Masalah capaian internet lemah dan isyarat telefon masih terus berlaku di kebanyakan kawasan di negara kita malah masih ada kawasan yang tiada capaian internet langsung biarpun syarikat telekomunikasi (telco) dilaporkan telah mencatatkan keuntungan sehingga RM1 billion.
Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM), Tan Sri Annuar Musa meluahkan kekecewaan beliau kerana rakyat masih terkesan dengan perkhidmatan yang tidak memuaskan dari syarikat telco ini.
“Saya tidak bangga syarikat telekomunikasi untung RM1 billion tetapi perkhidmatan untuk rakyat tidak memuaskan,” tegasnya.
Malah beliau turut menggesa agar pihak telco melaburkan sebahagian keuntungan mereka untuk teknologi agar perkhidmatan mereka dapat ditingkatkan.
Pihak kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah untuk membantu meluaskan dan menguatkan capaian internet bagi kemudahan rakyat berhubung untuk keperluan harian.
Antara langkah yang telah diambil ialah pembinaan pencawang telekomunikasi di beberapa negeri di seluruh Malaysia.
Antara negeri lain yang turut menerima manfaat program ini baru-baru ini ialah negeri Kedah.
Selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuka 20 kertas siasatan ke atas pembekal perkhidmatan mudah alih dalam usaha kerajaan memastikan kemudahan Internet 4G diperluaskan selepas penamatan perkhidmatan 3G.
Tambah beliau lagi, sebanyak 1,466 stesen pemancar 3G sedia ada sudah dinaik taraf oleh syarikat penyedia perkhidmatan setakat 25 Januari lalu.
Walau bagaimanapun, usaha baik ini harus disokong dengan inisiatif daripada pihak pembekal perkhidmatan telekomunikasi bagi memastikan capaian internet yang lebih baik di masa akan datang.
Ringkasnya, dengan pelaburan dan inisiatif yang telah dilaksanakan kerajaan, syarikat telco diharapkan dapat meningkatkan perkhidmatan mereka sejajar dengan teknologi dan kemajuan bagi memastikan rakyat tidak lagi berhadapan dengan masalah capaian internet dan isyarat telefon di masa akan datang.