Hanya rasa cinta kepada negara membolehkan rakyat pelbagai kaum di negara ini untuk terus bekerjasama dan bersatu padu mempertahankan kedamaian, keamanan dan kemerdekaan Malaysia, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri menyifatkan ia satu perkara penting ke arah usaha membangunkan dan menjaga kedaulatan negara.
“Adat bersaudara, saudara dipertahankan; Adat berkeluarga, keluarga dilindungi; Adat berkampung, kampung dijaga; Adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan; Sesungguhnya kita semua satu keluarga; Keluarga Malaysia penyambung warisan,” katanya.
Penantian dua tahun rakyat Malaysia untuk menyambut Hari Malaysia 2022 secara besar-besaran bakal menjadi realiti, Jumaat ini.
Menariknya, sambutan kali ini diadakan di lokasi pengisytiharan kemerdekaan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman pada 20 Februari 1956 iaitu di hadapan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, di sini, yang sebelum ini dikenali sebagai Padang Pahlawan.
Lebih 20,000 pengunjung dijangka hadir sempena sambutan Hari Malaysia 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir Jumaat ini.
Justeru, kerajaan negeri giat menjalankan persiapan untuk penganjuran acara gilang-gemilang itu, dengan sehingga kini 80 peratus persediaan untuk sambutan terbabit sudah disempurnakan.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari, berkata antaranya termasuk khemah untuk kenamaan dan tetamu lain, di samping penyediaan laluan khas untuk orang ramai yang hadir menyaksikan acara terbabit.
“Setakat ini, semua persiapan berjalan lancar membabitkan pelbagai agensi serta jabatan kerajaan, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.
Dalam pada itu, Zaidi berkata, sambutan jumaat ini akan bermula jam 8 malam dengan semua tetamu kenamaan iaitu Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam serta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan diarak menaik beca bermula dari Hotel Hatten Melaka ke tapak perasmian.
Katanya, ia disusuli beberapa acara bersejarah termasuk menandatangani buku peringatan pembentukan persekutuan Malaysia oleh Ismail Sabri bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata elemen yang bakal menyaksikan penyertaan masyarakat pelbagai kaum itu dipilih bagi mengimbau kembali nostalgia ketika negara terbentuk sebagai Malaysia pada tahun 1963.
Sementara itu, orang ramai diingatkan supaya sentiasa memakai pelitup muka, selain menjaga jarak fizikal bagi menjaga keselamatan dan kesihatan masing-masing.
Tema busana era 50-an dan 60-an dipilih bagi menghidupkan suasana dan mengembalikan nostalgia ketika seluruh rakyat bersama-sama menyambut pembentukan Malaysia.
Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Melaka, Shahrom Ravin Daram Abdullah berkata ia antara keunikan dan pertama kali diperkenalkan dalam sambutan Hari Malaysia.
“Kita dapat rasakan ia (sambutan) akan lebih meriah berbanding sambutan sebelum ini,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini baru-baru ini.
Selain itu, Shahrom Ravin Daram berkata, beca yang sinonim dengan Melaka juga akan ditonjolkan pada sambutan tersebut.
“Tetamu jemputan utama dan dif-dif kehormat akan menaiki beca untuk ke khemah utama diiringi motosikal antik Vespa, basikal tua serta persembahan pancaragam yang akan mengalunkan lagu-lagu era 50-an ke 60-an.
“Paparan sepanduk bertulisan jawi dan Rumi ejaan lama akan membangkitkan lagi suasana silam pada sambutan Hari Malaysia 2022 kali ini,” katanya.
Sambutan ini juga akan diserikan dengan persembahan nyanyian artis tempatan antaranya Datuk Jamal Abdillah, Datuk Nash, Ernie Zakri, Jimmy Palikat, Anding, Iwere, Kenny Lee dan Radhi P.Ramlee.
Katanya, pelbagai persembahan turut diadakan, antaranya Bacaan Ikrar Rukun Negara, persembahan pembukaan Catatan Malaysia, Upacara Menandatangani Buku Watikah Pengisytiharan dan Persembahan Khas “Dari Robohan Kota Melaka, Kita Dirikan Negara Merdeka” yang dipecahkan kepada empat segmen.
Mengulas mengenai persiapan JaPen Melaka untuk sambutan itu, Shahrom Ravin Daram berkata, sebanyak 610 gegantung dan 22 papan iklan statik dipasang di negeri berkenaan sejak sambutan Bulan Kebangsaan bermula 1 Ogos lalu.
“Kita juga bekerjasama dengan Jabatan Penyiaran, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dan Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) Jabatan Ketua Menteri Melaka bagi menguar-uarkan sambutan dengan berkongsi hebahan di platform media sosial masing-masing.
“Selain itu, maklumat berkaitan sambutan juga turut dikongsi melalui aplikasi kumpulan WhatsApp dengan 84 Komuniti Keluarga Malaysia yang terdapat di negeri ini dalam usaha menyemarakkan lagi Hari Malaysia 2022 di Melaka,” katanya.
Hari Malaysia yang turut disambut di Sabah dan Sarawak, Jumaat ini tidak menjejaskan kemeriahan sambutan peringkat kebangsaan di Melaka.
Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya tidak menghalang, sebaliknya menggalakkan dua negeri terbabit untuk menganjurkan acara sambutan Hari Malaysia di negeri masing-masing, 16 September ini.
“Sebenarnya di Sabah dan Sarawak juga ada sambutan (Hari Malaysia), sebab itu Yang di-Pertua Negeri dan ketua menteri masing-masing tidak hadir ke Melaka Jumaat ini.
“Kita galakkan mereka untuk membuat acara sambutan di negeri masing-masing yang sudah pasti menjadi acara tradisi mereka sejak beberapa tahun lalu.
Bagi menjadikan sambutan kali ini sohor, orang ramai digalakkan untuk berkongsi tanda pagar bagi semua aktiviti kenegaraan menerusi platform media sosial masing-masing iaitu #KeluargaMalaysiaTeguhBersama, #KeluargaMalaysia, #TeguhBersama, #HKHM2022, #Merdeka360 dan #KKOMM.
Katanya orang ramai juga boleh melayari laman web www.merdeka360.my yang juga hab kepada informasi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022.