Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin baharu sahaja mengumumkan ketetapan baharu mengenai pemakaian pelitup muka di Malaysia pada Rabu (semalam).
Pemakaian pelitup muka di tempat tertutup tidak lagi diwajibkan berkuat kuasa serta-merta, umum Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. Menurutnya, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian semasa Kementerian Kesihatan (KKM).
Mengulas lanjut, katanya pemakaian pelitup muka dalam bangunan dan kawasan tertutup kini adalah atas pilihan sendiri.
Begitupun, jelas Khairy, pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka untuk memasuki premis mereka atau sebaliknya.
Tambah beliau, meskipun pemakaian pelitup muka kini adalah pilihan namun terdapat beberapa situasi yang pemakaiannya masih diwajibkan.
“Pemakaian pelitup muka masih diwajibkan sekiranya positif COVID-19, ketika menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing, kapal terbang serta bas, van pekerja dan van sekolah.
“Selain itu, ia juga diwajibkan semasa berada di fasiliti kesihatan seperti hospital, klinik, rumah penjagaan, pusat hemodialisis, dan yang setara dengannya,” ujarnya.
Tambah Khairy lagi, orang ramai amat digalakkan memakai pelitup muka kerana ia terbukti mampu mengurangkan penularan jangkitan.
“KKM menggalakkan pemakaian pelitup muka terus diamalkan terutamanya apabila berada di kawasan ramai orang dan sesak seperti pasar malam, stadium, gedung beli-belah dan rumah-rumah ibadat.
“Individu bergejala seperti demam, batuk, selsema dan berisiko tinggi seperti warga tua, orang dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah dan ibu mengandung juga digalakkan terus memakai pelitup muka.
“KKM juga menggalakkan pemakaian pelitup muka ketika melakukan aktiviti bersama orang yang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak,” katanya.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan sedang mempertimbangkan untuk membeli vaksin Covid-19 berasaskan varian khusus terutama yang mampu melawan varian Omicron.
Khairy, bagaimanapun, berkata kementerian belum membuat keputusan bentuk program imunisasi yang akan dilaksanakan sekiranya bercadang menawarkan vaksin itu.
“Kita akan buat keputusan berdasarkan kepada trend epidemiologi jangkitan sedia ada. Kita belum lagi buat keputusan sama ada kita akan menawarkan vaksin untuk semua atau hanya kepada yang berisiko tinggi sahaja.
“Sekarang ini kita melihat kepada satu program vaksinasi yang lebih tersasar dan bukan kepada semua,” katanya