Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia: Bantu Usahawan Bangkit Semula

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah melancarkan Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia bernilai RM40 bilion untuk dimanfaatkan oleh golongan usahawan negara ini.

Menurut Perdana Menteri, program itu merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti terutama untuk Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) dan sektor informal.

Pernahkah anda mendengar tentang Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia ini?

“Setelah hampir dua tahun berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19, tahun ini bukan sahaja akan menjadi tahun pemulihan, malah ia juga akan menjadi tahun untuk menyusun semula atau reform.

Selain itu, PM berkata, menerusi Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia, perniagaan mikro dan kecil ditawarkan pinjaman sehingga RM10,000 pada kadar faedah kosong peratus dengan keutamaan diberi kepada peniaga sektor informal melalui Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro TEKUN Nasional atau CBRM dengan saiz dana RM200 juta.

Kata beliau, bagi usahawan agro-makanan pula, skim mikro kredit oleh Agrobank akan menawarkan pinjaman sehingga RM75,000 pada kadar kosong peratus untuk enam bulan pertama berserta kemudahan moratorium sehingga enam bulan.

Untuk syarikat yang berdaya maju namun mempunyai kekangan mendapatkan dana baharu pula, kerajaan dan institusi kewangan telah merangka suatu pembiayaan bentuk baharu yang lebih anjal bagi meluaskan keupayaan untuk memulihkan perniagaan.

Adakah anda setuju projek ini dapat menjadi pemangkin kepada pemulihan dan penyusunan semula perniagaan dalam jangka masa panjang?

Dalam pada itu, kata beliau, bagi membantu syarikat yang berdepan masalah keberhutangan yang tinggi, kaedah pendanaan melebihi RM2.1 bilion melalui pelaburan ekuiti dan “quasi-equity” turut disediakan.

Bank Negara Malaysia (BNM) turut menyediakan “Business Recapitalisation Facility”bernilai RM1 bilion untuk tujuan yang sama.

Secara keseluruhan sejumlah RM13 bilion dana tersedia untuk PKS. Untuk ketersediaan dana yang berterusan, dana khas BNM terutamanya “Targeted Relief and Recovery Facility dan Agrofood Facility telah ditingkatkan secara kolektif sebanyak RM2.5 bilion kepada RM10 bilion.

Jika anda seorang usahawan, adakah anda akan merebut peluang dan mengambil inisiatif yang diberikan dalam Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia ini?

Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia turut merangkumi jaminan pembiayaan perniagaan yang dijadual dan distruktur semula dengan tambahan had jaminan RM17 bilion.

Komuniti usahawan dan perniagaan digalakkan untuk melayari Portal Manfaat Bajet 2022 di https://budget.mof.gov.my/manfaat/. Portal interakrif ini menyediakan pelbagai maklumat mengenai skim-skim dan manfaat yang ditawarkan di bawah inisiatif ini.