Terdapat tiga faktor luaran yang mendorong kepada penurunan prestasi nilai ringgit tahun ini.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, faktor luaran pertama berkaitan dengan jangkaan bahawa Kadar Dana Persekutuan (FFR) Amerika Syarikat (AS) iaitu kadar dasar semalaman (OPR) akan kekal lebih tinggi untuk tempoh yang lebih lama.
Katanya, ia menjadi antara punca prestasi pertukaran nilai ringgit dan dolar AS merosot sehingga 7.67 peratus sejak awal tahun sehingga kini.
“FFR AS berada pada 5.5 peratus manakala Malaysia 3.0 peratus dalam keadaan mereka sedang berusaha mengawal inflasi. Malaysia mencatatkan 1.9 peratus inflasi manakala AS catat 3.7 peratus.
“Walaupun mereka naikkan FFR, inflasi mereka masih tinggi, inflasi kita terpulang kepada Bank Negara untuk melaksanakan urusan seterusnya mengenai OPR tetapi inflasi kita daripada 2.0 semakin turun kepada 1.9, jadi, untuk menaikkan OPR sudah tidak lagi relevan,” katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, faktor luaran kedua dan ketiga dipengaruhi dengan prestasi ekonomi China serta konflik geopolitik antara Palestin dan Israel.
“Prestasi ekonomi China yang lebih lemah daripada jangkaan serta pelonggaran dasar monetari oleh Bank Rakyat China yang menyebabkan sentimen pelabur yang negatif terutamanya di rantau Asia Tenggara.
“Terkini, kebimbangan yang meningkat berhubung dengan kemungkinan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang semakin meruncing juga menyumbang kepada nilai AS semakin kukuh,” katanya.
Katanya lagi, faktor lain seperti faktor bekalan termasuk harga komoditi global dan permintaan dalam negeri juga boleh mempengaruhi harga barangan.
“Dalam tempoh kebelakangan ini, inflasi menjadi sederhana didorong oleh faktor-faktor kos yang semakin berkurangan. Perkembangan ini sebahagiannya membantu membendung kesan pergerakan ringgit terhadap harga barangan,” katanya.
Justeru, katanya, kerajaan mengambil langkah lebih holistik seperti mengawal harga barangan keperluan bagi membantu rakyat menangani kos sara hidup yang meningkat dan mengambil usaha untuk memastikan bekalan barangan kekal mampan.
“Bagi menangani kemeruapan dalam pasaran pertukaran asing, Bank Negara akan terus menguruskan risiko daripada perkembangan domestik dan luaran serta bersedia untuk menggunakan instrumen dasar operasinya bagi memastikan keadaan pasaran yang teratur,” katanya.
Setakat ini, kerajaan sedang berusaha menjayakan Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan (LCSF) bagi menggalakkan pertukaran mata wang ringgit dengan mata wang selain dolar AS.

Malaysia berjaya dalam rundingan bersama China, Indonesia dan Thailand untuk menggunakan mata wang tempatan dalam urusan perdagangan agar kedudukan dan kekuatan ringgit dapat kembali kuat dan mengukuh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia merupakan langkah permulaan tegas yang telah diambil Malaysia untuk bergerak ke arah dedolarisasi setelah menyaksikan kejatuhan mata wang ringgit akibat tindakan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang secara agresif meningkatkan kadar faedah.
Katanya, tindakan AS itu turut memberi kesan mata wang Renmimbi China dan Yen Jepun.
“Tentunya kesannya tidak akan segera terjelma. Namun, langkah permulaan yang tegas diambil yakni Malaysia mesti bergerak ke arah pendolarisasi dan Malaysia berjaya dalam rundingan bersama China, Indonesia dan Thailand untuk menggunakan mata wang tempatan dalam urusan perdagangan agar kedudukan dan kekuatan Ringgit dapat kembali kuat dan mengukuh,” katanya dalam Facebook.