Sesi Sekolah Mula Pukul 8; Wajarkah?

Baru-baru ini, cadangan untuk kerajaan memulakan sesi persekolahan pada jam 8 pagi untuk sekolah-sekolah di Semenanjung Malaysia bagi memudahkan guru-guru, ibu-bapa dan anak-anak khususnya menguruskan masa.

Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, kerajaan seharusnya ada rasa belas kasihan dan empati dengan keadaan guru-guru, ibu-bapa dan anak-anak.

“Ada yang terpaksa bangun seawal pukul 4.30 pagi kerana jika di bandar terpaksa meredah kesesakan jalan raya seawal pukul 6 pagi untuk ke sekolah.

Apakah pendirian anda terhadap isu sesi persekolahan mula pada pukul 8 pagi?

“Sekolah pedalaman pula, anak-anak kecil terpaksa jalan di becak dan berlumpur serta ada yang terpaksa meredah denai kecil atau berperahu sedangkan hari masih gelap.

“Malah ada anak-anak yang tidak sempat bersarapan bersama keluarga kerana terpaksa bergegas ke sekolah,” katanya dalam satu kenyataan.

Cadangan ini mengundang pelbagai respons dari beberapa pihak terutamanya ibu bapa.

Di ruangan komen, terdapat segelintir pihak yang positif terhadap cadangan ini. Pengguna yang hanya dikenali sebagai Cikgu Melayu menyifatkan cadangan tersebut sebagai rasional, berikutan ia boleh memberi waktu kepada murid-murid untuk menunaikan solat Subuh.

“Sedih bila cikgu tanya, murid kata tak solat Subuh sebab tak sempat, sedangkan solat fardhu wajib dilaksanakan walaupun terlewat.

“Yang sekarang, pukul 7.30 pagi, guru-guru yang ada anak kecil atau besar, nak ke rumah pengasuh, nak hantar anak sekolah menengah, nak hantar isteri ke tempat kerja, disuruh datang sebelum 7.30 pagi. Lambat sikit guru besar dah merengek macam budak kecil.”

Zaifar Irfan berkata: “Cadangan yang baik bagi suami isteri yang bekerja. Sesuai dengan masa.Tak perlu tergesa-gesa untuk hantar anak ke sekolah lebih awal.”

Jelas Naz Ayie: 8 pagi atau 8.30 pagi waktu sesuai. Ibu bapa tak ada terkejar-kejar, lagi yang ada ramai anak. Bagi mereka yang nak hantar anak awal, hantarlah awal.”

Sekiranya sesi persekolahan bermula 8 pagi, adakah anda akan tetap menghantar anak awal?

Tidak kurang juga ada segelintir ibu bapa yang menyifatkan cadangan tersebut ‘mengarut’; terutamanya bagi ibu bapa yang bekerja.

Pengawal Keselamatan, Saffri Kamarudin, 45 yang tidak bersetuju dengan cadangan itu berkata, rutin harian akan terkejar-kejar kerana bertembung dengan waktu bekerja membuatkan ibu bapa sudah pasti tetap memilih menghantar anak lebih awal.

“Saya masuk kerja 8 pagi, anak tiga orang nak kena hantar. Kalau semua masuk 8 pagi, tetap kena hantar awal juga pergi sekolah, rasanya cadangan ini tidak logik, mengarut pun ada, tidak sesuai untuk mak ayah yang bekerja,” katanya ketika ditemui di Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Bidor, Perak.

Turut senada, seorang ibu dari Rawang, Selangor, Maizurah Idris, 38 yang bekerja sebagai kerani berkata, jika sesi sekolah dilewatkan pengurusan masa juga tergendala ditambah pula jalan raya menjadi lebih sesak pada waktu tersebut.

“Kalau mula awal, ada masa nak uruskan rumah sebelum pergi kerja, dan anak tidak tunggu di sekolah. Macam saya terpaksa hantar anak lebih awal dalam 7 pagi macam itu sebab nak ambil masa pergi pejabat pula,” katanya.

Pada pandangan anda, pelaksanaan waktu persekolahan bermula 8 pagi lebih mendatangkan kesan positif atau negatif?

Sementara itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) turut berpandangan pelaksanaan waktu persekolahan bermula 8 pagi sukar dan akan mendatangkan lebih banyak kesan negatif.

Yang Di-Pertua PIBG SK Cheras Jaya, Ahmad Hasni Mohamed Jalilah, berkata dengan waktu pembelajaran yang mungkin menjadi singkat memberikan lebih tekanan kepada para guru menghabiskan silibus, selain memastikan tiada pelajar tercicir.

“Sekiranya sekolah bermula 8 pagi dan berakhir 1 tengah hari, maka waktu pembelajaran sedia ada (40 minit) terpaksa dipendekkan.

“Jadi para guru akan mendapat tekanan lebih berat bagi menghabiskan ‘syllabus’ selain wujud kemungkinan ada pelajar bakal keciciran,” katanya ketika dihubungi FMT.

Selain itu, Yang Di-Pertua PIBG Sekolah Kebangsaan Bandar Tasik Kesuma, Nor Zuwairi Zakwa berkata, cadangan itu hanya memanfaatkan kelompok pelajar yang ibu bapa bekerja dari rumah.