Pennatian penuh debar drama menawan Putrajaya pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mencatatkan detik penting buat negara apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik Perdana Menteri ke-10, mengakhiri penantiannya selama 24 tahun sejak digugurkan dari Kabinet dan UMNO pada 1998.
Pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu amat signfikan dalam menoktahkan kemelut Parlimen tergantung yang berlarutan selama lima hari, sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah Malaysia.

Sepanjang Parlimen tergantung, emosi rakyat turut terkesan umpama menaiki roller coaster berikutan keterujaan mahu mengetahui siapa pemimpin yang bakal menerajui pemerintahan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Segalanya bermula dengan keputusan PRU15 apabila tiada parti mendapat majoriti mudah 112 bagi membentuk Kerajaan Persekutuan baharu sekali gus telah mencetuskan pertembungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) untuk jawatan PM ke-10.
PH diketuai Anwar memperoleh 82 kerusi manakala PN diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin meraih 73 kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) 30 kerusi; Gabungan Parti Sarawak (GPS) 23 kerusi; Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam kerusi; Parti Warisan, tiga kerusi dan masing-masing satu kerusi untuk Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) selain dua calon Bebas yang menang.

Dilema berhubung dakwaan PH dan PN masing-masing mempunyai cukup sokongan bagi membentuk kerajaan menjadi semakin kusut hingga akhirnya Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terpaksa campur tangan.
Seri Paduka Baginda menitahkan 30 ahli Parlimen BN yang pada awalnya mahu kekal sebagai pembangkang supaya mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan sebagai usaha merungkai kemelut politik negara yang dilihat tenat.
Dan bertitik tolak daripada Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada Khamis, menyaksikan waiting game pemilihan Perdana Menteri ke-10 berakhir dengan Anwar muncul ‘pemenang’ mengatasi Muhyiddin.
Kejayaan Anwar menggapai takhta Putrajaya sekali gus turut mengakhiri ‘sumpahan, 24 tahun beliau yang mengimpikan untuk bergelar pemimpin nombor satu negara sejak sekian lama.