Isu wanita makan di khalayak ramai ketika bulan Ramadhan tiba-tiba hangat diperkatakan. Ibarat taboo, isu ini datang dan pergi setiap tahun Ramadhan menjelma.
Ini berikutan tularnya video tiga orang wanita sedang menikmati makan di sebuah restoran makanan segera. Apa yang membuatkan video tersebut menerima kecaman ramai adalah kerana perkongsian video berkenaan telah dibuat oleh salah seorang pekerja restoran berkenaan yang dikongsikan menerusi CCTV.
Dalam video tular itu, tiga wanita berhijab tersebut dilihat memilih untuk duduk di bahagian belakang dan satu sudut yang tidak dapat dilihat dengan jelas.
Dalam perkongsian video melalui TikTok tersebut, pekerja tersebut telah mempertikai dan mempersoal kewajaran dan tiada rasa serba salah makan di restoran tersebut pada waktu siang hari di bulan Ramadhan.
Namun maklumbalas yang diterima telah mencetuskan kontroversi perbalahan pendapat kerana telah melanggar privasi selain tidak mendapat kebenaran merakam seterusnya menyebar video tersebut kepada umum. Malah pekerja tersebut telah dihentam kerana tidak tahu mengapa tiga wanita tersebut tidak berpuasa.
Berikutan isu yang terjadi ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah memberi perincian berhubung perempuan makan di khalayak pada bulan Ramadhan ini.
Menurut perincian tersebut juga tiga golongan yang diberikan kebenaran untuk tidak berpuasa adalah wanita yang berada dalam keadaan nifas dan haid, orang yang sakit berat (datang masyaqqah) ketika berpuasa dan orang bermusafir.
Secara kesimpulannya, hukum seseorang yang ada keuzuran untuk tidak berpuasa dan makan di siang hari ketika bulan Ramadhan adalah harus. Namun lebih afdal dilakukan di tempat yang tidak dapat dilihat orang ramai, agar terhindar fitnah dan sangkaan buruk.
Dalam pada itu, menurut Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995, Bahagian 3, mana-mana individu secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum, menghisap rokok atau seumpama dengannya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Selain itu, terdapat beberapa negeri, seperti Melaka dan Johor yang melakukan hukuman yang sedikit berbeza, iaitu hukuman ‘diarak’ dengan van jenazah. Negeri Johor telah pun memansuhkan hukuman ini pada tahun lepas.
Menurut bekas Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri Johor, Tosrin Jarvanti berkata bahawa hukuman itu tidak lagi dijalankan untuk menjaga aib mereka yang ditangkap tidak berpuasa.
Mengikut jejak langkah negeri tersebut, negeri Melaka juga turut menghentikan hukuman ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali menyeru agar tiada yang melakukan kesalahan itu kerana operasi akan dijalankan sepanjang Ramadan walaupun tiada lagi hukum itu. Malahan, pelaku akan dikenakan hukuman denda atau penjara mengikut Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 (Enakmen 6).
Hukuman yang dikenakan di bawah Enakmen itu, boleh didenda RM1,000 atau enam bulan penjara bagi kesalahan pertama, manakala denda RM2,000 atau setahun penjara bagi kesalahan kedua atau kedua-duanya sekali.
Biarpun isu ini telah diterangkan secara terperinci oleh pihak berwajib namun ianya terus menjadi hangat dan panas dengan perbalahan dari kaum Adam dan Hawa. Ada juga yang menyokong, ada yang membangkang malah ada juga yang tidak peduli.
Dalam pada itu, penerjun negara Datuk Pandalela Rinong berkongsi pengalaman dirinya dipersoal ketika membuat pesanan makanan di sebuah restoran di Ipoh, Perak.
“Pertama kali dalam hidup saya ditanya samada saya orang Melayu ketika membuat pesanan makanan di bulan puasa,” tulis beliau di Facebooknya.
Berdasarkan perkongsian tersebut, beliau telah memesan cendol gula melaka, roti bakar dan nasi ayam. Malah perkongsian tersebut telah menerima lebih 10,000 reaksi selain hampir 200 perkongsian.
Terdahulu, tahun lalu isu yang sama diperkatakan oleh pelakon Izara Aishah mengenai keterbukaannya mengenai sesiapa yang ingin makan dihadapannya ketika bulan puasa sebagai tidak biadap dan menyifatkan perkara tersebut bukanlah satu tindakan yang kurang ajar.
“Kepada rakan-rakan bukan Islam dan kaum wanita yang uzur, saya tidak kisah sekiranya anda hendak makan di hadapan saya, perkara itu tidak kurang ajar”, kongsi Izara.
Malaysia terdiri dari berbilang kaum dan agama dan namun sikap keterbukaan dan saling menghormati antara satu sama lain akan terus mengeratkan tali persaudaraan dan perpaduan sesama Anak Malaysia selain kesucian bulan Ramadhan terus terpelihara.