Ancaman keselamatan siber dilihat sebagai isu serius dengan kekerapan serta intensiti yang berkembang setiap tahun.
Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah berkata, tiada negara terlepas dengan ancaman yang turut memberi kesan kepada ekonomi, pertahanan, ketenteraan dan sekuriti domain itu.
“Atas sebab ini, negara perlu merangka strategi dan inisiatif untuk persediaan lebih menyeluruh selain memperkukuhkan seluruh jentera keselamatan siber untuk menghadapi cabaran berbangkit.
“Pada masa sama, perlu ada kerjasama yang lebih besar di peringkat antarabangsa. Bagi tujuan ini, negara ASEAN perlu terus bekerjasama dengan berkongsi maklumat berhubung isu sekuriti dan keselamatan siber,” katanya.
“Dalam hal ini, kerosakan fizikal juga boleh dielakkan. Tiada keperluan untuk tentera dikerahkan jika tiada peperangan berlaku apabila serangan boleh dibuat melalui Internet.
“Saya percaya beberapa negara akan terus menggunakan platform dalam talian untuk terus mendapatkan kelebihan dalam beberapa isu perang siber,” katanya.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Masmalek Mohamad berkata, sejak 2017 sehingga Julai lalu, sebanyak 3,699 aduan diterima jabatan tersebut membabitkan penyalahgunaan maklumat sulit peribadi pengguna.
Menurut beliau, pihaknya mendapati data peribadi yang bocor kepada pihak pihak lain melalui perkhidmatan yang memerlukan pendaftaran pengenalan diri untuk pelbagai urusan sehingga ada yang menjadi mangsa penipuan.
“Antaranya urusan transaksi komersial seperti pembelian barangan, pendaftaran kad perbankan, hartanah, pendaftaran untuk tujuan pemasaran, kesihatan dan lain-lain,” kata beliau.
“Setiap urusan pendaftaran dan pembelian memerlukan data peribadi diri seperti nombor kad pengenalan dan nombor telefon namun ia berisiko terdedah kepada pelbagai ancaman.
“Hal ini juga berlaku melibatkan hartanah apabila ada ramai mengadu menerima mesej dan WhatsApp daripada wakil terbabit. Kita hairan bagaimana dapat nombor mereka. Apabila kita tanya, ada dakwa dapat secara sukarela atau daripada pihak lain,” katanya.
Masmalek memberitahu, kebocoran data peribadi juga berlaku apabila kelalaian tersebut berlaku dari pihak pengguna sendiri yang cuai menyimpan maklumat data diri sendiri.
“Sebab itu kita amat galakkan salinan kad pengenalan yang telah digunakan dipalang terutamanya di tengah-tengah kertas agar ia tidak dapat disalah guna.
“Selain itu JPDP diberikan tanggungjawab untuk menguatkuasakan serta mengawal selia data pengguna siber di negara ini bagi memastikan dilindungi serta pengguna dan penyimpan data mengendalikannya sebaik mungkin,” katanya.
Di Malaysia, kerajaan komited memberi kesedaran kepada masyarakat tentang risiko perkongsian maklumat atas talian, terutama yang bersifat pilihan. Budaya suka menunjuk-nunjuk dalam laman sosial, mungkin membawa padah tanpa disedari.
Penggubalan undang-undang seperti Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) bertujuan mengelak penyalahgunaan data peribadi individu, selain tujuan lain yang dipersetujui.
Sebagai pengguna, kita banyak mengisi borang di pasar raya atau semasa mendapatkan perkhidmatan institusi perbankan dan kesihatan. Penting sekali untuk memastikan klausa dalam borang yang menghalang pihak berkenaan menggunakan data peribadi selain kegunaan dipersetujui.
Namun, kebanyakan pengguna masih kurang peka. Akibatnya, ada pihak berkongsi termasuk menjual maklumat pengguna kepada pihak lain.
Catatan di laman rasmi Jabatan Perlindungan Data Rasmi menunjukkan pada 2017 dan 2018 terdapat beberapa kes mahkamah berkaitan pelanggaran akta membabitkan institusi pengajian swasta, hotel dan agensi pekerjaan.
Jelasnya, seperti kempen selalu kita dengar – ‘Tidak Pasti, Jangan Kongsi’ – jika sangsi bagaimana data diberi akan digunakan, bertanyalah kepada pihak terbabit sehingga jelas dan berpuas hati.