“Perempuan ini tidak bersalah. Arak tak ada, dadah tak ada, pandu laju pun tak. Siapalah yang berbasikal di lebuh raya pada jam 3 pagi? Astaga,” – kata salah seorang netizen yang memberikan komen di media sosial.
Itulah antara komen yang popular yang boleh dilihat di laman media sosial melibatkan tertuduh tragedi maut basikal lajak yang kembali hangat diperkatakan.
Kes ini kembali diperdebatkan selepas tertuduh dijatuhi hukuman penjara 6 tahun & denda RM6,00 kerana didapati bersalah memandu secara melulu melanggar mati 8 orang kanak-kanak basikal lajak 6 tahun lalu di Johor Bahru.
Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Abu Bakar Katar memberitahu, Mahkamah Bicara (Majistret) telah terkhilaf apabila gagal memutuskan pembelaan responden secara bersumpah bersifat penafian semata-mata bahawa responden tidak nampak kumpulan basikal di tempat kemalangan dan ada kenderaan lain yang melanggar kumpulan itu dan telah melarikan diri.
Budaya menunggang basikal lajak bukan lagi permasalahan baru yang kian membarah di Malaysia. Ia bukannya kategori jenayah, namun jika berlumba basikal tanpa brek dengan kelajuan yang tinggi, di tengah-tengah jalan raya utama seperti Jalan Lingkaran Dalam di Johor Bahru pada waktu tengah malam, ianya bahaya bagi remaja di bawah umur.
Perkara ini tidak boleh dipandang ringan dari segi keselamatan, mahupun perkembangan sahsiah remaja-remaja tersebut.
Banyak pihak khasnya parti politik berasaskan kaum Cina seperti DAP dan MCA telah menawarkan bantuan guaman kepada Sam Ke Ting bagi memastikan dia mendapat perbicaraan yang adil dan saksama.
Pihak tersebut berasa kesal dengan perkembangan terbaharu berhubung kejadian itu yang mana hukuman berkenaan dirasakan terlalu berat.
Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaaan, Tan Hong Pin berkata, pihaknya berasa kesal dengan perkembangan terbaharu berhubung kejadian itu yang mana hukuman berkenaan dirasakan terlalu berat.
Sehubungan itu katanya, pihaknya akan tampil menghulurkan bantuan sedaya upaya kepada wanita berkenaan iaitu Sam Ke Ting dan ahli keluarganya.
Sementara itu, tanda pagar #FreeSamKeTing juga tular di serata media sosial bagi menuntut keadilan agar Ke Ting dibebaskan.
Petisyen tersebut kini telah meraih lebih 400,000 tanda tangan dalam masa 3 jam bersetuju untuk membebaskan wanita itu.
Dalam pautan itu juga dinyatakan pihak yang membuat petisyen menganggap kerani itu tidak bersalah dalam insiden terbabit, dan dia adalah mangsa sebenar dalam tragedi itu.

Menurut statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, 2,688 kanak-kanak dan remaja berumur enam hingga 15 tahun terbunuh akibat kemalangan motosikal dari 2009 hingga 2020.
Seorang peguam Nor Zabetha Muhammad Nor berkata, adalah tanggungjawab ibu bapa untuk mengawasi dan memberi kebebasan atau sebaliknya kepada anak mereka supaya tidak menjadi sebahagian daripada statistik kematian pengguna jalan raya, menurut seorang peguam.
Beliau berpendapat penguatkuasaan Akta Kanak-kanak 2001 perlu dikenakan terhadap ibu bapa kerana kecuaian atau mengabaikan tanggungjawab.
“Jika mereka yang memelihara (kanak-kanak) ini gagal untuk menjaga, mengabaikan atau mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi, maka ia menjadi kesalahan di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” kata Nor Zabetha.
Mungkin sukar untuk mengawal tindakan remaja yang membesar pada usia yang begitu muda tapi ianya tidak mustahil untuk dilakukan Nyawa bukan mainan dan boleh dicari ganti hatta di beli dengan wang ringgit.
Namun persoalan yang lebih tepat adalah Kenapa perlu berpihak dalam setiap perkara?
Bukan semua isu kita perlu berpihak. Apatah lagi dalam kes yang melibatkan nyawa sebegini. Bukan semua insiden kita perlu menuding jari, mencari siapa salah, siapa betul. Sifat cepat berpihak dan menghukum perlu dibuang jauh. Setiap perkara yang berlaku pastinya ada iktibar buat kita bersama.
Mungkin dalam tragedi maut basikal lajak ini, dua-dua pihak ada silap, yang penting, ada sesuatu boleh kita belajar darinya bagi mengelakkan ia terjadi pada kita.
Doa yang baik-baik untuk semua, sama ada yang telah pergi atau yang dihukum.