Tidak Hanya Rujuk CC, Akan Lihat Pelbagai Data

Kerajaan akan menggunakan pangkalan data bersepadu dan komprehensif daripada Bank Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Perangkaan Malaysia, Khazanah Nasional selain Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam mekanisme pemberian subsidi bersasar termasuk petrol RON95.

Sehubungan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata beliau ingin memperbetulkan salah faham bahawa kerajaan akan hanya menggunakan pangkalan data JPJ dan merujuk kepada CC kenderaan saja untuk pemberian subsidi bersasar petrol RON95.

Apa pendapat anda mengenai usaha pemberian subsidi bersasar petrol RON95?

Katanya, data JPJ itu hanyalah satu daripada elemen yang akan digunakan dalam pemberian subsidi bersasar petrol RON95.

“Jadi, tidak tepat kerajaan hanya akan rujuk pangkalan data JPJ dan berdasarkan CC kenderaan saja untuk kita beri subsidi bersasar petrol RON95,” katanya.

Pada Selasa, rata-rata pengguna dilaporkan tidak bersetuju dengan mekanisme kerajaan untuk memberi subsidi bersasar minyak RON95 berdasarkan kepada CC kenderaan.

Pada pengamatan anda, pada tahap manakah CC kebanyakan kenderaan rakyat Malaysia?

Menurut mereka, ini kerana CC kenderaan tidak menggambarkan keadaan sebenar ekonomi pengguna, lebih-lebih lagi banyak kenderaan mewah kini tampil dengan CC lebih kecil seperti jenama Mercedes dan Honda.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Prof Madya Dr Baharom Abdul Hamid pula berkata, pada masa kini kebanyakan kenderaan mewah turut menggunakan CC rendah sekali gus mekanisme hanya merujuk data JPJ untuk subsidi bersasar petrol RON95 tidak sesuai.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, sehubungan itu pihaknya perlu melihat semua data berkenaan dan bukan data JPJ sahaja diperlukan.

“Memang antara data yang akan dirujuk adalah data JPJ, namun perlu ada pusat data yang lebih bersepadu dan komprehensif untuk kerajaan menjayakan pemberian subsidi bersasar dengan berkesan.

“Jadi, tidak tepat kerajaan hanya akan rujuk pangkalan data JPJ dan berdasarkan CC kenderaan sahaja untuk kita beri subsidi bersasar petrol RON95,” ujar beliau lagi.

Terdapat juga saranan untuk kerajaan memperkenalkan kad subsidi sebagai mekanisme bagi memudahkan pemberian subsidi bersasar. Apa pendapat anda mengenai usul ini?

Menurutnya, kerajaan perlu menghimpunkan semua data daripada semua agensi berkaitan sekali gus mewujudkan pangkalan data lebih bersepadu bagi pelaksanaan pemberian subsidi bersasar supaya dapat mencapai sasaran sekali gus menjangkau golongan disasarkan.

Tambahnya, KPDN dan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meneliti dan melihat semua data itu sebelum kerajaan membuat keputusan akhir berkenaan perkara itu.