polisi pengurusan pandemik Covid-19 mereka yang ketat.
“Malaysia telah diumumkan memasuki fasa peralihan ke endemik bermula 1 April lalu semasa negara masih lagi diwartakan sebagai kawasan tempatan jangkitan. Sempadan negara dibuka kepada pelancong serta aktiviti industri pelancongan dan sektor ekonomi lain dipertingkatkan.
“Justeru, dengan mengambil kira Malaysia mempunyai risiko kemasukan kes Covid-19 dari luar negara, KKM terus mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respons bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes dan kematian Covid-19 seperti yang pernah dialami semasa variant Delta melanda seluruh dunia,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, masyarakat dinasihatkan supaya mengamalkan gaya hidup yang sihat dan mereka yang bergejala digalakkan memakai pelitup muka dan menjalankan ujian Covid-19 kendiri.
Dalam pada itu, kes positif baharu COVID-19 di negara ini terus mencatatkan penurunan dengan 480 kes dilaporkan setakat malam tadi berbanding 609 kes sehari sebelumnya.
Data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman sesawang KKMNOW menunjukkan sebanyak 473 kes adalah penularan tempatan manakala tujuh lagi kes import.
Bagaimanapun, empat kematian direkodkan. Setakat tengah malam semalam statistik kematian adalah sebanyak 36,835 dengan 7,849 adalah kematian luar hospital (BID).
Semalam Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bilangan kes baharu Covid-19 pada Minggu Epidemiologi Ke-51 (ME51/2022) dari 18 hingga 24 Disember merekodkan penurunan 18.7 peratus dengan 5,894 kes berbanding 7,249 kes pada minggu sebelumnya (ME50/2022).
Beliau berkata dalam tempoh itu, bilangan kes tempatan menunjukkan penurunan 18.7 peratus iaitu daripada 7,232 kes kepada 5,880 kes.
Katanya, pada ME51/2022, bilangan kes kematian turut berkurangan sebanyak 34 peratus iaitu 31 kes pada minggu itu berbanding 47 kes, minggu sebelumnya.