Nampaknya ini satu berita dan tamparan hebat buat generasi muda yang bakal dilarang untuk merokok.
Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin beliau amat berazam untuk menjayakan usaha ini.
“Tiada lagi aktiviti merokok dan tembakau. Ada pihak yang percaya bahawa pengharaman bukanlah jalan penyelesaian; Saya berazam untuk menjayakan usaha ini,”
“Sekiranya undang-undang ini diluluskan, rakyat Malaysia yang lahir selepas 2005 tidak akan dapat membeli atau menggunakan produk rokok lagi. Selesai.”
Menurut Khairy lagi, Malaysia berharap menjadi negara pertama di dunia yang menggubal undang-undang melarang aktiviti merokok terhadap generasi muda yang lahir selepas 2005 (Generational End Game) apabila cadangan perundangan penting itu dibawa ke Parlimen bulan depan.
Beliau berkata jika diluluskan dan dikuatkuasakan dengan berkesan ia boleh membantu meningkatkan tahap kesihatan yang lebih baik secara ketara dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Akta baharu bakal hapus rokok
“Pada saya, peruntukan akta ini memang harus diwujudkan segera demi memastikan sampai satu masa kelak, anak muda generasi terakhir kita akan tidak kenal apa itu rokok,” katanya
Setakat ini, Malaysia di tangga ke-72 paling ramai perokok di dunia dengan kadar 22 peratus atau tujuh juta penduduknya ialah perokok dan 53 peratus daripada jumlah itu ialah wanita.
Lebih 10,000 kematian dicatatkan setahun di negara ini disebabkan komplikasi merokok dengan nilai kerugian ditanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti kira-kira RM20 bilion. Meskipun pelbagai kempen dibuat malah zon larangan merokok ditambah, tahap kesedaran katanya tetap sama dengan melihat angka kemasukan pesakit jantung, kanser dan lain-lain.
Perlu input semua pihak
Cadangan itu disambut baik oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan awam yang prihatin atas kelaziman penggunaan tembakau yang tinggi di Malaysia.
Walaupun terdapat banyak undang-undang berkaitan antirokok yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sejak 2004, bilangan perokok semakin meningkat, iaitu 4.8 juta pada 2021, berbanding 4.7 juta pada 2011 seperti dilapor oleh Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019.
Bagaimanapun penguatkuasaan Kementerian Kesihatan untuk menghentikan tabiat merokok di tempat makan setakat ini dilihat agak kurang ketat. Jadi dengan larangan terbaru ini, dikhuatiri benda sama berlaku. Bila tidak cukup tenaga manusia, maka undang-undang meletakkan beban pemeriksaan ke atas peruncit.
Rakyat Malaysia berhak untuk melalui fasa kajian sebelum melaksanakan dasar yang sama sekali asing dengan erti kebebasan menjadi rakyat Malaysia.
Mana-mana negara tidak boleh sewenang-wenangnya mengisytiharkan pengharaman rokok dan mendoakan gejala rokok akan hapus sama sekali, apatah lagi kepada kumpulan usia khusus, kata pakar.
Clive Bates, pakar antarabangsa di dalam Bahaya Pengurangan Tembakau dan pemberhentian tabiat merokok, berkata: “Selagi masih ada permintaan, ia akan dibekalkan dalam apa cara sekali pun menerusi pasaran gelap”.
Datuk Dr Yusof Nook, Presidenf E-Cure Sdn Bhd, sebuah firma perunding dalam Kawalan Jenayah Ekonomi dan bekas Ketua Polis Negeri Sarawak mencadangkan bahawa kini adalah masa yang kritikal untuk meningkatkan tindakan penguatkuasaan ke atas sindiket penyeludupan.
“Pantai Malaysia yang panjang dan luas membolehkan aktiviti penyeludupan seperti rokok bermaharajalela. Terlalu banyak jeti kecil persendirian atau Lorong tikus di sepanjang sempadan negara,” katanya.
“Malah terdapat laporan berita mengenai sindiket penyeludupan mengubah cara operasi mereka daripada menggunakan pelabuhan besar sebagai laluan utama ke kawasan pesisiran pantai sejak kerajaan menguatkuasakan inisiatif 2021 bagi membanteras penyeludupan rokok.”
Dan kini dengan pembukaan semula sempadan, Datuk Dr Yusoff berpendapat lebih banyak usaha penguatkuasaan perlu dilaksanakan. Jika tidak, inisiatif 2021 akan jadi sia-sia.
Undang-undang sebegini serius dan berat, amat memerlukan penelitian mendalam dengan mengambil kira serba-serbi nilai di dalam negara ini.
Hanya dengan ini, undang-undang itu akan diterima rakyat dan dilaksanakan. Jika dibuat secara tergesa-gesa atau steamroll, tiada siapa boleh menjamin akta itu akan diluluskan di Dewan Rakyat.
Tambah-tambah lagi cadangan ini sekadar jadi cadangan andai berlaku rombakan Kabinet selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 tidak lama lagi.
Lesen jual produk tembakau
Bagi merealisasikannya, kerajaan dicadang mewajibkan setiap premis atau kedai runcit memiliki lesen penjualan produk tembakau bagi mengehadkan penjualan rokok.
Pakar perubatan kesihatan awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, berkata cadangan itu antara yang boleh dimasukkan dalam undang-undang melarang penjualan produk tembakau kepada individu yang lahir selepas 2005 seperti dinyatakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
“Jika kerajaan benar-benar serius, wajibkan pengusaha premis mempunyai lesen untuk menjual produk tembakau kerana ia penting dalam mengawal penjualan produk itu.
“Ketika ini, kita lihat gerai di tepi jalan pun menjual rokok sedangkan kerajaan mahu melahirkan generasi tidak merokok.