Palestin-Israel: Apa langkah Malaysia?

Malaysia kini telah melajukan langkah untuk menyampaikan bantuan kepada penduduk Palestin yang sedang bergelut dengan Israel.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan Malaysia akan menyalurkan dana lebih RM100 juta bagi membantu rakyat Palestin di Gaza.

Perdana Menteri berkata, ia akan disalurkan ke tabung kemanusiaan dan perubatan Palestin selewat-lewatnya minggu ini.

“Saya dah umumkan bantuan RM10 juta dan insya-ALLAH, hari Khamis sebelum saya berangkat ke Arab Saudi, RM100 juta disalurkan khusus ke Gaza untuk tabun kemanusiaan dan perubatan,” katanya ketika memberi penerangan mengenai perkembangan mutakhir konflik Palestin-Israel di Dewan Rakyat pada Isnin.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, beliau menyedari Malaysia berdepan kekangan untuk menyalurkan bantuan berkenaan dengan lancar selepas mengadakan perbincangan dengan beberapa negara seperti Turkiye dan Mesir.

Pada pendapat anda, adakah Israel akan membuka sempadan Rafah di Gaza selepas menerima pelbagai desakan?

“Israel enggan membuka sempadan mereka, jadi ada tiga pesawat Turkiye sudah sampai ke pelabuhan sempadan Gaza, tetapi sempadan Rafah di Gaza tidak dibuka.

“Beberapa negara lain seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar juga mengirim bantuan perubatan makanan tetapi tersangkut kerana kerajaan pemerintah zalim Israel telah menghalang pembukaannya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menafikan dakwaan kononnya Malaysia enggan menghantar pasukan tentera bagi membantu Palestin yang kini sedang berperang dengan Israel.

Beliau menegaskan, keputusan untuk menghantar pasukan tentera bukan boleh dibuat dengan mudah kerana ia perlu mendapat persetujuan negara-negara jiran Palestin.

“Ini bukan keputusan (atau) kita boleh hantar (tentera) dengan mudah.

“Menghantar tentera termasuk pendamai atau koridor kemanusiaan itu mesti disepakati negara jiran (Palestin). Kalau tidak, pesawat kita tidak boleh mendarat,” katanya di sidang Parlimen pada Isnin.

Anwar berkata, beliau tampil menjelaskan perkara itu mewakili kepimpinan ketenteraan negara ekoran ada suara-suara yang mendakwa Malaysia enggan menghantar pasukan tentera bagi membantu Gaza.

“Adalah tidak adil untuk (mana-mana pihak) dalam penyampaian mesej dan tazkirah mereka (membuat dakwaan) ini.

“Jadi kita minta ada kefahaman (yang sebenar) supaya rakyat jangan dikelirukan,” tambahnya.

Ahli Parlimen Tambun itu, menegaskan, dasar Malaysia mengenai Palestin kekal dan tidak akan berubah iaitu mempertahan dan memperjuang hak Palestin untuk dikembalikan hak-hak mereka akan terus menjadi tunjuang dasar luar negara.

Apa pendapat anda mengenai potensi Malaysia sebagai pemangkin gerakan bantuan untuk Palestin?

Selain itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan ke Riyadh, Arab Saudi pada Khamis ini, bagi menghadiri persidangan tetap di antara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan ASEAN, dengan mengadakan perbincangan khusus mengenai tindakan yang perlu diambil terhadap kezaliman Israel ke atas rakyat Palestin.

Perdana Menteri berkata, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, juga berangkat ke Jeddah pada Isnin, atas undangan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi sidang berkenaan.

“Putera Mohammed menelefon saya beberapa hari lalu, meminta saya sambung sehari lagi pada 21 Oktober supaya diadakan perbincangan dan acara rasmi di Arab Saudi.

“Saya akan berbincang dengan teman lain, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Mesir dan Turkiye, sama ada perlu untuk mengadakan beberapa pertemuan lain dengan pemimpin negara lain.

“Sesuatu lebih segera harus dilakukan. Barat dan Eropah mengambil sikap kepura-puraan dan hipokrit, keras terhadap Russia dalam isu Ukraine dan mengizinkan kezaliman berterusan,” katanya lagi.