Kerajaan memberi amaran terakhir pada mana-mana pihak yang memainkan sentimen isu 3R (raja, agama dan kaum) sehingga melanggar undang-undang dan mencabar perlembagaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan itu mengatasi kepentingan mana-mana pihak dan melibatkan soal keselamatan negara.
“Ini mengatasi kepentingan kerana orang-orang tertentu merasakan kedudukan mereka terlalu tinggi dan hebat, tidak mungkin terdakwa atau tercabar.
“Negara tidak boleh begitu. Kita tidak boleh pandang dan pilih kedudukan, pangkat, keturunan atau kekayaan.
“Kalau begini pandangan merosakkan. Saya rasakan keadaan ini agak serius kerana sudah puluhan tahun kita belum nampak atau lihat kenyataan yang melampau yang dibiarkan,” katanya.
Dalam pada itu, ujar Anwar, pihak berkuasa melakukan pemantauan tanpa berkecuali terhadap semua pihak tanpa mengira kedudukan atau pangkat.
“Kalau pelampau itu orang Melayu, Cina, Tamil atau berpangkat tinggi sekali pun, itu bukan persoalannya.
“Kalau langgar peraturan, mencabar perlembagaan dan menyemai bibit-bibit perpecahan konsesusnya bukan sahaja dalam kerajaan, parti malah saya dalam perbincangan dengan Raja-Raja Melayu menggesa supaya negara ini diselamatkan dari kelompok-kelompok yang sangat terdesak mempertahankan kuasa sehingga sanggup mengorbankan kepentingan rakyat, menimbulkan huru-hara serta perpecahan,” ujarnya.
“Setakat yang saya dimaklum oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), ia tanpa kecuali, pantau semua.
Pada masa yang sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan semua pihak khususnya pemimpin parti politik supaya berwaspada ketika berkempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana setiap ucapan termasuk muat naik di media sosial akan dipantau.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata bukan hanya berkaitan 3R yang merujuk agama, kaum dan institusi raja, malah kempen secara maya atau kenyataan melalui media sosial yang menyentuh sebarang isu sensitif akan turut dipantau dan diambil tindakan mengikut lunas undang-undang.
Mengulas lanjut, katanya, PDRM akan menempatkan pegawai penyiasat serta pasukan teknikal untuk merakam setiap ucapan bagi tujuan memantau sebarang aktiviti yang boleh mengganggu keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat di semua enam negeri yang terbabit PRN.
“Saya ingatkan sekali lagi, jangan mainkan sebarang isu sensitif dan perkara yang saya rasakan tidak perlu dinyatakan semasa berkempen, demi memastikan perpaduan dan keharmonian sesama masyarakat di negara kita sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Pihak polis sendiri terdiri pegawai akan merakam ucapan serta pegawai penyiasat akan menjalankan pemantauan pada setiap masa di semua program kempen oleh mana-mana parti politik yang akan diadakan sepanjang PRN ini,” katanya.
Dalam pada itu, Razarudin berkata, langkah pemantauan akan dilaksanakan bermula hari penamaan calon pada 29 Julai sehinggalah hari pengundian yang dijadualkan 12 Ogos depan.
“Secara amnya, PDRM bukan hanya menumpukan isu 3R dan perkara yang menyentuh sensitiviti pada musim pilihan raya semata-mata, sebaliknya setiap masa demi memastikan keamanan dan ketenteraman awam sentiasa terjamin.
“Individu dikesan memainkan isu 3R melalui media sosial atau cuba menyebarkan sesuatu yang tidak benar juga tidak akan terlepas dari tindakan undang-undang.
“Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya menjadi pengguna bijak dalam berkongsi pandangan atau pendapat menerusi media sosial tanpa menyentuh sebarang isu sensitif,” katanya.