Mogok penghantar makanan, berkesankah atau sekadar buang masa?

Baru-baru ini sekumpulan penghantar makanan telah mengadakan kempen mogok bagi mengutarakan isu ketidakpuasan hati dengan potongan kadar upah perjalanan mereka. 

Kempen mogok atau protes itu telah mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Zulhelmi Mansor berkata, kempen mogok tersebut membuahkan hasil apabila Ismail Sabri memberi perhatian dan cakna terhadap masalah-masalah dialami oleh penghantar makanan (rider).

“Petang tadi pihak kami telah dapat berjumpa dengan Setiausaha Politik Perdana Menteri apabila diarahkan oleh Perdana Menteri yang begitu cakna akan isu rider yang viral pada hari ini.

“Saya percaya kerajaan sudah pun mengetahui asas lima tuntutan hak penghantar yang kami bawa sebelum ini bersama Sekretariat Hal Ehwal Pekerja Muda PPUM. Kini sudah tiba masanya untuk tindakan segera diambil agar penindasan dan manipulasi ini dapat menemui jalan keluarnya.” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, kumpulan penghantar makanan bagi beberapa syarikat penghantaran makanan dalam negara melancarkan mogok untuk 24 jam bermula tengah malam pada 5 Ogos 2022.

Sila log masuk atau daftar sebelum mengundi

Sebagai pengguna, adakah anda menyokong tindakan penghantar makanan (rider) mengadakan kempen mogok?

Ya, perlu mogok supaya lebih ramai peka dan masalah diberi perhatian
100.00% 2 Undi
Mungkin, saya tidak pasti
0.00% 0 Undi
Tidak, tindakan mogok tidak akan membuahkan hasil dan merupakan perkara yang sia-sia sahaja
0.00% 0 Undi

Mengulas lebih lanjut, Zulhelmi berkata, antara tuntutan itu adalah menjadikan pekerjaan ekonomi gig sebagai pekerjaan yang diiktiraf dan dilindungi dibawah Akta Kerja 1955.

“Kerajaan dipohon untuk mewujudkan peraturan dan badan kawal selia bagi mengawal permasalahan teknikal yang berlaku dalam kalangan penyelia perkhidmatan serta penghantar berkaitan sistem kerja, kadar upah, komisen, harga lantai, peta digital, jarak pesanan dan sebagainya.

Sila log masuk atau daftar sebelum mengundi

Adakah kerajaan perlu meminda Akta Pekerjaan 1955?

Ya, supaya penunggang p-hailing akan diiktiraf bukan sebagai "rakan kongsi" atau "pekerja bebas" tetapi sebagai pekerja
100.00% 1 Undi
Tidak pasti, tengok keadaan
0.00% 0 Undi
Tidak, tak perlu pinda apa yang sudah tertakluk dalam Akta Pekerjaan 1955
0.00% 0 Undi

“Penghantar juga menuntut penjagaan kebajikan dan perlindungan keselamatan penghantar iaitu kerajaan harus memastikan kaedah terbaik bagi penyedia perkhidmatan untuk menyediakan perlindungan seperti KWSP dan Perkeso.

“Kami amat berharap agar kerajaan dapat memberikan bantuan khusus kepada penghantar dalam belanjawan tahunan dan bagi menjamin pekerjaan ketika waktu susah ini, kami mendesak penyedia perkhidmatan menangguhkan penggantungan serta penamatan yang tidak bersalah,” katanya.

Sekumpulan penghantar makanan mendakwa mereka dibayar gaji yang tidak adil dan pendapatan mereka menyusut.

Salah seorang daripada mereka, Boo (bukan nama sebenar), kesal kerana pendapatannya yang menurutnya berkurang lebih separuh berbanding sebelum ini.

“Dengan jujur kata, kalau dulu pagi sampai tengah hari dalam RM100 boleh dapat. Masa PKP dalam RM100 boleh dapat setengah hari (pagi sampai tengah hari).

“Sekarang, nak menangis pun ada. Setengah hari RM40 pun tak sampai,” katanya.

Dia juga mendakwa bahawa penunggang yang menerima tempahan dua kali ganda dari restoran yang sama kepada dua pelanggan berbeza sebelum ini memperoleh gaji penuh untuk kedua-dua pesanan, tetapi ia tidak lagi berlaku ketika ini.

“Sebagai contoh, jika mendapat tempahan berganda, sebelum ini boleh mendapat RM12 atau RM16 untuk dua tempahan, tetapi kini ada penunggang hanya mendapat RM8 untuk dua tempahan walaupun penghantaran agak jauh.

“Kemudian mereka mengurangkan kadar setiap kilometer tanpa notis. Baru-baru ini mereka berkata ia adalah isu teknikal, tetapi alasan yang sama berulang lagi: ‘kesilapan teknikal’,” katanya.

Mohd Firdaus, seorang lagi penunggang p-hailing, berkata isu ini telah dibangkitkan sejak Julai 2020 apabila mereka menghantar memorandum kepada Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

Namun, menurutnya, masalah itu masih belum selesai malah semakin teruk.

“Ini unik sebagai kerja p-hailing ni – makin kami bekerja, makin turun harga gaji kami.

“Dulu boleh 10 pesanan RM90, tapi sekarang sembilan pesanan jadi RM50,” katanya.

Dia turut menyuarakan kekecewaan kerana walaupun terdapat inflasi, syarikat p-hailing terus memotong gaji mereka.

Selain itu, penunggang perlu membayar insurans dan membuat caruman KWSP daripada poket mereka sendiri.

Penunggang lain pada sidang akhbar itu mengadu bahawa mereka sering dihukum oleh platform p-hailing apabila pelanggan membuat aduan, tanpa penjelasan mereka diambil kira.

Mereka berkata syarikat p-hailing menganggap mereka sebagai rakan kongsi ‘yang boleh dikorbankan’ kerana akan sentiasa ada penunggang baru menyertai industri.

Sila log masuk atau daftar sebelum mengundi

Ada yang menyamakan kesusahan penunggang p-hailing dengan "perhambaan moden". Adakah anda setuju dengan kenyataan tersebut?

Tidak, saya tidak sokong dengan kenyataan itu
50.00% 1 Undi
Ya, kerana kerajaan mahupun syarikat p-hailing tidak mempunyai undang-undang atau peraturan yang jelas untuk melindungi mereka
50.00% 1 Undi
Tidak pasti, saya tidak mempunyai pendirian
0.00% 0 Undi

Isu ini telah diperjuangkan selama tiga hingga empat tahun dan telah dibawa kepada banyak parti politik, kerajaan, dan NGO; tetapi ia masih belum mencapai sebarang resolusi.

“Kami menggesa kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia mengambil langkah serius dan tidak hanya memberikan ‘Panadol’ atau ‘gula-gula’, kata seorang penghantar makanan. 

“Kami juga menolak respons Grab yang mendakwa ini sebagai isu teknikal. Seperti yang disebut oleh penunggang, alasan ini digunakan oleh syarikat berkali-kali,” katanya.

Walaupun syarikat p-hailing pada mulanya digembar-gemburkan sebagai cara orang ramai memperoleh pendapatan sampingan, Kamil berkata mereka kini ia telah menjadi sektor ekonomi besar yang mengaut keuntungan besar.

Justeru, dia berkata syarikat-syarikat ini harus menyediakan perlindungan yang sewajarnya kepada penunggang yang telah membantu perniagaan mereka berkembang.

Grab mengeluarkan kenyataan mengatakan pengurangan pendapatan yang dihadapi oleh “sekumpulan kecil” rakan kongsi penghantaran mereka bulan lepas adalah disebabkan oleh masalah teknikal yang telah diperbetulkan. Ia berkata ia komited untuk menyokong komuniti rakan kongsi penghantarannya.