Berbanding beberapa negara lain seperti Singapura dan Denmark, Malaysia masih lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka biarpun telah beralih ke fasa endemik.
Pemakaian pelitup muka menjadi penting selepas kehadiran Covid-19 dan kini terus menjadi perbualan hangat apabila arahan penandaan MS Sirim pada pelitup muka diumumkan.
Pada 5 April lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNHEP) telah memaklumkan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan 2022 telah diwartakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
Langkah ini diambil bagi memastikan pelitup muka yang dihasilkan atau diimport memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan melalui perintah ini.
Syarikat yang gagal mengikuti perintah ini boleh didenda sehingga RM200,000 atau RM500,00 bagi kesalahan kedua. Untuk individu pula, mereka boleh didenda RM100,000 atau dipenjara sehinga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Walau bagaimanpun,pelaksanaan pengumuman ini telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menjelaskan bahawa orang ramai bebas menggunakan apa sahaja jenis pelitup muka dan tidak akan didenda jika pelitup muka yang digunakan tiada cap SIRIM.
Tambah beliau lagi, individu yang dimaksudkan tertakluk hukuman berat itu ialah syarikat penjual pelitup muka.
Sehubungan itu, beliau meminta agar orang ramai tidak cemas dengan berkongsi maklumat yang tidak tepat.
Walau bagaimanapun, penguatkuasaan perintah ini yang dijangka bermula 4 Julai depan kini ditangguhkan ke 1 Januari 2023.
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyatakan bahawa penangguhan itu dibuat selepas mengambil kira maklum balas dari umum sekaligus untuk memberi peluang kepada industri dan pengguna membuat penyesuaian.
Beliau juga turut menyatakan bahawa SIRIM QAS International Sdn Bhd memberi jaminan akan mengenakan caj yang rendah kepada pengimport dan pengilang.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman menggesa agar pihak kerajaan memastikan pelitup muka mampu dibeli oleh rakyat dan kadar kenaikan tidak terlalu tinggi dan masih dalam lingkungan harga yang ditetapkan.
Ringkasnya, langkah ini merupakan suatu inisiatif yang baik dari pihak kerajaan dalam memperkasakan perlindungan untuk rakyat dari penularan wabak Covid-19.
Namun, pihak kerajaan juga diharapkan agar perhalusi langkah ini sebaiknya bersama pihak terbabit bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan penguatkuasaan ini.