Bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.
Ekoran cabaran peningkatan kos sara hidup akibat perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik antara Russia-Ukraine yang dijangka berlarutan sehingga memberi kesan kepada pasaran komoditi makanan serta bahan api.
Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi itu akan dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan dianggotai lima ahli iaitu Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Pasukan khas itu berperanan mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan.
Apabila kerajaan mengumumkan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bermakna Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah tidak lagi berkesan.
Kewujudan MPN sudah tidak perlu dan bercanggah dengan usaha-usaha terkini kerajaan untuk menangani masalah-masalah rakyat, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pasukan khas ini akan berfungsi sebagaimana pasukan menguruskan pandemik COVID-19, dengan mengadakan mesyuarat sebanyak dua kali seminggu iaitu pada Isnin dan Khamis.
“Sidang media akan diadakan selepas setiap mesyuarat berlangsung bagi memberi penjelasan kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh Keluarga Malaysia,” katanya.
Menurut Ismail Sabri, langkah itu diambil ekoran cabaran peningkatan kos sara hidup akibat perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik antara Russia-Ukraine yang dijangka berlarutan sehingga memberi kesan kepada pasaran komoditi makanan serta bahan api.
Perdana Menteri turut berkata, pegawai khusus di setiap kementerian akan dilantik sebagai pegawai rujukan untuk memberi maklum balas segera kepada pasukan khas itu dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selaku urus setianya.
“Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan Keluarga Malaysia tidak terkesan dengan serius akibat daripada kenaikan inflasi di seluruh dunia,” katanya.