Penghapusan Tol: Adakah Tawaran Harapan Realistik?

Isu penurunan kadar tol lebuhraya terus menjadi modal Pakatan Harapan (PH) untuk meraih sokongan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila menjadi sebahagian daripada manifestonya jika kembali menawan Putrajaya pada 19 November ini.

Dalam manifesto bertajuk Kita Boleh! Tawaran Harapan PRU15, PH menyatakan komitmen untuk terus menyemak semua perjanjian konsesi lebuh raya di negara ini bagi mendapatkan harga terbaik.

Janji keenam dalam manifesto PH pada PRU14 lalu antara lain menyatakan gabungan itu akan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya dan berunding untuk mendapatkan harga terbaik bagi mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.

Pada pendapat anda, adakah Tawaran Harapan untuk menghapuskan tol adalah realistik?

Kerajaan pimpinan PH sebelum ini mengumumkan diskaun kadar tol sebanyak 18% akan diberikan kepada kenderaan penumpang, bas dan teksi (iaitu kelas 1, 4 dan 5 bagi Lebuhraya Utara Selatan termasuk Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) serta kenderaan kelas 2, 3, 4 dan 5 bagi Jambatan Pulau Pinang.

Menurut manifesto tersebut, PH telah menunjukkan komitmen dengan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuhraya dan berunding untuk mendapatkan harga terbaik.

“Kami bertekad untuk meneruskan pengurangan tol PLUS secara berperingkat dengan matlamat akhir penghapusan tol dan pengembalian lebuhraya PLUS kepada milik awam,” menurut manifesto bertajuk Tawaran Harapan PRU15 itu.

Namun, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tawaran manifesto parti lawan untuk menghapuskan tol lebuh raya di Semenanjung tidak boleh dilaksanakan.

Beliau berkata, tol diperlukan untuk mendapatkan duit bagi menyelenggara, membaiki kerosakan atau membesarkan jalan kerana kerajaan tidak mempunyai wang yang cukup untuk membiayai aspek berkenaan.

Katanya, Gerakan Tanah Air (GTA) yang diketuainya tidak akan menawarkan manifesto seumpama itu, sebaliknya hanya menumpukan perkara yang boleh dilaksanakan.

“Kita nak buat benda yang boleh buat, bukan nak hapuskan tol. Hapus tol, (nanti) jalan tak boleh dibaiki kerana kerajaan tak ada duit baiki jalan kerana semua duit diguna untuk bayar hutang,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Sabah.

Adakah anda menyokong kenyataan Tun M bahawa tol tidak boleh dimansuh serta-merta?

Dr Mahathir turut mengulangi pendiriannya mengenai manifesto bukan kitab suci yang pernah disebutnya ketika dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini apabila ada perkara dalam manifesto gabungan itu tidak dilaksanakan.

Katanya, manifesto bukan al-Quran kerana apabila disebut kitab suci ia merujuk kepada kitab suci bagi umat Islam sebaliknya manifesto adalah janji yang dibuat orang tertentu.

“Manifesto itu adalah hasil daripada orang tertentu buat janji, mereka bukan ahli politik tapi kadang-kadang kita mahu buat juga tapi tak boleh.

“Kita tak boleh hapus tol, kita perlu duit untuk baiki, untuk membesarkan jalan. Sebab itu saya kata manifesto bukan kitab suci. Kitab suci itu al-Quran. Takkan kita anggap manifesto setaraf dengan al-Quran,” katanya.

Mengulas lanjut, calon kerusi Parlimen Langkawi itu berkata, GTA tidak berjanji dalam perancangan parti itu untuk negara jika berjaya membentuk kerajaan selepas PRU-15, berbeza dengan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Sekiranya PH menang, adakah anda yakin PH boleh melaksanakan manifesto yang ditawarkan?

Katanya, kerajaan pimpinannya sebelum ini tidak membuat janji, sebaliknya terus melaksanakan apa yang dirancang meskipun perkara terbabit tidak dijanjikan kepada rakyat.

“Dulu kita buat antaranya membina Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan status bebas cukai di Langkawi. Kita tak janji (perkara itu) tapi kita buat.

“Yang janji ini hanya untuk pancing undi,” katanya.

Mengenai Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyalahkan pentadbirannya selaku Perdana Menteri ketika 22 bulan PH memerintah sebelum ini, Dr Mahathir berkata, banyak kejayaan yang sebenarnya dicapai namun ada perkara yang tidak dapat dilaksanakan disebabkan kekangan tertentu.

“Takkan dia (Anwar) nak puji saya, dia yang rosakkan negara. Sebenarnya kita capai banyak kejayaan dalam 22 bulan itu tapi ada perkara dalam manifesto yang tidak boleh dilaksanakan kerana bercanggah dengan perlembagaan.

“Kita perlukan dua pertiga baru boleh laksanakannya tapi kita tiada dua pertiga itu dan Anwar tidak menolong sama sekali.

“Dia hanya fikir mahu jadi Perdana Menteri saja. Konon dia banyak penyokong tapi mana dia penyokong itu bila kita tak cukup orang,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai dirinya yang sekali lagi menjadi calon di kerusi Langkawi pada usia yang sudah lanjut, beliau berkata, ia bukan untuk mempertahankan Langkawi tetapi bagi menentukan agar GTA dapat menggantikan kerajaan sekarang yang disifatkannya banyak salah guna kuasa.

Katanya, beliau tidak peduli berapa umurnya dalam melakukan sesuatu terutama bagi menukar yang buruk kepada yang baik.