Sejak beberapa hari ini agak panas dibincangkan tentang trend pelancong tempatan bercuti di negara jiran sehingga kunjungan pelancong ke Langkawi turun mendadak hampir 50 peratus.
Thailand boleh dianggap sebagai destinasi percutian yang berbaloi bagi rakyat Malaysia berbanding negara-negara lain yang mempunyai nilai mata wang lebih besar.
Orang ramai yang telah melancong ke negara Gajah Putih itu turut mengakui dengan berbekalkan bajet tidak sampai RM500, mereka boleh bercuti selama tiga hari dua malam dan merasai segala jenis makanan Thai yang menjadi buruan ramai.
Seperti yang dikongsi pemilik akaun Twitter Meran, dia berkata dengan berbekalkan bajet RM300, dia boleh bercuti di Hat Yai selama tiga hari dua malam. Dia juga menginap di hotel bajet dengan harga RM32 satu malam yang terlihat sangat luas, bersih dan kemas.
Rata-rata yang bercuti ke bandar yang cukup terkenal di wilayah Songkhla itu tidak akan melepaskan peluang untuk merasai pengalaman ‘food hunting’. Begitu juga individu ini yang memberitahu bahawa makanan di sana serba serbi murah selain saiz hidangan tidak kedekut.
Dalam keadaan nilai ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS$), ini bukanlah satu petanda baik selain 100 baht kini hanya bernilai RM12.32, semakin rendah.
Kecenderungan rakyat negara ini yang lebih memilih melancong ke luar negara sedikit sebanyak boleh menjejaskan aktiviti pemain industri pelancongan tempatan terutamanya yang beroperasi berhampiran sempadan negara seperti Langkawi.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Pelancongan Bumiputera Perak Zamari Muhyi berkata bercuti ke luar negara akan menyebabkan lebih banyak aliran keluar mata wang Ringgit Malaysia (RM) yang dilihat boleh memberi impak kepada industri pelancongan di dalam negara.
“Orang kita mungkin sudah dua tahun melancong dalam Malaysia, jadi mungkin itu sebabnya mereka memilih untuk keluar (negara) sekejap. Mungkin mereka merasakan keluar dua atau tiga hari sahaja, tetapi hal ini sebenarnya memberikan kesan kepada industri kita,” katanya kepada Bernama.
“Namun, pemain industri pelancongan tempatan boleh menarik nafas lega kerana menerima pelancong dari luar negara seperti Singapura yang masih memilih untuk bercuti di negara ini sekali gus mengisi kekosongan yang ditinggalkan pelancong tempatan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Dr Sri Ganesh Michiel mencadangkan agar kerajaan menambah jumlah insentif kepada pembayar cukai yang melancong di dalam negara bagi merancakkan kembali sektor pelancongan domestik.
“Kita cadangkan kerajaan untuk Bajet 2023 supaya beri insentif ataupun rebat cukai untuk pelancong domestik. Kalau melancong di dalam negara, dapat potongan cukai yang lebih tinggi iaitu daripada RM1,000 kepada RM3,000,” katanya.
Media baru-baru ini melaporkan ramai rakyat Malaysia memilih untuk me-lancong ke Hatyai, Thailand pada hujung minggu dan cuti sekolah atas faktor kos beli-belah dan makanan ditawarkan pada harga yang murah berbanding destinasi pelancongan popular di dalam negara.
Malah, negara Gajah Putih itu juga dikatakan menawarkan penginapan pada harga murah meskipun terletak di tengah-tengah pusat bandar selain kemudahan pe-ngangkutan yang mudah dan murah serta jaringan jalan raya yang selesa menjadi faktor ramai rakyat Malaysia berpusu-pusu ke sana.