Masalah kekurangan ubat belakangan ini amat menggusarkan penduduk Malaysia. Mana tidaknya, bukan sahaja kita masih berdepan dengan ancaman wabak Covid-19, malahan sekarang juga turut tular penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) selain influenza A dan demam berjangkit yang menjadi igauan ramai.
Susulan fenomena kekurangan ubat ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin tampil memberikan keterangan.
Isu kekurangan bekalan ubat-ubatan yang berlaku terutama di farmasi dan fasiliti kesihatan swasta tertentu ketika ini bukan disebabkan pembelian panik oleh orang ramai, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Sebaliknya, beliau menjelaskan ia ekoran permintaan tinggi ubat-ubatan tertentu susulan penularan Covid-19 varian Omicron sebelum ini dan peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) pada waktu ini.
Bagaimanapun, Khairy berkata, keadaan itu tidak berlaku di seluruh negara sebaliknya hanya membabitkan beberapa lokasi dan ubat-ubatan tertentu dan beliau memberi jaminan bekalan ubat-ubatan di negara ini secara keseluruhannya mencukupi.
“Sebab banyak ubat-ubatan yang dikatakan kurang ini, bukan tak ada, tapi dikatakan kurang ini adalah ubat untuk penyakit biasa macam selesema, demam, sakit kepala dan sebagainya.
“Jadi mungkin itu ada kaitan dengan hari itu ramai yang dijangkiti Covid-19 dan juga selepas ini HFMD, jadi mungkin dari segi pembelian itu… permintaan itu meningkat disebabkan fenomena tersebut,” katanya.
Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sedang melakukan semakan dengan pengeluar dan pengimport ubat-ubatan bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai bekalan selain mendapatkan maklum balas daripada Persatuan Perubatan Malaysia serta klinik-klinik swasta.
“Kita akan bekerjasama dengan pengeluar-pengeluar syarikat-syarikat farmasi sama ada untuk bagi ubat alternatif ataupun kalau sekiranya perlu, kita import ubat dari negara lain.
“Tapi buat masa ini, kita ada dapat beberapa aduan setiap hari dan kita akan cuba bantu mereka untuk dapat stok ubat-ubatan ini. Di fasiliti kerajaan tidak ada masalah… yang ada kekurangan di fasiliti kesihatan dan klinik swasta,” katanya.
Sebagai langkah berjaga-jaga, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sudah mengarahkan Bahagian Perkhidmatan Farmasi kementeriannya dan pengeluar ubat-ubatan mencari bekalan alternatif sekiranya kekurangan stok ubat dalam negara berterusan.
“Ada sedikit kekurangan di klinik swasta dan farmasi, terutama ubat-ubat membabitkan demam, batuk, selesema dan cirit-birit serta antibiotik, tapi saya sudah arahkan Bahagian Perkhidmatan Farmasi dan pengeluar ubat-ubatan untuk mencari bekalan alternatif sekiranya kekurangan ini berterusan,” katanya.
Khairy berkata, antara maklum balas diterima ketika sesi libat urus dengan industri farmaseutikal membabitkan Persatuan Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI), Persatuan Farmasi Malaysia (PhAMA) dan Persatuan Pembekal Farmaseutikal Malaysia (MAPS) adalah mencari sumber alternatif termasuk di negara yang belum pernah diterokai untuk mengatasi kekurangan ubatan yang disuarakan persatuan terbabit.
“Untuk jangka sederhana dan panjang, saya minta ketua setiausaha KKM lihat apa strategi kita jika gangguan bekalan ubat-ubat berlarutan.
“Sama ada kita dapat cari sumber baharu dari negara baharu atau bekerjasama dengan industri farmaseutikal tempatan supaya mereka dapat bangunkan rantaian agar (bekalan ubat dan bahan mentah untuk ubat) tidak terjejas pada masa depan. Ini ambil kira banyak bahan mentah kita kena import,” katanya.
Mengenai bekalan ubat-ubatan di hospital dan klinik Kementerian Kesihatan (KKM), beliau berkata, fasiliti kesihatan berkenaan masih mempunyai bekalan mencukupi.
“Di peringkat fasiliti kesihatan KKM, (ubat) masih mencukupi, buat masa ini tiada masalah, namun fasiliti kesihatan swasta sedang mengalami kekurangan sesetengah jenis ubatan ketika ini,” katanya menegaskan KKM sentiasa memantau stok ubatan untuk kegunaan semua hospital dan klinik kerajaan.
Kekurangan ubat-ubat tersebut turut diakui Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), pengamal perubatan di klinik swasta dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM, Norhaliza A Halim memberitahu, pihak pengilang meningkatkan kapasiti pengeluaran beberapa jenis ubat terutama untuk kegunaan kanak-kanak bagi memenuhi permintaan tinggi di pasaran.
Katanya lagi, kementerian itu juga sedang mendapatkan maklum balas lanjut daripada pihak industri berhubung status sebenar bekalan ubat-ubatan yang dihasilkan di Malaysia atau diimport serta isu yang berkaitan dengannya.
“Namun, pada masa ini, tiada produk yang mengalami gangguan bekalan secara menyeluruh kerana kebanyakan produk mempunyai alternatif dari pelbagai jenama lain yang mempunyai indikasi yang sama. Pihak pekilang juga sudah meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan yang tinggi.
“Maklum balas yang diterima daripada pihak industri menunjukkan terdapat peningkatan permintaan mendadak bagi beberapa jenis ubat termasuk produk dengan bahan aktif paracetamol (rawatan demam dan sakit ringan), vitamin C serta ubat batuk dan selsema untuk kegunaan kanak-kanak,” kata Norhaliza.
Setelah memulakan langkah-langkah ini, pihak KKM meramalkan masalah kekurangan bekalan ubat-ubatan selesai sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu.
“Dulu (bekalan ubat) lambat berpunca bahan mentah lambat sampai dan mungkin disebabkan permintaan mendadak tinggi atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali pada Selasa.
Selain itu, beliau berkata kekurangan bekalan itu mungkin disebabkan krisis geopolitik Ukraine-Rusia.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan akan mengagihkan stok penimbal ubat-ubatan kerajaan kepada klinik dan hospital swasta, susulan timbulnya situasi kekurangan ubat-ubatan di pasaran.
Menterinya Khairy Jamaluddin berkata langkah itu merupakan susulan kepada pengumuman yang dibuat 13 Jun lepas berhubung peminjaman ubat-ubatan dari klinik kesihatan dan hospital KKM kepada klinik swasta, sebagai langkah penyelesaian sementara.