Masalah kesesakan lalu lintas dan kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini sering kali dilihat sebagai isu berkait yang tidak pernah reda dan ibarat tiada jalan penyelesaian sejak dulu lagi.
Malah, isu yang menyentuh kepenggunaan dalam sektor pengangkutan turut timbul satu persatu sehingga banyak pihak mempersoalkan kredibiliti pihak Kementerian Pengangkutan.
Kesesakan jalan raya menimbulkan pelbagai masalah dan salah satunya ialah masalah masa. Akibat kesesakan lalu lintas, banyak masa yang terbuang. Golongan yang bekerja terpaksa keluar dari rumah awal-awal lagi dan pulang ke rumah lewat petang. Banyak masa yang sepatutnya dihabiskan di rumah bersama anak-anak terbuang begitu sahaja. Selain pembaziran masa, ia menyebabkan tenaga kerja negara tidak produktif. Ini sekaligus merugikan negara dari segi ekonomi.
Kerja-kerja yang sepatutnya boleh dilakukan dalam masa yang singkat boleh tergendala akibat kesesakan jalan raya. Banyak urusan ekonomi dan perniagaan seperti penghantaran barang dari satu tempat ke tempat yang lain sering tergendala dan mengambil masa yang lama untuk sampai ke destinasinya walaupun melibatkan jarak yang dekat.
Satu lagi akibat daripada kesesakan jalan raya ialah berlakunya penyakit fizikal. Kesesakan jalan raya yang serius boleh menyebabkan pencemaran paru-paru, sesak nafas dan pening kepala. Bunyi bising enjin kenderaan boleh menyebabkan kerosakan pendengaran dan masalah gangguan konsentrasi.
Selain itu, kesesakan jalan raya juga boleh menimbulkan ketegangan psikologi. Ini terjadi kerana para pengguna jalan raya terpaksa menghabiskan masa berjam-jam di jalan raya. Kajian yang dijalankan oleh pakar psikologi menunjukkan bahawa masyarakat bandar sering terdedah kepada masalah ketegangan akibat daripada kesesakan jalan raya, pencemaran alam sekitar dan bunyi bising.
Sejak negara beralih ke fasa endemik, masalah kesesakan trafik berlaku di bukan sahaja di Lembah Klang tanpa mengira waktu, cuaca atau keadaan jalan, namun turut melarat ke beberapa bandar besar di beberapa negeri lain.
Malah lebih mengejutkan kesesakan trafik pada waktu puncak di Kuala Lumpur sejak 2 minggu lalu semakin teruk berbanding 2019, sebelum pandemik Covid-19 melanda negara menurut Laporan Data Indeks.
Di pusat bandar Kuala Lumpur sahaja, kesesakan yang dahulu dikaitkan dengan pekerja pulang ke rumah, namun kini berlaku sepanjang hari menyebabkan pemandu terperangkap dalam perjalanan walaupun telah merancangnya. Bukan sekadar hari biasa, hujung minggu juga dilaporkan lebih parah.
Dalam banyak-banyak jalan pula, Lebuhraya Persekutuan dan Jalan Lingkaran Tengah 2 antara laluan yang paling banyak diguna oleh masyarakat di Lembah Klang. Namun sejak kebelakangan ini, kesesakan itu telah merebak sehingga ke Maju Expressway (MEX) iaitu lebuh raya yang menghubungkan perkarangan Cyberjaya/Putrajaya dengan pusat bandar Kuala Lumpur.
Tinjauan Pendapat.my ke Facebook Cyberjaya Info & Cyberjaya Community mendapati hampir setiap terdapat perkongsian yang mengeluh mengenai kesesakan trafik yang luar dari kebiasaan melanda MEX yang dikenali sebagai salah satu lokasi jalanraya yang tenang dan tidak sesak.
Keadaan dikatakan bertambah parah sejak sektor ekonomi mula dibuka apabila pekerja kembali bertugas di pejabat masing-masing.
Pakar keselamatan jalan raya Rozmi Ismail dari UKM berkata, tempoh sekarang merupakan waktu orang ramai menggunakan peluang kebebasan bergerak selepas kerajaan mengumumkan peralihan dari fasa pandemik kepada endemik.
“Ia kesinambungan kesesakan jalan raya yang berlaku pada Hari Raya Aidilfitri lalu,” katanya
Sebelum ini, Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof mengumumkan kerajaan akan membina tiga lebuh raya baru bagi mengurangkan kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur.
Lebuh raya itu ialah Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway, Putrajaya–Bangi Expressway dan Kuala Lumpur Northern Dispersal Expressway.
Namun, Rozmi berkata pembinaan jalan raya baru akan mengambil masa yang lama dan tidak dapat mengejar kadar pertumbuhan pemilikan kenderaan di Malaysia.
Pakar keselamatan jalan raya Law Teik Hua berkata, penyedia pengangkutan awam masih perlu berusaha menambat semula kepercayaan awam terhadap perkhidmatan mereka.
Pemerkasaan pengangkutan awam turut disokong oleh Rozmi.
Katanya, ia bagi mengurangkan penggunaan kereta persendirian.
Kerja pembaikan dan penyelenggaraan jalan pada waktu puncak menjadi antara faktor kesesakan luar biasa yang berlaku di ibu kota ketika ini.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata masalah kesesakan adalah perkara biasa dan berlaku hampir di semua bandar besar, namun akuinya perkara itu masih boleh dielakkan.
Malah katanya, kesesakan yang berlaku di ibu kota ketika ini dikesan semakin teruk selepas Aidilfitri lalu, perlu dikurangkan demi kesejahteraan pengguna jalan raya.
“Beberapa pendekatan akan dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan ia bukan sekadar kajian semata-mata tetapi tindakan yang akan dilakukan mengikut fasa demi fasa bagi mengurangkan kesesakan.
“Apa yang penting ketika ini adalah pengurusan jajaran jalan raya di Kuala Lumpur dapat diselaraskan dan dapat mengurangkan kesesakan yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke turut menggesa Menteri Pengangkutan Datuk seri Wee Ka Siong untuk mencari langkah proaktif bagi menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas di ibu negara dan bukannya mengenalpasti masalah yang memang diketahui umum.
Kesan daripada kesesakan lalu lintas yang tinggi ini juga telah menyebabkan masa perjalanan lebih lama dan antara faktor tambang perkhidmatan pengangkutan awam e-hailing naik sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.
Malah selain berdepan dengan masalah kesesakan trafik yang semakin meruncing, harga runcit petrol RON97 naik 37 sen seliter iaitu daripada RM4.33 kepada RM4.70 seliter manakala harga RON95 dan diesel kekal bagi tempoh 26 Mei 2022 hingga 1 Jun 2022. Kementerian Kewangan memaklumkan harga runcit petrol RON95 dan diesel masing-masing kekal pada harga RM2.05 dan RM2.15 seliter.
Kesimpulannya, semua pihak terbabit perlu bertindak segera menangani masalah ini sebelum ia menimbulkan kesan sosioekonomi yang lebih serius.