Kerajaan dijangka menjana hasil sebanyak RM206 juta setelah meluluskan permohonan 16 agensi dan syarikat untuk menyertai Program Visa Premium (PVIP) Malaysia dengan kelulusan kuota sebanyak 10,300.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kesemua permohonan yang diterima sejak 1 Okt hingga semalam itu diluluskan oleh Jawatankuasa Pelulus Program PVIP di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Beliau berkata, setiap agensi atau syarikat yang dilantik untuk mengendalikan program PVIP dikehendaki membuat bayaran deposit 10 peratus daripada Fi Penyertaan RM200,000 untuk setiap prinsipal.
Oleh itu, dengan kelulusan kuota sebanyak 10,300 ini, kerajaan dijangka menjana hasil sebanyak RM206 juta. Deposit ini mesti dibayar oleh ejen dalam masa 30 hari setelah mendapat surat kelulusan daripada Jabatan Imigresen,” katanya.
Pelaksanaan Program Visa Premium (PVIP) Malaysia ini juga dilihat mampu membawa masuk pelaburan ke negara ini dengan menarik hartawan global menetap dan melabur di negara ini, kata penganalisis.
Ahli Ekonomi yang juga bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid, berkata pelaksanaan program berkonsepkan Residensi Melalui Pelaburan itu adalah satu idea yang baik dan mampu memberi impak positif untuk menarik pelaburan ke negara ini.
Beliau berkata, dengan syarat ketat termasuk memiliki pemilikan akaun simpanan tetap sekurang-kurangnya RM1 juta dan tidak dibenarkan pengeluaran tunai dalam tempoh setahun juga mampu mengelakkan ketidaktentuan kemasukan aliran modal.
“Dengan menarik hartawan global, mereka mampu menarik pelaburan masuk ke dalam negara dengan memanfaatkan rangkaian hubungan mereka di luar negara,” katanya kepada media.
Mengulas lanjut, Zakariah berharap kerajaan perlu memantau pelaksanaan program itu dalam memastikan keberkesanannya dan tidak timbul isu berkaitan keselamatan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, PVIP Malaysia tidak sama dengan Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) kerana ia bersifat persaraan dan syarat menetapkan untuk bekerja atau belajar.
Namun, katanya, peserta MM2H boleh menyertai PVIP Malaysia asalkan mengikut syarat yang ditetapkan, tidak layak untuk memohon menjadi warga negara Malaysia.
Tambahnya, bagi memastikan pelaksanaan PVIP Malaysia berjalan lancar serta tidak mengganggu keselamatan negara, pihaknya menetapkan jumlah siling penyertaan peserta (termasuk tanggungan) hanya satu peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia.
Syarat ketat lain termasuk menunjukkan bukti pendapatan sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan atau RM480,000 secara tahunan, memiliki pemilikan akaun simpanan tetap sekurang-kurangnya RM1 juta dan tidak dibenarkan pengeluaran tunai dalam tempoh setahun.
Bagaimanapun, pengeluaran tunai itu boleh dilakukan bagi pembelian hartanah, rawatan kesihatan atau pendidikan selepas setahun mereka mengikuti program itu dan ia terhad kepada 50 peratus saja.
Sehingga kini Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerima sebanyak 10,300 permohonan bagi fasa pertama Program Visa Premium (PVIP) Malaysia.
Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, sebanyak RM4 juta deposit membabitkan 2,000 pemohon juga sudah diperoleh sejak 1 Oktober lalu.
Katanya, kesemua senarai pemohon itu dalam proses semakan yang memerlukan pihaknya memeriksa secara terperinci maklumat dinyatakan.
Mengulas lanjut, Zainuddin berkata, visa berkenaan akan diluluskan sehingga tempoh 20 tahun.