Mana Yang Anda Pilih, Ambil Dos Penggalak Atau Tunggu Vaksin Bivalen?

Varian BA.5.2 dan BF.7 COVID-19 yang sedang menular di China, dikesan sudah berada di Malaysia dengan 4,148 kes dijangkiti BA.5.2 dan tiga kes BF.7 setakat 31 Disember lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, bagaimanapun berkata, belum ada data dapat mengaitkan peningkatan bilangan kes kemudaratan atau kematian dengan varian BA.5.2 dan BF.7.

“Situasi ini akan disemak dari semasa ke semasa apabila berlaku perubahan ketara yang memerlukan perubahan dalam strategi kesihatan awam.

Adakah anda mengikuti perkembangan kes COVID19 di Malaysia?

Beliau berkata, varian BA.5.2 dan varian BF.7 merangkumi kira-kira 80 peratus daripada varian yang menular di China ketika ini.

Katanya, kedua-dua varian berkenaan tergolong sebagai sublineage Omicro BA.5 dan belum digolongkan sebagai Lineage Under Monitoring (LUM) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Bagaimanapun, ia dipercayai boleh menyebabkan jangkitan semula atau mempunyai kadar jangkitan lebih tinggi disebabkan oleh bilangan kes tinggi di China,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, varian XBB subvarian Omicron menguasai penularan COVID-19 di negara ini sepanjang Disember lalu, merangkumi 55.4 peratus daripada bilangan sampel yang menjalani penjujukan genom.

Beliau menjelaskan, survelan genomik SARS-CoV-2 bagi tempoh itu menunjukkan dominasi varian itu, diikuti varian BA.2.75 (20.8 peratus) dan BQ.1 (10.8 peratus).

“Ini menunjukkan XBB masih menjadi varian utama yang menular dalam kalangan penduduk Malaysia sejak Oktober tahun lalu.

“Kedua-dua varian XBB dan BA.2.75 adalah sejenis varian LUM WHO.

“Data dari negara lain yang mengalami penularan XBB seperti Singapura dan India menunjukkan peningkatan bilangan kes jangkitan semula, terutama dalam kalangan penduduk yang dijangkiti ketika gelombang Delta atau dijangkiti oleh VOC Omicron sekurang-kurang enam bulan lalu,” katanya.

Beliau berkata, jangkitan semula adalah disebabkan keadaan ‘immune escape’ yang lebih tinggi oleh XBB.

Dr Noor Hisham menjelaskan, ia mungkin disebabkan oleh tahap antibodi yang mulai berkurangan dan menyebabkan jangkitan semula tidak dapat dielak.

“Justeru, golongan yang mempunyai masalah kesihatan disaran mengambil dos penggalak kedua supaya sistem imun dapat bersedia untuk sebarang jangkitan semula.

Adakah anda akan/sudah mengambil dos penggalak?

Kementerian Kesihatan (KKM) turut menyarankan orang ramai segera mendapatkan dos penggalak kedua tanpa menunggu vaksin bivalen COVID-19.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa, berkata vaksin sedia ada juga berkesan bagi mengelak gejala serius dan kematian akibat jangkitan wabak itu.

“KKM menggesa orang ramai yang sudah menerima dos penggalak pertama melebihi tempoh enam bulan segera mendapatkan dos penggalak kedua dan tidak menunggu vaksin bivalen.

“Vaksin monovalen sedia ada masih sangat berkesan untuk mengurangkan gejala serius dan kes kematian,” katanya.

Beliau berkata, vaksin bivalen akan dibekalkan kepada Malaysia tidak lama lagi berikutan kelulusan pendaftaran bersyarat yang diberikan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) baru-baru ini.

“Pengumuman akan dibuat selepas bekalan diterima bersama kriteria kelayakan mendapatkannya,” katanya.

Dr Zaliha berkata, KKM berharap peratusan pengambilan dos penggalak terus meningkat, terutama dalam kalangan golongan berisiko

Katanya, hanya 49.8 peratus rakyat Malaysia mendapatkan vaksin dos penggalak pertama dan 1.9 peratus sahaja sudah mengambil dos kedua,” katanya.

Pada pendapat anda, manakah lebih baik? Ambil dos penggalak atau tunggu vaksin bivalen?

“Berdasarkan maklumat terkini, WHO Technical Advisory Group on SARS-CoV-2 Virus Evolution (TAG-VE) berpendapat ciri-ciri phenotype XBB tidak banyak berubah berbanding sublineage Omicron yang lain sebelum ini, dari segi keperluan tindakan kesihatan awam walaupun berlaku penambahan mutasi yang dikaitkan dengan immune escape,” katanya.