Pendigitalan Ekonomi: Potensi Terus Jana Ekonomi?  

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sedang mempergiatkan usaha bagi memastikan semua kawasan berpenduduk di negara ini dilengkapi kemudahan internet yang pantas dan stabil. Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata setakat Jun lalu, kira-kira 64.7 peratus kawasan berpenduduk di negara ini sudah mempunyai keboleh capaian internet dengan liputan 5G.

Katanya, melalui dasar yang baharu diperkenalkan iaitu ‘di mana ada jalan, di situ ada internet’, kementerian akan membantu kawasan yang kurang capaian seperti kawasan pedalaman dengan sekurang-kurangnya liputan 4G. Menurutnya, berdasarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), liputan 4G sudah mencapai 97 peratus di seluruh negara manakala tiga peratus lagi kawasan yang tidak mempunyai capaian itu akan dibantu dari segi memasang menara komunikasi dan fiber optik.

Adakah usaha kerajaan dalam memberi liputan internet yang menyeluruh kepada rakyat Malaysia menaikkan peluang untuk negara ini bertambah maju dari segi ekonomi dan global?

Menurutnya, bagi kawasan yang tidak diliputi akses internet, ada sejumlah daripadanya boleh dipasang dengan menara telekomunikasi dan gentian fiber, namun bagi tempat yang terlalu jauh atau berbukit bukau boleh gunakan Internet satelit. 

Setakat ini terdapat empat penyedia internet satelit dalam negara termasuk Starlink. Katanya, selain pemasangan peranti Starlink di Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Kuala Pilah baru-baru ini, pihak kementerian turut akan memasang satu lagi peranti yang sama di sebuah kampung Orang Asli, hari ini sebagai pembuktian konsep. 

Selain itu, pihak kementerian turut akan bekerjasama dengan beberapa kementerian lain untuk mendapatkan lokasi atau kawasan yang jauh dan belum ada menara telekomunikasi untuk menilai keperluan peranti satelit Starlink. 

Mengenai akses internet seluruh negara pula, beliau berkata setakat 31 Julai lalu, sejumlah 5,515 daripada 7,509 tapak 5G yang dirancang telah disiapkan meliputi 66.8 peratus liputan di kawasan berpenduduk (CoPA), manakala liputan 4G, meliputi 96.2 peratus CoPA seluruh negara.Sebelum ini, KKD dengan kerjasama SKMM dan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) mengumumkan Pakej 5G RAHMAH untuk penjawat awam dan golongan B40 dengan terma tertentu.

Pada pendapat anda, adakah Pakej 5G RAHMAH ini dapat membantu penjawat awam dan golongan B40 dalam pengurangan kos hidup di samping mendapat kemudahan akses teknologi yang maksima?

Menyentuh aspek sektor ekonomi digitalisasi, Fahmi berkata, dengan adanya capaian internet yang stabil, murah dan laju, ia menjadi batu loncatan kepada anak muda di kawasan luar bandar untuk terus menjana ekonomi tanpa perlu migrasi ke bandar.

“Saya bagi contoh, dua hari lepas saya di Felda Soeharto, di sini ramai anak muda berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan, tetapi dengan internet dan ekonomi digital, sebenarnya ada cara mereka untuk dapat pendapatan tinggi tanpa meninggalkan kampung halaman,” katanya. 

Adakah anda optimis dengan potensi penciptaan peluang pekerjaan melalui peningkatan kegiatan ekonomi digital di Malaysia?

Beliau berkata kerajaan menjangkakan sektor ekonomi digital yang setakat hari ini menyumbang 23 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar mampu meningkat kepada 25.5 peratus pada 2025.Beliau turut menjelaskan bahawa pelaburan ekonomi digital juga dilaporkan meningkat hampir RM28 bilion pada tahun ini berikutan beberapa faktor penarik yang dilihat pelabur di Malaysia.

Justeru, beliau berkata, konsep Ekonomi MADANI ini dapat mengurangkan jurang dan melengkapkan rakyat menjadi celik digital serta paling penting, mengetahui asas keselamatan untuk mengelak daripada ‘scammer’. Beliau percaya dengan kerangka Ekonomi MADANI yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, 27 Julai lepas, kebolehpasaran produk tempatan di bawah inisiatif dirancang kerajaan bagi sektor ekonomi digital boleh menjangkau sekurang-kurangnya 652 juta rakyat di Asia Tenggara.