Perlukah Pembelajaran Tingkatan 6 Ditransformasi?

Tingkatan Enam di negara ini tidak seharusnya terikat sangat dengan peraturan sekolah, sebaliknya diberi sedikit kelonggaran walaupun berada di kawasan persekolahan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, suasana Tingkatan Enam harus diubah kerana ia sebenarnya merupakan pascasekolah seperti Matrikulasi berikutan sesi persekolahan berakhir pada Tingkatan Lima.

Pada pendapat anda, adakah pelajar Tingkatan 6 dilayan seperti pelajar sekolah?

“Saya akan bawa ke Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek supaya Tingkatan Enam itu tidak dilayan seperti sekolah, budaya, suasananya itu. Saya setuju sebab saya pun ikuti Tingkatan Enam.

“Tingkatan Enam, kita perlu tentukan kaedah supaya cara guru melayani (pelajar) dan suasana yang perlu diberi banyak ruang untuk mereka lebih bebas, berinteraksi dan tidak seperti peraturan sekolah,” katanya.

Anwar berkata, ramai pelajar Tingkatan Enam telah mengeluh mengenai peraturan dan budaya serta mengusulkan agar ia diubah pada sesi dialog sebelum ini.

Mengulas mengenai cadangan untuk menukar kurikulum Tingkatan Enam daripada kaedah semester, Anwar berkata, perkara tersebut harus dibincangkan oleh pakar-pakar pendidikan termasuk guru dan pelajar.

Berikutan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Tingkatan Enam tidak terikat dengan peraturan sekolah boleh dibuat apabila berada pada mod pertama iaitu Kolej Tingkatan Enam, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Pada pendapat anda, adakah langkah pembaharuan ini dapat menarik minat pelajar untuk memilih tingkatan 6 selepas SPM?

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyambut baik saranan Anwar, selain pihaknya kini telah bergerak ke arah itu namun perjalanannya sedikit panjang.

Katanya, perhatian sentiasa diberikan dalam konteks hala tuju Tingkatan Enam termasuk kekuatan subjek, fasiliti dan infrastruktur memandangkan mereka bukan dalam lingkungan sekolah lagi.

“Kita sekarang ada tiga mod Tingkatan Enam, pertama, Kolej Tingkatan Enam, mereka sahaja ditempatkan di situ; mod kedua, mereka (Tingkatan Enam) ada blok berasingan dan mod tiga, bersekali dengan aliran perdana (tingkatan lain) tetapi kita memberikan banyak fleksibiliti.

“Ketika ini, kita banyak di mod ketiga, jadi, kita ke arah memperkemaskan ke arah mod pertama, maknanya semua Tingkatan Enam jadi Kolej Tingkatan Enam,” katanya.