Rangkaian 5G Malaysia Raih Pengiktirafan Global

Rangkaian 5G Malaysia diiktiraf di peringkat global pada anugerah berprestij Glotel di London yang memperakui inovasi dan kecemerlangan untuk memajukan dan mentransformasikan telekomunikasi.

Para pemenang diumumkan ketika majlis anugerah global itu pada Khamis lepas yang menyaksikan penyertaan bersama Ericsson dengan Digital Nasional Bhd (DNB) menggondol kategori “Vendor Terbaik Inovasi 5G.”

Adakah anda setuju pencapaian ini dapat menawarkan Malaysia lebih banyak inovasi dan teknologi terkini dalam masa terdekat?

Anugerah tersebut memperakui kecemerlangan dan inovasi dalam memajukan serta mentransformasikan telekomunikasi.

Ericsson dan Digital Nasional Berhad (DNB) telah memenangi kategori ‘Vendor Terbaik Inovasi 5G’ yang diberikan kepada syarikat-syarikat telekomunikasi yang telah membangunkan teknologi atau perkhidmatan 5G baharu terbaik.

Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hägerbro berkata, anugerah tersebut adalah bagi Rangkaian Teras Operator Berbilang dan Pemetakan Sumber Dinamik untuk rangkaian 5G borong nasional.

Adakah anda tahu Malaysia sudah menawarkan rangkaian 5G di beberapa bandar utama seperti Putrajaya, Cyberjaya , Kuala Lumpur dan banyak lagi?

“Rangkaian 5G DNB merupakan rangkaian komersial pertama di dunia yang menggunakan Pemetakan Sumber Radio Dinamik (DRP) iaitu sebuah penyelesaian Penghirisan Rangkaian Akses Radio (RAN) 5G daripada Ericsson.

“Penyelesaian tersebut membolehkan kesemua enam operator telekomunikasi yang berkongsi rangkaian DNB untuk menawarkan perkhidmatan 5G tersuai agar mencapai kelajuan terbaik yang memberikan pilihan tanpa kompromi kepada pengguna selain memacu nilai rangkaian 5G sebagai sebuah platform inovasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu,  rangkaian 5G bertaraf dunia ini menawarkan pengalaman pengguna bertaraf dunia dan keselamatan yang mempercepatkan transformasi digital serta mewujudkan destinasi menarik untuk pelaburan asing yang memerlukan ketersambungan selamat dan utuh dalam operasi dan pembuatan.

“Kehadiran 5G bukan sahaja dapat mempertingkatkan gaya hidup digital pengguna dari segi permainan, penstriman, penjagaan kesihatan dan pendidikan, malah memberikan keyakinan kepada perusahaan dalam memperluaskan penggunaannya sebagai contoh dalam perlombongan, logistik dan pertanian,” ujar beliau.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah ditanya mengenai syarikat pengelola rangkaian 5G tempatan, Digital Nasional Berhad dan memberikan respon untuknya, beliau mengatakan bahawa syarikat tersebut dan juga pemilikan frekuensi rangkaian tersebut akan diteliti dan dinilai semula.

Adakah anda setuju dengan tindakan PM untuk meneliti dan menilai semula rangkaian 5G tempatan?

Beliau mengatakan bahawa ini adalah kerana pemilikan spektrum rangkaian 5G yang dimiliki oleh DNB dilakukan secara tidak telus. Disebabkan oleh itu, Perdana Menteri mahukan kontrak RM11 bilion yang diberikan kepada syarikat pembekal kelengkapan telekomunikasi Ericsson untuk dinilai semula, dan memastikan bahawa pemberian sebarang kontrak untuk infrastruktur negara dilakukan secara telus.

Digital Nasional Berhad diperkenalkan dibawah naungan mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada tahun 2021 dan bertujuan untuk menyelaraskan pembangunan teknologi rangkaian 5G tempatan, satu perubahan yang cukup ketara apabila sebelum itu ia telah dipersetujui bahawa sebuah konsortium syarikat akan dibangunkan dibawah syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan.

Malah, sebelum ini, pemberian spektrum kepada DNB dibawah modal perniagaan penyedia tunggal turut telah menimbulkan pelbagai persoalan.

Setakat ini, syarikat-syarikat seperti Yes, U Mobile dan Unifi sudahpun tampil dengan pelan rangkaian 5G mereka. Samada penilaian semula kontrak Ericsson ini akan memberi sebarang kesan terhadap penawaran mereka tidak diketahui lagi.