Perubatan Islam bukan lagi suatu perkara yang asing di Malaysia. Malahan, kaedah rawatan ini antara kaedah yang menjadi alternatif utama untuk rakyat negara ini.
Sungguhpun begitu, terdapat pengamal rawatan Islam yang mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain. Ada yang melakukan rawatan yang lari dari akidah, penyelewengan serta lakukan jenayah seksual ke atas mereka yang mendapatkan rawatan.
Dilaporkan pada Oktober tahun lalu, seorang pengamal perubatan tradisional menjadikan pesakit wanita sebagai ‘mangsa seksual’ akhirnya dicekup selepas kejadian malang dipercayai menimpa seorang wanita yang juga bakal pengantin baru.
Hasrat mangsa berusia 23 tahun untuk mendapatkan rawatan gangguan makhluk halus bertukar tragedi apabila dirogol suspek yang dikenali sebagai Ayah Su, 67.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Nasaruddin Md Nasir berkata, dalam pada 14 Oktober lalu itu mangsa bersama ibu dan bakal suaminya pergi ke rumah suspek di Tendong, Pasir Mas, kira-kira jam 3 petang.
“Semasa berada dalam bilik rawatan suspek meminta mangsa menanggalkan seluar dan ketika proses lawatan dimulakan suspek menggosok paha serta kemaluan mangsa.
“Suspek juga telah bertindak merogol mangsa. Apabila selesai rawatan suspek memberi amaran supaya tidak menceritakan kejadian kepada sesiapa dan meminta mangsa datang sekali lagi bagi rawatan susulan.”
Tambahnya, susulan laporan dibuat mangsa pihak polis berjaya menahan suspek pada hari yang sama.
Perbuatan keji yang serupa dilaporkan terhadap seorang pengamal perubatan yang disyaki mencabul remaja perempuan ketika sedang melakukan rawatan.
Laporan dibuat keluarga mangsa berusia 15 tahun di Balai Polis Kubang Kerian terhadap suspek yang pernah terpalit dengan dakwaan menjalankan rawatan sihir yang tular sebelum ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pada 11 pagi, 2 Ogos 2021, mangsa menjalani rawatan tradisional oleh suspek yang dipanggil ‘ustaz’ di rumahnya di Pasir Tumboh.
“Semasa rawatan dijalankan di dalam bilik, suspek dikatakan bertindak memegang dan meraba seluruh badan mangsa.
Shafien berkata, mangsa dikatakan selalu mengalami masalah histeria dan dipercayai disebabkan gangguan makhluk halus.
Sehubungan itu, keluarga mangsa menghubungi lelaki berusia 39 tahun dan berasal dari Perlis itu untuk menjalankan rawatan ke atas mangsa.
Pada Disember 2020, seorang pengamal perubatan Islam ditahan polis bagi membantu siasatan mencabul seorang jurujual wanita yang juga dipercayai pesakitnya pada akhir November 2020.
Lelaki berusia 54 tahun yang menggelarkan dirinya sebagai ustaz itu diberkas polis di rumahnya di Kuala Berang setelah mangsa membuat laporan berhubung dakwaan itu di Balai Polis Kuala Berang.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, mangsa berusia 30 tahun telah mendapatkan rawatan daripada suspek di pusat perawatan Islam di daerah ini.
“Wanita itu dimaklumkan kononnya dia terkena buatan orang sebelum suspek meminta izin untuk memegang fizikal mangsa.
“Mangsa mengizinkan untuk tujuan perubatan namun lelaki itu didakwa telah turut menyentuh kedua-dua anggota sulit wanita itu selain mencekik lehernya sewaktu perawatan dilakukan,” katanya di sini hari ini.
‘Kaedah perubatan’ sebegini bukan sahaja jenayah malahan ia juga mengganggu akidah umat Islam.
Baru-baru ini, individu yang mendakwa dirinya sebagai ‘pawang diraja’ berkongsi lakaran dua ‘jelmaan’ yang kononnya telah menyihir pendakwah bebas Datuk Mohd Kazim Elias (UKE) di aplikasi TikTok.
Sejurus video itu tersebar, UKE memohon agar ‘pawang’ berkenaan menurunkan video tersebut bagi mengelak dari timbulnya tanggapan tuduhan kepada individu lain dan perkara sebegitu bukan daripada kaedah perawatan yang dibenarkan.
Susulan itu, pelaku yang dikenali ‘Neo Pawang Diraja’ membuat permohonan maaf secara terbuka melalui media sosialnya kepada UKE atas perbuatan yang didakwa tidak bertanggungjawab itu.
Bagi pendakwah bebas, Ustaz Abd Rahman Tajudin yang merupakan Felo ISSI (Islamic & Strategic Studies Institute) berkata, meskipun lelaki berkenaan sudah mengemukakan permohonan maaf dan memadam video tersebut, umat Islam yang sudah terjerumus mempercayai lukisan itu perlulah melakukan taubat dengan segera kepada ALLAH SWT.
“Risau ramai yang percaya, jadi seeloknya lakukan solat taubat dengan segera bagi memohon keampunan dengan ALLAH.
“Semua sedia maklum berdosa besar jika seseorang itu mempercayai makhluk lain daripada ALLAH SWT. Maka untuk selamat siapa yang sudah menonton dan mempercayai bomoh itu, lakukan taubat.
Sehubungan dengan itu, orang awam diminta untuk melaporkan amalan perubatan Islam dalam talian yang salah dan menyeleweng di sisi agama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad menjelaskan laporan itu diperlukan bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut sekiranya amalan perubatan yang dilaporkan itu didapati menyeleweng.
“Kita harap netizen kalau ada amalan perubatan yang melanggar akidah agama seperti soal jampi, jangan tunggu pejabat agama dan boleh laporkan kepada Jabatan Agama Islam negeri, polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
“Kita tidak mahu perkara itu menular sehingga mendatangkan musibah.”
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor, yang mencadangkan agar Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam mengadakan satu mesyuarat bagi memperhalusi isu berhubung trend pengamal perubatan Islam secara dalam talian.
Menurut Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari (Akta 775), pengamal perubatan Islam dan Perubatan Tradisional Melayu tertakluk kepada undang-undang di bawah akta ini.
Seksyen 25 akta tersebut menyatakan seseorang yang bukan seorang pengamal berdaftar tidak boleh, secara langsung atau tidak langsung, mengamalkan perkhidmatan perubatan tradisional dan komplementari.
Sekiranya sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Seksyen 26 pula menyatakan pengamal berdaftar tidak boleh mengamal bidang amalan yang diiktiraf kecuali jika dia memegang perakuan pengamalan yang sah dan berkuat kuasa.