Pekerja Malaysia semakin terkesan dengan bebanan kerja?

Ada pekerja cenderung memilih jalan singkat dengan membunuh diri sekiranya menghadapi tekanan di tempat kerja

Negara baru-baru ini digegarkan dengan berita kematian seorang pegawai perubatan yang tertekan dipercayai terjatuh dari asrama didiaminya.

Pegawai perubatan graduan merupakan modal insan dan mereka adalah aset negara.

Justeru, perkara ini perlu ditangani dengan baik bagi memastikan ia tidak lagi berlaku pada masa hadapan.

Terma ‘burnout’ sering digunapakai akhir-akhir ini untuk menggambarkan keadaan stres di tempat kerja.

Ia merupakan satu keadaan di mana berlakunya keletihan yang ketara dari segi fizikal, emosi dan mental beserta perasaan ragu tentang keupayan diri serta nilai pekerjaan seorang individu.

Burnout sering juga dikaitkan dengan simptom ibarat kemurungan (depression) dan kerunsingan (anxiety), serta simptom fisiologi seperti keletihan, kurang tidur, sering pening dan sakit kepala.

Sila log masuk atau daftar sebelum mengundi

Pernahkah anda mengalami ‘burnout’ sepanjang bekerja?

Mungkin, saya tidak pasti, mungkin stress sahaja
50.00% 1 Undi
Ya, saya selalu mengalami ‘burnout’ di tempat kerja
50.00% 1 Undi
Tidak, saya tidak pernah berhadapan dengan situasi keletihan yang ketara
0.00% 0 Undi

Sebanyak 1,273 atau 62.3 peratus kes hilang pendengaran akibat kebisingan di tempat kerja dicatatkan berlaku bermula Januari hingga Mei lalu.

Ia sekali gus menjadikan kes itu sebagai penyakit pekerjaan utama dan paling tertinggi berlaku dalam negara. 

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Kementerian Sumber Manusia, Mohd. Anuar Embi berkata, kementerian itu memandang serius peningkatan kes penyakit tersebut yang dikatakan berpunca daripada pekerjaan terutama membabitkan sektor industri.

Menurutnya, secara keseluruhannya, sebanyak 4,928 kes penyakit pekerjaan dilaporkan kepada JKKP, namun, hanya 2,042 yang disahkan sebagai penyakit pekerjaan.

Jika dibiarkan, ia akan semakin menjejas prestasi pekerja dan menyebabkan peletakan jawatan dan kehilangan tenaga kerja.

Menurut satu laporan yang dibuat oleh Employment Hero, lebih separuh daripada pekerja di Malaysia mengalami burnout kerana bebanan kerja dan ianya memuncak sejak tiga bulan kebelakangan ini.

Laporan Kesejahteraan Pekerja 2022 oleh syarikat berkenaan juga turut mendedahkan golongan pekerja yang berusia antara 18 hingga 35 lebih cenderung untuk merasakan kepenatan atau keletihan gara-gara bebanan kerja.

Selain itu, difahamkan sejak 3 bulan kebelakangan, pekerja yang tidak mendapat keseimbangan kerja dan kehidupan akan lebih mudah terkesan. Ini secara tak langsung menyebabkan mereka merasakan diri tidak produktif dan mengganggu kesihatan mental.

Tiga dimensi utama

‘Burnout’ terhasil daripada stres berterusan di tempat kerja yang tidak dapat diuruskan dengan baik dan dicirikan oleh tiga dimensi utama iaitu:

1. Perasaan letih serta hilang tenaga.

2. Peningkatan perasaan negatif dan sinis terhadap kerja serta berasa jauh secara mental terhadap kerja yang dilakukan.

3. Kurang kepayaan professional dalam menjalankan pekerjaan.

Perlu ditegaskan bahawa istilah ‘burnout’ cuma boleh digunakan dalam konteks pekerjaan dan bukannya dalam aspek kehidupan yang lain.

Faktor-faktor yang menyebabkan ‘burnout’:

1) Beban kerja berlebihan

Beban kerja yang terlalu banyak, kurang rehat serta tiada aktiviti sosial akan menyebabkan fizikal menjadi letih dan lesu. Ini menjadi lebih teruk apabila seseorang itu tidak mendapat tidur yang secukupnya serta kurang sokongan daripada rakan sekerja, majikan dan keluarga.

2) Kerja di luar kepakaran, bidang tugas atau minat

Melakukan sesuatu di luar kepakaran atau secara paksaan tanpa minat yang mendalam boleh menimbulkan tekanan. Ini kerana seseorang individu itu tidak dapat mencapai kepuasan dalam bekerja, sentiasa berasa risau tentang mutu kerja serta sering berasa tidak cukup bagus dalam menjalankan tugasan tersebut. Ia juga mungkin menimbulkan rasa rendah diri dan sering membuat perbandingan dengan orang lain.

3) Personaliti

Terdapat beberapa ciri personaliti Individu yang menyebabkan mereka cenderung untuk mendapat tekanan serta ‘burnout”. Antaranya adalah:

a) Individu yang terlalu mementingkan kesempurnaan dalam semua tugas.

b) Individu yang meletakkan target serta pencapaian yang tinggi.

c) Individu yang sukar memberi kepercayaan kepada orang lain dan lebih gemar melakukan tugasan secara sendirian.

d) Individu yang sentiasa berfikiran pesimis terhadap diri dan orang lain.

Tanda-tanda ‘burnout’

Secara umumnya ia boleh di bahagikan kepada 3 kategori iaitu:

1) Gejala fizikal

• Rasa keletihan sepanjang masa. Ini merupakan tanda ‘burnout’ yang paling ketara. Ia melibatkan keletihan secara fizikal dan mental. Ini kerana seluruh tenaga telah disalurkan untuk melakukan pekerjaan tersebut.

• Kesihatan tubuh badan yang terjejas seperti kerap jatuh sakit, sakit kepala, sakit belakang, sakit otot serta gangguan sistem penghadaman.

• Sukar untuk tidur.

2) Gejala emosi

• Mudah marah dan sensitif berbanding biasa.

• Sukar untuk mengawal perasaan.

• Mudah menangis, berasa tidak dihargai dan kerap mengeluh.

• Berasakan bahawa kerja yang dilakukan tidak penting serta hilang rasa yakin tentang masa depan kerjaya.

• Hilang semangat atau motivasi diri. Ini menyebabkan individu tersebut tidak mempunyai kekuatan atau dorongan untuk melakukan kerja. Ada yang mengalami rasa sukar untuk bangun pagi serta tiada semangat untuk ke tempat kerja.

• Hilang fokus atau kurang tumpuan.

• Gemar mengasingkan diri.

3) Gejala tingkah laku

• Penurunan prestasi kerja.

• Masalah interpersonal atau konflik dengan rakan sekerja.

• Mengabaikan penjagaan diri seperti merokok, mengambil minuman beralkohol, banyak mengambil makanan ringan serta waktu makan yang tidak teratur.

• Mengundurkan diri dari mengambil tanggungjawab.

• Menangguh tugas yang diberikan.

Cara mengatasi burnout

Jika anda ada mengalami gejala ‘burnout’, sesuatu perlu dilakukan untuk mengatasi masalah ini dengan segera. Antara perkara yang boleh dilakukan adalah:

1. Merehatkan diri dan bercuti daripada kerja.

2. Melakukan aktiviti relaksasi seperti meditasi, yoga, mendengar muzik atau apa jua aktiviti santai lain yang dapat membantu merehatkan minda serta mengisi masa anda daripada berfikir tentang kerja secara berterusan.

3. Cari hobi serta aktiviti luar yang disukai. Adakala, perkara mudah seperti keluar minum petang bersama rakan juga dapat membantu ada menghilangkan tekanan.

4. Mengamalkan pemakanan yang seimbang, senaman dan tidur yang cukup.

5. Belajar cara untuk mengurus tekanan dan mengurus masa dengan berkesan.

6. Kurangkan masa bersama gajet serta matikan telefon bimbit. Penggunaan telefon bimbit tanpa had menyebabkan tekanan yang berterusan kerana pada masa kini kita sentiasa boleh dihubungi sama ada ketika bercuti atau selepas waktu pejabat. Untuk mengatasi hal itu, anda perlu memberikan batasan dengan mematikan telefon bimbit di malam hari serta menyisihkan waktu tertentu untuk memeriksa dan membalas e-mel atau WhatsApp.

Sila log masuk atau daftar sebelum mengundi

Jika anda mengalami gejala ‘burnout’, adakah anda akan mengakuinya?

Tidak, saya bimbang dilihat sebagai seorang yang lemah, malas atau tidak mampu menjalankan tugas
50.00% 1 Undi
Ya, orang lain terutamanya majikan perlu faham tiada siapa yang mampu bertahan lama jika menghadapai tekanan yang berterusan tanpa mendapatkan penyelesaian atau sokongan yang sepatutnya
50.00% 1 Undi
Mungkin, jika perlu saya beritahu
0.00% 0 Undi

Ada individu yang mengambil keputusan untuk terus berhenti kerja atau mengabaikan gejala ‘burnout’ yang dihadapi. Bagaimanapun, jika gejala ‘burnout’ ini dibiarkan berterusan, maka individu tersebut mempunyai risiko untuk mendapat kemurungan atau penyakit gemuruh.

Majikan juga perlu menunjukkan perasaan empati apabila pekerja mereka berasa tertekan, risau atau burnout.

Pekerja perlu dijelaskan mengenai jangkaan jenis dan jumlah tugasan serta prestasi yang dikehendaki syarikat. Majikan wajar menyediakan bahan, peralatan dan maklumat agar mereka dapat bekerja dengan selesa dan menyelesaikan tugasan dengan pantas.

Berikan penghargaan dan pengiktirafan. Biasanya, pekerja akan lebih bertenaga, kreatif dan boleh diharap apabila mereka dipuji.

Sementara itu, perlu ada pusat dalam organisasi yang menjaga kesihatan mental pekerja. Pusat ini boleh menganjurkan pemeriksaan mental setiap tahun. Manamana pekerja yang gagal dalam pemeriksaan mental perlu menjalani terapi sama ada oleh kaunselor atau pakar psikiatri.

Organisasi juga perlu memberikan sokongan dari segi kewangan agar pekerja tidak berasa terbeban. Walaupun tidak banyak yang boleh diberikan oleh organisasi, sekurang-kurangnya keprihatinan yang dicurahkan majikan dapat menenangkan fikiran dan perasaan pekerja.

Sila log masuk atau daftar sebelum mengundi

Pada pendapat anda, adakah stigma masyarakat merupakan salah satu faktor ‘burnout’ semakin meningkat di tempat kerja?

Ya, stigma umum menjadi punca masyarakat kita gagal untuk bersikap jujur jika mereka mengalami kemurungan
100.00% 2 Undi
Mungkin, saya tidak pasti mengenai hal itu
0.00% 0 Undi
Tidak, pekerja sekarang terlalu ‘manja’
0.00% 0 Undi

Setiap organisasi perlu sentiasa peka dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan isu kesihatan mental berterusan di tempat kerja. Antara peranan majikan bagi mengurangkan gejala ini ialah perlunya prihatin mengenai beban tugas pekerja.

Pihak kerajaan juga perlu memainkan peranan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan membabitkan psikologi dan kaunselor di tempat kerja memandangkan penyakit mental ini bakal menjadi pembunuh utama di masa hadapan.

Untuk itu adalah penting untuk kenali dan fahami gejala ‘burnout’ serta melakukan sesuatu untuk mengatasinya.