Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.
Kadar berkenaan dikekalkan selepas kenaikan pertama diumumkan pada mesyuarat Mei lalu, selepas penanda aras bagi kadar pinjaman dan deposit di Malaysia itu dikekalkan pada kadar 2.75 peratus pada Januari dan Mac tahun ini.
Bank pusat itu berkata, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal agak akomodatif dan terus menyokong pertumbuhan ekonomi.
“Bagaimanapun, pertumbuhan global terus terjejas disebabkan oleh inflasi teras yang berlarutan dan kadar faedah lebih tinggi.
“Meskipun pembukaan semula China terus menyokong ekonomi global, kadar pemulihannya menjadi perlahan pada bulan-bulan kebelakangan ini.
“Pada peringkat global, inflasi keseluruhan terus menurun, namun inflasi teras masih melebihi purata yang dicatatkan sebelum ini,” katanya.
Selain itu, keputusan BNM untuk mengekalkan OPR ini turut disambut baik oleh kerajaan.
Kerajaan juga yakin ekonomi Malaysia akan terus berkembang pada tahun 2023, disokong dengan tahap pengangguran yang semakin menurun serta peningkatan aktiviti ekonomi, khususnya pelancongan.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Kewangan berkata keputusan mengekalkan OPR adalah selaras dengan perkembangan ekonomi global serta kadar inflasi di Malaysia yang menunjukkan trend penurunan dan kekal stabil.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan agar pihak bank menyediakan penjadualan semula pinjaman mereka yang menghadapi masalah kewangan.
“Pihak bank hendaklah sentiasa peka akan kesusahan yang dihadapi peminjam individu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan segera menyediakan kemudahan penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman mereka yang menghadapi masalah kewangan”
Peminjam dalam pada itu juga boleh mendapatkan khidmat nasihat secara percuma dan bantuan bayaran balik pinjaman melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).