Sokongan Malaysia akan Diteruskan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada negara boleh menentukan pendirian Malaysia dalam menyatakan sokongan berterusan terhadap rakyat Palestin dan mengutuk kekejaman zionis Israel.

Ketegasan itu disuarakan sendiri Anwar kepada Presiden AS, Joe Biden yang kebetulan berada berdepan dengannya pada sidang akhir Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Beliau berpendirian bahawa serangan ke atas Palestin perlu dihenti segera dan tidak boleh ditangguh.

Adakah anda berasa selamat dengan kelantangan Malaysia menyokong Palestin?

“Saya sebut perkataan yang agak penting, jangan lagi orang barat anggap ini sebagai hegemoni kolonial, menentukan dasar dan bentuk tindakan kita, mereka tidak boleh paksa kita tentukan pendirian kita.

“Di situlah saya nyatakan agak tegas dan saya kata mesti sekurang-kurangnya mula menghentikan serangan sekarang ‘end stop now’, kerana saya sebut satu hari tambahan (perang) bermakna masih ada anak-anak, wanita dan orang awam dijadikan mangsa korban,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai apakah hasil yang memanfaatkan negara sepanjang lawatan ke Persidangan Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi bagi APEC di AS, baru-baru ini.

Dalam kelantangan Malaysia menyuarakan sokongan terhadap Palestin, Pelaburan langsung asing berjumlah RM63 bilion yang diterima Malaysia di Persidangan Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini membuktikan keyakinan pelabur asing tidak terjejas dengan pendirian negara terhadap Palestin.

Adakah anda yakin dengan kedudukan ekonomi Malaysia tidak akan terjejas akibat sokongan kita terhadap Palestin?

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelabur utama AS termasuk Google Inc dan Microsoft Inc masih memberi keutamaan kepada kestabilan politik dan dasar ekonomi kerajaan yang jelas, di sebalik tekanan berterusan Malaysia dan negara Islam lain terhadap Israel.

“Ada yang melahirkan kebimbangan bahawa sikap tegas kita berdepan dengan AS dan negara Eropah itu akan menjejaskan kedudukan ekonomi kita.

“Soal hubungan perdagangan setakat ini tak menjejaskan sama sekali. Mereka tahu pendirian kita dan mereka ikuti kenyataan kita,” katanya lagi.