Penantian dua tahun Keluarga Malaysia untuk beramai-ramai hadir ke acara sambutan Hari Kebangsaan secara fizikal dan besar-besaran, bakal berakhir apabila acara bagi memperingati tarikh keramat negara itu menggegarkan Dataran Merdeka, Rabu ini.
Ramai pastinya merindui suasana kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan dan menantikan perarakan pelbagai kontinjen penuh warna-warni, kenderaan berhias, jentera serta aset keselamatan negara, selain persembahan muzikal, sekali gus menyemarakkan semangat kemerdekaan yang dikecapi negara sejak 1957.
Uniknya tahun ini, acara penuh gilang gemilang itu menjanjikan beberapa kejutan dan kelainan dalam persembahan serta pertunjukan, termasuk pembabitan jumlah kontinjen serta aset yang banyak, bersedia untuk memukau kira-kira 50,000 pengunjung yang dijangka hadir memeriahkan suasana sambutan Hari Kebangsaan 2022 ini.
Pengarah Bahagian Pengembangan Seni Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Rosnan Nordin, berkata JKKN yang diberi tanggungjawab bagi pengurusan acara itu menjanjikan pengisian yang berbeza berbanding acara tahun sebelum ini, yang dilaksanakan di Putrajaya secara sederhana akibat pandemik COVID-19.
Beliau berkata, selaras tema sambutan iaitu #KeluargaMalaysia Teguh Bersama, JKKN bersama agensi terbabit akan memastikan pengisian acara pada 31 Ogos ini bukan sekadar menterjemahkan tema itu, malah mempamerkan semangat Keluarga Malaysia.
“Setiap tahun, orang ramai menantikan apa persembahan dan pertunjukan dipamerkan… lebih-lebih lagi tahun ini selepas dua tahun tiada sambutan secara besar-besaran, mereka merindui suasana sambutan Hari Kebangsaan dan ini cabaran kita untuk menepati jangkaan serta harapan mereka yang hadir.
“Sambutan kali ini, kita bawa pelbagai pengisian yang berbeza, luar jangka dan unik agar semangat kemerdekaan itu dapat diterjemah dan dirasai rakyat sama ada yang hadir ke Dataran Merdeka mahupun mereka yang menonton di televisyen,” katanya.
Rosnan berkata, jumlah kontinjen terbabit perarakan kali ini bertambah apabila untuk pertama kali 27 kementerian menghantar kontinjen masing-masing, selain penyertaan agensi unit beruniform dan pihak swasta yang menjadikan secara keseluruhan membabitkan penyertaan hampir 16,000 peserta.
Dalam keghairahan rakyat Malaysia menyambut Hari Kebangsaan bersama, orang ramai diingatkan untuk tidak menerbangkan dron persendirian ketika sambutan ini dilangsungkan di Dataran Merdeka atas faktor keselamatan.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berkata perkara itu juga bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini membabitkan keselamatan orang awam serta mengundang risiko kemalangan terhadap pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sedang menjalankan penerbangan formasi rendah di kawasan tersebut.
“Suka diingatkan bahawa semua pengendalian aktiviti dron di negara ini adalah tertakluk mengikut Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3), Peraturan 98, 140-144, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia (MCAR 2016) dan Arahan Penerbangan Awam Civil Aviation Directives (CADs),” menurut CAAM.
Bagi kesalahan mengikut Seksyen 4 Akta 3, memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
“Bagi Peraturan 206(3) MCAR 2016, jika orang itu ialah seorang individu, didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau jika orang itu ialah satu pertubuhan perbadanan akan didenda tidak melebihi RM100,000,” menurut CAAM.